YKAT Blog
Terlupa Hari Bertemu Tuhan
Hari ni Jumaat, imam subuh membaca surah As-Sajdah. Seringkali kita mendengar surah ini dari kita kecil tetapi kita masih tidak mengerti. Baiklah, mari kita ambik sedikit pengajaran hari ini dengan tadabbur surat As-Sajadah Ayat 11-14.
Kita orang-orang yang mengaku beriman pasti percaya akan adanya hari bertemu Allah nanti. Bila kita dimatikan nanti, jasad kita hancur dan akan dibangkitkan semula bagi memperhitungkan amalan kita di dunia. Ketika itu barulah kita sedar, apakah kita dalam golongan yang rugi atapun orang-orang yang beroleh kejayaan.
Ketahuilah, hidup ini hanya permainan dan hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya, berbangga-bangga dikalangan manusia, dan saling mengejar untuk menambah-nambah harta. Seperti firman Allah dalam Al-Hadid, ayat 20.
ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّۭا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمًۭا ۖ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ وَمَغْفِرَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۭ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.Al-Hadid:20
Apa tujuan hidup ini? Tidak lain sebenarnya adalah untuk menguji siapakah diantara kita yang mempunyai amalan terbaik. Allah beritahu dalam Al-Mulk ayat 2.
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);Al-Mulk:2
Tapi dalam menjalani kehidupan yang serba moden ini, kita disibukkan dengan pelbagai perkara, kerja dari pagi ke malam, balik penat,rehat dan tidur.Esok rutin yang sama berulang. Amalan agama kita pula sekadar cukup makan sahaja, itupun yang wajib-wajib sahaja.Al-Quran jarang-jarang dibuka apatah lagi nak ambil masa untuk memahami.Yang parah lagi, tak buka terus. Kita terlupa, kita terlupa yang sebenarnya nanti satu hari kita akan berjumpa dengan Tuhan kita seorang diri, hanya dengan membawa amalan yang sedikit, bukannya membawa yang kita cari siang dan malam itu.
Setelah dibangkitkan nanti, barulah kita tersedar dan mengakui benarlah apa yang Allah dah kata dulu dalam Al-Quran tapi aku tak baca dan faham. Tapi aku sibuk dulu, tak dan nak baca, urusan harian macam-macam sampai aku terlupa. Itulah alasan kita. Allah beritahu amat ngeri bila kita melihat orang-orang yang berdosa ni bila mengadap Allah. Takut yang amat, kemudian mereka merayu-rayu pada Tuhan " Ya Allah, bagi lah aku peluang, kembalilah kami semua ke dunia supaya kami dapat buat amal-amal yang soleh, sekarang barulah kami yakin" ~ As-Sajdah 12
Tapi Allah tolak rayuan mereka itu sebab masa hidup mereka dulu tidak berusaha untuk beramal soleh dan beriman betul-betul dengan ayat Allah.Sekarang bukanlah waktunya. Allah kata, kalau nak Dia boleh sahaja bagi hidayah dan tak azab kepada semua orang walaupun tak berusaha buat amal baik, tapi Allah dah tetapkan syurga dan neraka untuk mereka yang beriman dan beramal soleh sebagai balasan atas amalan-amalan manusia. Dan Allah kata , Dia akan penuhkan neraka tu dengan jin & manusia yang tak beriman dan tak beramal soleh.
Sebab apa mereka diazab hari tu? Sebabnya adalah sebab mereka lalai & lupa tentang hari ini iaitu hari bertemu dengan Allah, hari akhirat, hari dimana Allah beri pembalasan untuk semua. Sebab kamu semua dah lupa dulu, maka hari ini Aku( Allah) dah tak nak hirau & lupakan kamu pula. Dan rasakanlah azab yang kekal dengan apa yang telah kamu lakukan…"
Tanyalah diri kita balik, kita lupa ke tak? Jika kita tidak lupa, pasti kita akan mendahului kerja hakiki kita, iaitu beribadah kepada Allah. Allah beritahu tujuan di ciptakan bukanlah untuk tujuan lain melainkan jadi hamba dia yang sebenar-benarnya. Lihat Az-Zariyat 56 ini.
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Jika ada kerja yang bertembung dengan urusan solat, maka utamakan solat dulu. Tinggalkan perkara lain walaupun sepenting mana pun ia. Urusan dunia ini Allah yang tadbir semuanya. Jika kita ketepikan solat dan mengutamakan urusan selain itu, maka kita tergolong dalam golongan yang lupa dan lalai.
.
Semoga beroleh manfaat dan sebarkan kepada rakan-rakan.Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang terlupa ini!
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments