Font size: +
4 minutes reading time (819 words)

Nak Hidup Berapa Lama?

Ai Generated Image

Renungan Menghadapi Kematian dalam Perspektif Surah Al-Baqarah

"Nak hidup berapa lama?" sebuah soalan yang mengajak kita merenung lebih dalam mengenai kehidupan ini dan yang akan datang. Surah Al-Baqarah dalam Al-Quran mengajarkan kita banyak tentang keangkuhan dan ego manusia, yang kadang-kadang membuat kita sering lupa akan hakikat kematian dan kehidupan abadi di akhirat.

Dalam satu sesi tadabbur, saya ada bertanya kepada sahabat-sahabat, " Siapa nak masuk syurga angkat tangan", semua angkat tangan tanpa terkecuali seorang pun. " Tapi, nak masuk syurga ada syaratnya, iaitu mati" sambung saya. "Siapa nak mati angkat tangan " , mendengar perkataan mati membuatkan semua orang terkejut dan tak ada siapa yang berani angkat tangan. Cuba tanya diri kita, adakah kita akan masuk syurga nanti? Pasti semua orang menginginkannya. Jika disitu tempat yang akan kita pergi mengapa kita takut? Tak lain dan tak bukan kerana masih menebal perasaan cinta dunia.

Inilah yang seperti digambarkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 111 tentang perihal orang Yahudi yang merasakan diri mereka lebih mulia dan syurga adalah hak eksklusif mereka. Mereka percaya diri mereka mulia dan terbaik berbanding manusia-manusia lain, katanya mereka ini sebagai anak-anak Allah dan dikasihi-Nya. Allah berfirman, وَقَالُوا لَن يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ("Dan mereka berkata: 'Tidak akan masuk syurga melainkan orang yang beragama Yahudi atau Nasrani...'").

Ironisnya, sikap ini tidak asing juga di kalangan umat Islam kita hari ini. Jika kita perasan, perkataan ini berlegar di kalangan kita orang Islam, ramai kita merasakan selamat dengan title Islam yang ada. Banyak di antara kita merasa diri kita sudah cukup amal dan pasti layak untuk syurga, walaupun amalan kita sikit, jauh dari sempurna.. Firman Allah, وَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ ("Dan tidak merasa aman dari siksa Allah melainkan kaum yang rugi") Al-'Araf 99 , menjadi peringatan keras buat kita semua. Maksudnya, orang yang dah rasa selesa dengan amalan mereka, pasti mereka ini akan tergolong dalam golongan orang yang rugi. Pernah dengar kan " Aku ni biasa-biasa je". Untuk masuk syurga yang luar biasa hebat, takkan amalan ala kadar sahaja. Ya memang betul, masuk syurga bukan bukan sebab amalan banyak atau sikit, tetapi dengan rahmah Allah. Untuk nak dapat rahmah Allah, mestilah kena beramal. Beramal pula dengan amalan yang diajar oleh Baginda Nabi SAW dengan istiqamah.

Saya ada bertanya (untuk diri dan untuk rakan-rakan semua muhasabah), "Jika diberi peluang untuk mempunyai umur yang panjang, berapa lama kita berhajat untuk minta?" Pelbagai jawapan kita dapat. Ada yang nak lama, ada yang tak kisah, yang tak nak mati pun ada. Apapun jawapannya, ketakutan menghadapi kematian itu pasti menggangu fikiran kita kerana kita tahu kita masih belum cukup bersedia. Inilah yang dirisaukan oleh Nabi kepada ummatnya, cinta dunia dan takut mati. Kita dah tahu kematian itu pasti dan pasti akan datang, namun persediaan yang dibuat pun ala kadar sahaja dan itu pun kita sering terlupa dek kerana kesibukan kita dengan pelbagai urusan dan rencam dunia yang tidak pernah berkesudahan.

Dalam Al-Baqarah ayat 94, Allah menceritakan keyakinan orang-orang Yahudi yang mereka akan masuk syurga. Apabila mereka diminta untuk memohon kematian, mereka tidak ingin. Jika dah tahu akan dapat masuk syurga, lebih baik mati dan masuk syurga terus dari pening kepala memikirkan dan penat menghadapi kehidupan dunia yang serba mencabar ni. Betul tak?

Bertambah umur tidak semestinya bermakna bertambah amalan atau bertambah dekat dengan Allah. Kaum Yahudi sendiri, yang dijelaskan dalam Al-Baqarah ayat 96 ingin hidup 1000 tahun, sebenarnya juga takut untuk mati, dan umur yang panjang itu tidak pula dapat melepaskan mereka dari siksa dan azab Allah. Allah berfirman,

 وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ ٱلنَّاسِ عَلَىٰ حَيَوٰةٍۢ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍۢ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِۦ مِنَ ٱلْعَذَابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا يَعْمَلُونَ 
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.

Ini jelas menunjukkan bahawa panjang umur tidak akan menjauhkan kita dari azab Allah jika kita tidak memanfaatkan umur tersebut untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Maka, soalan "Nak hidup berapa lama?" harus membawa kita kepada renungan: adakah kita benar-benar memanfaatkan waktu yang ada untuk mempersiapkan diri untuk akhirat? Panjang umur tidak menjamin kita semakin dekat dengan Allah. Yang penting adalah bagaimana kita memanfaatkan setiap saat yang kita ada untuk mengisi 'lembaran kehidupan' kita dengan amal yang baik dan ikhlas. Jadi, tak kisahlah hidup panjang atau singkat. Jika dikurniakan umur yang panjang alhamdulillah, mohonlah agar dikurniakan keberkatan dalam amalan. Iblis, syaitan, Dajjal dikurniakan umur yang panjang. Tetapi mereka tetap dalam keadaan sesat. Mudahan kita terselamat dan terpelihara dari mereka yang dikurniakan umur yang panjang, tetapi hidup dalam penuh kelalaian dan maksiat. Ini adalah satu kerugiaan yang sangat besar.



×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Apa yang kita lebih sayang?
Ghurur: Peringatan Agar Tidak Terpesona Dengan Dun...
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024