Font size: +
4 minutes reading time (859 words)

Kematian Yang Tidak Menginsafkan

Takda satu orang pun yang suka bercerita tentang mati. Ia perkara sedih,sayu dan paling ditakuti oleh semua orang kerana kita akan tinggalkan semua benda yang kita sayang. Mak, ayah adik-beradik, rumah kereta mewah, anak-anak, kerjaya hebat dan banyak lagi. Kata Nabi, ia adalah satu perkara yang "memutuskan kelazatan".

Pernah satu ketika memberi satu tazkirah tadabbur, saya bertanya kepada rakan-rakan," Siapa nak masuk syurga angkat tangan!" Semua angkat tangan, kemudian saya tanya lagi, siapa nak mati? Dengan cepat, semua turun tangan. Bila tanya kenapa turun? jawapannya adalah "takut". Ini adalah jawapan Nabi apabila sahabat bertanya tentang apa itu penyakit wahan, Nabi kata penyakit "Cinta dunia dan takut mati".

Berkali kita diingatkan yang dunia ini sementara dan hanya permainan. Bukan kita tidak tahu, bahkan kita tahu akan adanya hari syurga neraka sebagai balasan.. Allah bila berkata Dia pasti tidak dusta melainkan benar. Justeru, kenapa kita masih lalai? Sebab kita lupa geng. Ok sambung...

Bukankah syarat untuk ke syurga itu perlu melalui kematian dahulu? Jika tak mati, bagaimana nak masuk syurga? Ya, kita takut bicara pasal mati kerana kita tahu kita masih belum lagi bersedia. Amalan masih belum cukup, amalan agama kita pula ala kadar sahaja. Hanya cukup-cukup solat 5 waktu, itupun solat dirumah dalam keadaan tergesa-gesa, kadang-kadang sengaja pula dilambatkan ke akhir waktu,apatah lagi nak buat yang sunat. Al-Quran last buka masa khatam dulu. Tapi baca pun tak faham. Mengumpat kawan-kawan, mengejek orang itu ini. Hidup hanya sekali bah, banyak impian hidup belum tercapai, nak kaya macam orang tu, nak ada kereta dan rumah seperti dia tu,berjaya dalam bisnes, pencen awal, nak tengok anak cucu cicit lagi nak melancong luar negara dan macam-macam lagi nikmat yang tak berkesudahan. Ini lah yang diceritakan dalam Al-Baqarah ayat 94-96. 

Allah cerita orang yang Yahudi ni ciri-cirinya tamak dengan harta dunia melebihi orang musyrik. Mereka bajet hebat dan bagus, lepas rasa mereka bangsa pilihan Allah, bangsa beriman dan akan terpilih untuk masuk syurga, kalau masuk neraka pun mereka kata hanyalah untuk beberapa hari sahaja je. Namun bila disuruh memohon kematian (supaya cepatlah masuk Syurga, dah kata ahli syurga kan?), mereka takut pula dan memang tak nak mati pun, nak hidup selama-lamanya kalau boleh. Takutnya dosa-dosa yang mereka dah buat, mereka sedar. Allah kata mereka suka sangat kalau ada umur panjang seribu tahun ( لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍۢ) . Ini sebab kerana adanya sifat cintakan dunia itu. Walhal umur yang panjang itu tidak sedikitpun melepaskan diri mereka dengan azab Tuhan. Tidakkah kita melihat persamaan sifat-sifat ini yang mungkin ada dalam diri kita yang mengaku beriman ini? Sungguh kita dalam keadaan dilalaikan dengan kehidupan ini.

Jadi, bilakah kita nak kata amalan kita akan cukup sehingga kita betul-betul berani kata dah bersedia untuk mati? Tak akan berani. Sungguhnya kematian akan datang secara tiba-tiba, mungkin masa kita sedang sibuk dengan urusan-urusan yang kita lazimi di pejabat. Bila je sampai saat yang kita tak tahu tu, Allah cerita dalam Al-Munafiqun ayat 10, kita nak minta tangguh dengan malaikat sekejap, rayu supaya Allah bagi peluang hidup sekejap lagi untuk sedekah (sebab baru tahu besarnya pahalanya), tapi semuanya tak dilayan. Time's up bro. Zapp, Izraeil tarik nyawa. Apa pun tak sempat. Menyesal tak berkesudahan.

Hari ini saya hadiri satu kematian. Nabi beritahu kita,


كَفَى بِالْمَوْتِ وَاعِظًا

Cukuplah kematian itu sebagai penasihat

Pada menghadiri kematian itu jika kita perhatikan betul-betul, banyak yang kita akan menginsafi tentang diri kita. Tangisan orang yang menyayangi diri kita nanti, yang membayangkan akan menghantar kita seorang diri ke kubur sebentar nanti, yang membayangkan malam nanti adalah malam pertama kita di barzakh berseorang diri, entah apa nasib yang akan kita hadapi nanti. Semua itu bermain di minda kita dan akan menginsafkan diri untuk terus istiqamah dalam membuat amal soleh.

Bila jalan di kuburan tu, rajin-rajin kita tengok batu nisan. Sebenarnya kita akan duduk di kubur lebih lama dari waktu kita hidup, gelap dan bersendirian. Ada satu batu diukir dan dicatat meninggal ketika umurnya 38 tahun pada tahun 1923, tahun ini sudah 2023 rupanya sudah 100 tahun tinggal di barzakh. Sungguh kita lupa untuk sediakan bekal amal soleh yang cukup untuk perjalanan yang jauh dan panjang kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia kita.

Perhatikan pula orang-orang yang turut hadir, amat mendukacita bila orang-orang lelaki bersembang, ketawa dengan menghisap rokok (baca: membuat perkara haram) dan menghembuskan asap berkepul-kepul ke udara. Tak nak kalah, Imam yang mengimamkan solat jenazah pun rupa-rupanya seorang perokok juga. Semoga Allah memberikan mereka hidayah nanti. Begitu banyak kematian berlaku dalam hidup kita dari tahun-ketahun, saudara, sahabat handai, ia langsung tidak menginsafkan diri untuk meninggalkan perkara haram.Tak membekas.  Sedang ia waktu terbaik untuk kita bermuhasabah, memperbaik amal dan meninggalkan mungkar banyak mungkin.

Menghadiri kematian itu sebenarnya bukan untuk menangisi pemergian orang tersayang. Urusan mereka dah selesai di dunia ini, kita doakan keampunan untuk mereka. Tapi kita yang masih di beri kesempatan ini, apakah masih sempat meneruskan urusan kita sebagai hamba Allah dengan terus istiqamah melakukan amalan soleh? Mari kita sama-sana renung As-Sajadah ayat 11 ini,


قُلْ يَتَوَفَّىٰكُم مَّلَكُ ٱلْمَوْتِ ٱلَّذِى وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)". 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Uninspiring Death
Terlupa Hari Bertemu Tuhan
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Monday, 16 September 2024