YKAT Blog
Umat Dakwah: Buang Alasan dan Cuba
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Invite ˹all˺ to the Way of your Lord with wisdom and kind advice, and only debate with them in the best manner. Surely your Lord ˹alone˺ knows best who has strayed from His Way and who is ˹rightly˺ guided.
Umat Islam adalah umat dakwah. Semua yang mengaku beriman dan islam, mesti wajib melakukan dakwah, kerana Allah berkata dalam Al-Quran, untuk menjadi umat yang terbaik, kita mesti melaksanakan dengan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kepada perkara mungkar (Amar Makruf & Nahi Mungkar). Maknanya, jangan rasa syok sendiri dinobat sebagai Umat terbaik selagi mana kita masih tidak laksanakan tugasan mulia para Nabi ini. Umat terbaik hanyalah kepada mereka yang melaksanakan tugasan dakwah.
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ
Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (karena kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.
Apabila bercakap mengenai dakwah, kebanyakkan kita berlepas diri dari melaksanakannya. Pelbagai alasan dicari dan diberi, antaranya tidak pandai agama, tiada pengalaman, malu, takut kena marah dan dibenci orang. Paling banyak adalah beranggapan tugasan dakwah ini hanyalah untuk ustaz dan golongan agamawan sahaja, sedangkan agama itu berada dalam setiap diri mereka yang mengaku beriman. Aku ni orang biasa-biasa sahaja.Kenapa begitu ya?
Jika sahabat nabi ada yang bersikap begini, sudah tentu agama tidak tersebar dan sampai kepada kita pada hari ini. Dakwah perlu dilakukan tanpa syarat, setiap jam umat Nabi Muhammad yang mengaku beriman harus berfikir bagaimana untuk menyampaikan agama, peringatan dan nasihat ini kepada manusia lain.
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.
Saya pernah terhentak dengan satu nasihat, dalam Al-Quran terdapat 6236, takkan tiada satu ayat yang kita faham dan boleh sampaikan? Berapa lama dah muslim ni?
"Aku tak pandai sangat agama ni,kalau dakwah nanti tersalah bagitahu, sesat orang padah nanti, bahaya" . Betul, untuk menyampaikan agama kita mesti faham agama. Sebagaimana kata hukamak,
فاقد الشيء لا يعطيه
Maksudnya: Orang yang tidak memiliki sesuatu, tidak dapat memberi sesuatu itu.
Seringkali kita menganggap dakwah ini, kena pandai berceramah, kene pandai tazkirah dan keluarkan ayat-ayat Al-Quran. Ya, dakwah asalnya memang perlu menyampaikan ayat-ayat Allah, kerana itu adalah perintah. Nabi sendiri tidak mengeluarkan pendapatnya melainkan semuanya adalah wahyu. Tetapi, jika kita nampak budak-budak tidak solat dan berkelakuan tidak sopan, boleh tak kita tegur? Ya,boleh…itupun sebahagian dari dakwah.Jika kita lihat orang buang sampah dan puntung rokok merata-rata boleh tak tegur? Ya boleh, itu adalah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah keburukan. Tapi ramai tidak buat sebab takut nanti di kata sebagai menjaga tepi kain orang, menyibuk, bukan hal engkau kenapa nak sibuk dan sebagainya.
" Dakwah ni, kita bagi kepada yang pakar sahaja, Ustaz alim ulama" Ya itu jika untuk anda mengajarkan pelajaran seperti pengajian berkitab, mengajar Al-Quran,hadis, fikah dah hukum-hakam. Tetapi untuk menegur dan mengajak orang pergi solat berjemaah, tidak perlu tunggu kita menjadi orang alim untuk menegur dan memberi nasihat, itu adalah tanggungjawab semua orang. Betul tak?
" Kalau orang yang kita dakwah tanya, pastu kita xdapat jawab malu nanti" . Tidak mengapa malu dihadapan orang berbanding malu di hadapan Allah tidak melaksanakan tanggungawab untuk menyampaikan. Jika tidak tahu, sebut sahaja aku tak tahu, nanti aku beri tahu semula, tidak ada keaiban melainkan ianya satu kemuliaan. Tetapi Itulah kita ,macam-macam alasan yang kita berikan untuk berlepas diri dari tugasan dakwah, sedangkan kita tak buat dakwah pun lagi.
