Font size: +
4 minutes reading time (852 words)

Taatlah kepada ibu dan bapa

 ۞ وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا

Maksudnya : "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)". ( Al – Isra' : 23)

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata,

Petikan dari ayat Al -Isra ayat 23 menyatakan tentang 2 arahan. Dimana kalimah وَقَضَىٰ ( telah perintah) membawa maksud suatu arahan yang Allah berikan kepada manusia dari dahulu lagi. Allah perintahkan manusia untuk mentauhidkan Allah meninggalkan perbuatan menyekutukannya. Musibah yang menimpa kita hari ini terkadang-kadang disebabkan adanya amalan syirik yang kita lakukan sama ada secara ataupun tidak sedar. Allah sedang memperingatkan kita untuk kembali kepadanya serta berada di dalam landasan Akidah yang benar


وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًاۚ

Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa

Allah juga perintahkan manusia untuk berbuat baik kepada ibu bapa selepas diperintahkan manusia untuk mentauhidkannya. Ini membawa maksud bahawa di dalam kita menunaikan hak diantara manusia dengan Allah, manusia juga perlu menunaikan haknya juga sesama manusia.

Berbuat baik kepada ibu bapa merupakan suatu perbuatan yang wajib dilakukan malahan dituntut dalam agama Islam sama ada mereka baik atau sebaliknya. Walaupun ibu bapa itu tidak baik, itu tidak menjadi suatu alasan untuk tidak melakukan kebaikan kepada mereka walaupun mereka mengabaikan dan menindas kita sewaktu kecil.

إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا

Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu

Didalam ayat ini juga Allah memerintah untuk menjaga ibu bapa setelah mereka sudah uzur atas dasar untuk menguji kesabaran dalam menjaga mereka.

Tidak dinafikan, menjaga ibu bapa yang uzur suatu cabaran yang besar bagi diri kita. Walaupun apa yang mereka buat atau katakan itu sakitkan hati namun kita kena bersabar dan tahan perasaan dari menjadi kurang ajar kepada mereka.

Ini suatu nasihat amat penting terutama sekali kepada orang yang berkahwin, sebab mereka sudah mempunyai keluarga sendiri dan sudah sibuk dengan kehidupan mereka sendiri. Maka mereka kena berusaha lebih sedikit untuk meluangkan masa mereka untuk ibu bapa.

فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ

Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah"

Allah memberi peringatan kepada setiap manusia dengan kalimah فَلَا تَقُل ( Maka janganlah ) membawa maksud melarang dalam meninggikan suara keatas Ibu Bapa.

Dan kalimah أُفٍّۢ (ah) diertikan dengan perkataan mengeluh atau seumpama dengannya. Perkataan ini jika dilihat lembut dan pendek untuk dikata namun ianya kasar dalam percakapan. Adakalanya ia diungkapkan dengan riak muka dan perbuatan yang yang dianggap serabut.

Allah memperingatkan manusia juga tentang adanya batas-batas percakapan dengan Ibubapa yang sudah lanjut usia sebab Allah ingin mengajar manusia untuk berbicara dengan mereka itu dengan penuh hemah, beradab dan menjaga perasaan mereka.

وَلَا تَنْهَرْهُمَا

Dan janganlah engkau menengking menyergah mereka

Kalimah تَنهَرهُما diambil asalnya dari kalimah نَهَرَ (sungai). Ayat ini digunakan untuk memberi maksud marah kepada seseorang, sebab orang yang dimarahi berulang-ulang kali itu seperti mereka dihambur dengan air sungai yang deras.

Allah ingin mengajar kita melalui potongan ayat ini supaya menjaga perasaan diri agar jangan sampai kita marah, menghambur kata-kata buruk dan menyakitkan hati kepada ibu bapa kita.

Dalam ayat ini tidak disebutkan berkenaan memukul ibu bapa begitu juga didalam ayat-ayat yang lain namun kita boleh faham begini: kalau tengking dan kata "Ah" pun tidak boleh dengan mereka, apatah lagi kalau pukul mereka. Itu tentulah lebih teruk jadi tidak perlu disebut.

وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا

Tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)

Ayat ini menyuruh kita untuk bercakap dengan ibu bapa kita dengan kata-kata yang baik. Iaitu kata-kata yang penuh lemah lembut dan hormati mereka sungguh-sungguh. Maka gunakan perkataan yang mulia iaitu kata-kata yang tidak menyakiti hati.

Terdapat pelbagai hadis yang menyebutkan tentang berbakti kepada kedua orang tua, diantara hadith itu ialah diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda :

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏

Maksudnya: "Kehinaan, kehinaan, kehinaan." Baginda ditanya: "Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga."


NATIJAH

  • Mentauhidkan Allah & meninggalkan perbuatan menyekutukannya dengan kembali kepadanya serta berada di dalam landasan Akidah yang benar.
  • Berbuat baik kepada ibu bapa selepas diperintahkan manusia untuk mentauhidkan Allah merupakan suatu perintah juga.
  • Menjaga ibu bapa setelah mereka sudah uzur adalah ujian kesabaran bagi diri kita dalam menjaga mereka.
  • Berbicara dengan mereka itu dengan penuh hemah, beradab dan menjaga perasaan mereka.
  • Jangan marah, menghambur kata-kata buruk dan menyakitkan hati kepada ibu bapa kita.
  • Bercakap dengan ibu bapa dengan kata-kata yang baik melalui kata-kata yang penuh lemah lembut dan bersungguh-sungguh hormati mereka.
×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Kekuatan Rakyat Palestine
Apa yang kita lebih sayang?
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024