Font size: +
4 minutes reading time (777 words)

Apa yang kita lebih sayang?

Dalam hidup ini pasti ada benda dan perkara yang kita sangat sayang contohnya anak isteri, ibubapa dan juga mungkin benda-benda yang kita beli seperti rumah, kereta, telefon, komputer, koleksi barangan dan sebagainya. Kenapa? Kerana semua perkara itu kita telah dapatkan dengan susah payah, memerah keringat, membanting tulang siang dan malam.Itulah ukuran usaha kita dengan nilai cinta dan kasih sayang kita terhadap sesuatu perkara.

Impian memiliki kereta pasti ada pada setiap anak muda atau yang rasa jiwanya masih muda. Kumpul duit, berjimat, kerja part time untuk memasti impian mendapat kereta yang dia hajati. Bila dah dapat, semua dijaga dengan rapi, setiap minggu di cuci,polish,vacum untuk sentiasa kelihatan bersih dan cantik. Tak cukup dengan itu, pelbagai aksesori ditambah, spoiler,skirting,dashcam, tinted dan sebagainya. Kita menjaga dengan extra care sebab ia hasil titik peluh sendiri. Ia amat berbeza dengan benda yang kita dapat secara percuma. Benda percuma ramai yang tak hargai, ada kadang-kadang terlupa di mana letaknya, kalau hilang pun tak kisah sangat dan ia tak dijaga seperti mana barang yang kita beli sendiri.

Begitulah halnya iman dalam diri kita. Ramai dari kita lahir-lahir dah dalam keadaan Islam, warisan dari mak ayah kita, tak hargai dan ramai tak kisah bagaimana keadaan iman mereka. Ya, kita dapat secara PERCUMA!

Rasulullah SAW bersabda, "Barang siapa yang memiliki tiga ciri, dia akan merasakan kemanisan iman: Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai dari yang lain, dia mencintai seseorang hanya karena Allah, dan dia benci kembali ke dalam kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga dan menghargai iman.

Jika kereta telefon dijaga rapi, apakah pula usaha kita lakukan untuk menjaga agama dan iman dalam diri? Apakah cukup dengan sekadar menunaikan solat, berpuasa, dan melaksanakan rukun Islam yang lainnya? Kita semua tahu bahwa iman tidaklah statik; jika ia tidak naik pasti ia akan turun, ia bergantung sepenuhnya pada amalan kita sehari-hari.Sungguh ironis apabila kita melihat betapa kita begitu gigih dalam menjaga barang-barang material seperti iPhone, kereta, dan motor baru, namun apabila datang kepada iman, semangat untuk menjaga dan memeliharanya tidak sekuat itu. Tiada kita kisah & ramai orang tak kisah iman dalam diri semakin menurun saban hari. Padahal, tanpa iman, kita sebenarnya berada dalam kerugian yang tidak terhingga.

Mengapa iman ini begitu penting? Kerana iman adalah asas bagi segala amalan kita. Imanlah yang menggerakkan hati kita untuk berbuat baik dan menghindari kejahatan, membuang halangan di jalanan, memberi makan orang miskin, membantu saudara yang berada dalam kesusahan, memberi sedekah,membuat kebaikan kepada ibubapa adik beradik,menyambung silaturrahim. Iman juga yang memberi kekuatan saat kita diuji dan memberi harapan saat kita dihimpit kesusahan dan terselamat dari putus asa. Pernah kita dengar istilah mati dalam iman, mati di masjid ketika solat berjemaah, ketika membaca Al-Quran, ketika membuat kebaikan. Bagaimana nak mati dalam keadaan begitu jika iman kita tidak membantu untuk kita melazimi kebaikan dalam kehidupan harian kita?

Jadi apakah usaha dan cara untuk kita meningkatkan iman? Tak lain dan tak bukan adalah memahami agama , dengan ilmu yang benar, dengan tadabbur atau memahami apa yang Allah perkatakan dalam Al-Quran. 

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ٢ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ ٣ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ حَقًّۭا ۚ لَّهُمْ دَرَجَـٰتٌ عِندَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌۭ وَرِزْقٌۭ كَرِيمٌۭ

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan bila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan kepada Tuhan mereka mereka bertawakkal, (yaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang benar imannya; bagi mereka darjat (yang tinggi) di sisi Tuhan mereka, serta ampunan dan rezeki yang mulia." Surah Al-Anfal (8:2-4) 

 Ayat-ayat ini secara jelas mendefinisikan ciri-ciri orang beriman dan bagaimana reaksi mereka terhadap ayat-ayat Allah. Apabila mereka faham ayat Allah dan mereka beramal, maka bertambahlah rasa keimanan mereka kepada Allah.Oleh itu, marilah kita sama-sama mengajak diri dan orang ramai untuk menjaga,memelihara iman. Usahakan untuk terus memperbaharui niat dalam setiap amalan, menuntut ilmu tentang agama dengan lebih mendalam, dan sentiasa berdoa agar hati kita tetap terpaut pada yang Maha Kuasa. Jika rasa diri jauh dari masjid surau, hari ini istiqomahkan untuk terus solat berjemaah, tidak meninggalkan bacaan Al-Quran, istighfar (mohon ampun) dan selawat kepada Nabi. Lazimi perkataan-perkataan yang baik dari mulut dan tinggalkan perkara-perkara haram dan makruh, sentiasa beri salam dan tersenyum walaupun dengan orang yang kita tidak kenal. Insyaallah dengan amalan kecil ini, kita akan rasa hidup dirahmati, diberkati dan lapang dari masalah hidup. Jangan lupa untuk mewarnai setiap detik kehidupan dengan amal soleh yang ikhlas karena Allah, sekaligus memancarkan kebaikan itu kepada orang lain.

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Taatlah kepada ibu dan bapa
Nak Hidup Berapa Lama?
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024