"Setiap individu memiliki peranannya dalam menyampaikan dakwah, tak kiralah sekecil manapun nasihat itu"
Dakwah perlu buat untuk belajar
Untuk faham bagaimana berdakwah kita mesti buat. Berani tegur dan berani cakap. Dalam satu perjalanan ke sebuah negeri ketika menaiki kapal terbang, saya mengambil peluang berbual dengan penumpang di sebelah, seorang pelancong dari Austria. Saya mulakan dengan bertanya khabar, dari mana nak kemana, tujuan melancong ,siapa bersamanya, apa hobinya, cadangan makanan-makanan enak di Malaysia dan macam-macam lagi. Tidak terus kepada topik agama, tetapi lebih kepada perbualan mesra dengan niat agar ada point nanti yang boleh digunakan untuk menyampaikan sepatah atau dua patah ayat Quran kepadanya.
Alhamdulillah, saya sempat berkongsi beberapa ayat Al-Quran, membaca dan menperdengarkan kepada beliau. Membaca terjemahan, explain dengan tenang, sabar dan tersenyum. Alhamdulillah, good respond, tiada kata-kata buruk dari beliau bahkan pujian. Tapi itu bukanlah yang kita mahu, kita mahu sampaikan. Hidayah adalah milik Allah. Saya masih belajar.
Setelah berpisah, saya sempat minta bergambar dan meminta email daripadanya agar mesej terus dapat disampaikan. Saya mengutuskan email dan meminta alamat supaya dapat menghantar senaskah Al-Quran terjemahan kepada beliau, rakan-rakan dan keluarganya. Semoga Allah bukakan hatinya untuk menerima hidayah. Tetapi jika kita buat hal sendiri dan dia buat hal sendiri, pasti dakwah tidak berlaku. Saya masih lagi belajar dan memberanikan diri. Kadang kala ada juga masa senyap seribu bahasa,dalam kepada ligat berfikir apa dan bagaimana ingin memulakan. Takut ada juga...tetapi bila teringat kisah dalam surah An-Namlu, bagaimana seriusnya tindakan yang dialmbil Nabi Sulaiman apabila mendengar berita dari burung hud-hud tentang ada seorang raja yang syirik menyembah matahari. Syirik perlu ditegah, perlu dibasmi. Tujuan Al-Quran menceritakan kisah itu, agar kita turut melakukan yang sama. Kita perlu juga berani dan tekad untuk berdakwah. Akhirnya dengan kesungguhan Nabi Allah Sulaiman, Ratu Balqis memeluk Islam. Hebat dan indah kisahnya!
Wahai Manusia
Dalam Al-Quran ada ayat yang ditujukan kepada orang-orang beriman yang dimulai dengan " Wahai Orang-orang yang beriman" dan ada juga ayat yang dimulai dengan " Wahai Manusia" iaitu يَا أَيُّهَا النَّاسُ . Tahukah kita terdapat 20 ayat dalam Al-Quran menyebut tentang Wahai Manusia? Ayat ini ditujukan bukan sahaja kepada orang beriman, tetapi juga kepada seluruh manusia tanpa mengira apapun bangsa dan agama mereka. Kerana apa? Kerana Al-Quran adalah untuk seluruh manusia, bukan untuk orang Islam sahaja. Persoalannya? Ada mereka tahu dan dengar ayat-ayat ini? Pasti tidak, kerana mereka tidak membaca Al-Quran. Jadi tanggungjawab siapa untuk menyampaikan ayat ini kepada mereka? Tentunya kita, orang Islam. Tapi jika kita tidak berdakwah dengan menyampaikan ayat ini kepada mereka, agak-agak siapa yang akan menyampaikan kepada mereka. Adakah mereka salah? Tentu tidak, bahkan kita yang akan dipersoalkan.
Convey not Convert
Seringkali kita takut untuk berdakwah kerana pada fikiran kita, kita tidak pandai untuk convert mereka kepada Islam. Sebenarnya yang memberi hidayah itu bukan kerja kita, itu kerja Allah SWT. Mengapa bapa saudara yang nabi Muhammad kasihi masih juga tidak beriman walaupun didakwahi oleh seorang yang mahir dalam dakwah? Ya, kerana hidayah bukan milik Nabi, ianya mutlak milik Allah SWT. Tugas kita hanyalah sampaikan sahaja.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman :
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
"Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk". [Al Qashash/28 : 56]
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments