Font size: +
9 minutes reading time (1702 words)

Kekuatan Rakyat Palestine

Isu Palestin masih tidak reda dan tidak nampak tanda-tanda ia berakhir dalam tempoh yang terdekat. Walau apapun punca peperangan samada akidah ataupun politik, umat Islam diperlakukan tanpa belas seolah mereka tidak ada hak untuk hidup di bumi ini. Sejarah tidak menipu, bukan sahaja di bumi Palestin, tetapi di seluruh dunia. Srebrenica Massacre di Bosnia pada tahun 1995, Rohingya, India, Afghanistan telah menceritakan plot cerita yang lebih kurang sama. Di Palestin, sudahlah diusir dari tanahair, rumah, sekolah dan semua harta awam musnah diranapkan oleh rejim Zionis yang sememangnya terkenal dengan sikap melampaui batas. Al-Quran telah menceritakan segala-galanya tentang perihal,sifat degil,tidak berpegang pada janji, menipu, ingkar dan bagaimana kaum inilah yang menjadi dalang dalam pembunuhan nabi-nabi mereka,menyihir,meracun dan cubaan membunuh Nabi SAW. Ironinya, mereka masih merasakan mereka ni bangsa dan umat terbaik serta terpilih dan hanya kaum mereka sahaja yang dapat masuk syurga. Jika nabi pun mereka sanggup bunuh, apatah lagi membunuh orang-orang biasa, wanita, kanak-kanak dan orang tua, pasti ia lebih mudah dan senang untuk dilakukan.

Genocide, penghapusan etnik, kesumat hitam, entah apa yang difikirkan dalam jiwa mereka sehingga terpacul rakyat Palestin ini seperti binatang yang tidak bertamadun dan harus dihapuskan. Sungguh, tak sampai hati melihat bagaikan hati ini disiat-siat melihat keadaan saudara islam kita diperlakukan sedemikian rupa. Rakyat kita bersoladiriti, berhimpun, memboikot untuk menunjukkan tanda protes terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Itulah yang patut kita rasa sebagai tanda mukmin bersaudara. Kata Nabi SAW, tidak sempurna iman seseorang sehingga ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri.

Berikanlah apapun alasan, nama, teori, motif, makar, rancangan atau konspirasi yang dikaitkan dengan apa yang berlaku hari ini yang didalangi oleh kufar dan munafik, bagi kita orang yang berakal dan beriman,semua ini telah pun ditulis ketentuannya untuk membenarkan sabda-sabda Nabi tentang betapa dekatnya usia dunia ini dengan hari akhir. Pembantaian umat Islam adalah satu sunnatullah yang pasti dan mesti berlaku.Umat Islam menjadi mangsa kerakusan nafsu materialistik Barat. Bukankah Nabi telah khabarkan kepada kita yang umat ini akan diserang dari segenap penjuru dan arah? Ini tidaklah pelik dan bukan sesuatu yang baru terjadi kerana ia telahpun berlaku sejak sekian lama. Keadaan geopolitik mutakhir ini adalah sebahagian daripada perlaksanaan perancangan Allah yang telah diizinkan. Dia Maha Hebat, Maha Mengetahui apa yang sedang berlaku. Jika Dia yang merancang, tiada siapapun yang dapat menghalang.

Sebilangan ada bertanya, mengapakah Allah membiarkan sahaja orang dan umat Islam dizalimi sebegitu hebat? Dimana sifat kasih-sayang dan rahmah Allah? Ada, dalam satu hadis riwayat Tirmizi, Nabi beritahu ujian itu tanda Allah cinta. Semakin besar ujian semakin besar ganjarannya.

"Kebesaran ganjaran sejajar dengan besarnya ujian; dan sesungguhnya apabila Allah mencintai seseorang, Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang bersabar akan mendapat keredhaan-Nya, dan barangsiapa yang marah akan menerima murka-Nya.- HR Tirmizi

Sebenarnya, Allah sedang menguji iman mereka dan ingin memberikan mereka ganjaran yang jauh lebih besar. Ramai yang syahid dan mendapat tempat yang jauh lebih baik dari bumi Palestin itu sendiri, iaitu syurga. Syurga yang paling rendah pun sepuluh kali ganda kenikmatan dunia. Inikan pula mati syahid, masuk syurga tanpa hisab. Kita disini belum tentu nasibnya, jadi kita perlu gembira dan ucap tahniah kepada mereka kerana telah beroleh kejayaan sebenar iaitu syurga, sepertimana firman Allah SWT.

كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ ١٨٥

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Aali-Imran:185

Cuma di mata kita sedih melihat beribu anak-anak kecil mati dalam keadaan tragis. Alhamdulillah, mereka semua masih hidup dan berada di tempat yang jauh lebih baik dari kita, cuma kita sahaja yang tidak sedar.

وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَن يُقْتَلُ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتٌۢ ۚ بَلْ أَحْيَآءٌۭ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ ١٥٤

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.Al-Baqarah:154



Tiada lagi kesakitan dan kedukaan melainkan kegembiraan yang berpanjangan. Mereka hidup, hidup di sisi Allah. Bagaimana keadaan orang yang hidup di sisi Allah? Apakah sama dengan kehidupan kita hari ini? Sudah tentu ia lebih baik.

Jadi,kenapa ganjaran mereka dapat besar dan infiniti bilangannya? Lihatlah bagaimana reaksi spontan dan kesabaran mereka apabila berhadapan dengan petaka dahsyat. Inilah yang telah menjadi penyaksiaan tentang kebenaran iman yang berada dalam diri mereka. Sebab mereka berimanlah mereka diuji. Dengan ujian itulah maka diketahui samada iman didada itu sahih atau sekadar ucapan di tepi bibir.

وَلَقَدْ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَلَيَعْلَمَنَّ ٱلْكَـٰذِبِينَ ٣

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. - Al-Ankabut:3

Namun lain pula halnya yang kita lihat di barat. Akibat stereotaip pemimpin antarabangsa, kelembapan pemimpin dunia Islam memberi reaksi terhadap tindakan rakus Israel, melabelkan Hamas sebagai pengganas serta ketidakadilan media melaporkan tentang krisis dan konflik ini telah menyebabkan beribu-ribu jiwa baru kembali kepada Islam. Persis peristiwa 9/11 di New York. Islamophobia yang dirancang, Islamophilia yang menjadi hasil. Disebalik ribuan syuhada yang syahid, masyarakat barat mula membeli, membelek, membaca tafsir, mentadabbur kalam Allah kerana mereka sangat terkesima serta tertanya-tanya darimana dan bagaimanakah masyarakat Palestin mendapat kekuatan yang hebat sebegitu rupa. Tauhid mereka utuh, tawakkal mereka hebat,imannya kental dan padu, akhlaknya indah dan akhirnya menjadi asbab kepada beribu jiwa tunduk dan patuh kepada Allah. Hidayah ini diperolehi hanya disebabkan penyaksiaan kebenaran iman hebat orang-orang Palestin ini. Besar pengorbanan mereka.

Seluruh mata melihat tanah dan jiwa Palestin dijajah tapi jiwa dan iman mereka tetap bebas. Rupanya yang terjajah adalah jiwa umat di seluruh dunia.Jiwa-jiwa kita mati terkulai sebelum perang. Bungkam seribu bahasa. Mungkin kerana itulah pokok dan batu akhirnya berbicara memberitahu muslimin dimana musuh. Kita kalah dan masih bergelut dengan nafsu,amanah kerja,integriti dan akhlak. Mungkin itulah juga yang dimaksudkan dalam hadis, umat Islam seperti sampah yang dibawa air hujan. Sungguh tidak bernilai langsung.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,"Hampir saja para umat (yang kafir dan sesat, pen) mengerumuni kalian dari berbagai penjuru, sebagaimana mereka berkumpul menghadapi makanan dalam piring". Kemudian seseorang bertanya,"Katakanlah wahai Rasulullah, apakah kami pada saat itu sedikit?" Rasulullah berkata,"Bahkan kalian pada saat itu banyak, akan tetapi kalian adalah sampah yang dibawa oleh air hujan. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kalian dan akan menimpakan dalam hati kalian 'Wahn'. Kemudian seseorang bertanya,"Apa itu 'wahn'?" Rasulullah berkata,"Cinta dunia dan takut mati." (Sahih, HR. Ahmad dan Abu Daud)

Iman kita disini bagaimana pula? Adakah sudah diuji sedemikian hebat? Jika diuji sedemikian, bagaimana keadaan iman kita? Ini mengingatkan saya tentang seorang pemuda beriman dalam kisah ashabul ukhdud yang telah Allah SWT rakam di dalam Surah Al-Buruj. Disebabkan penyaksiaan kebenaran iman seorang budak terhadap Rabbnya, seluruh rakyat di negerinya beriman dengan berkata " Kami beriman kepada Tuhan budak itu". Apa akibatnya? Semua rakyatnya yang beriman dihumban ke dalam parit yang telah dinyalakan api sehingga mereka(tentera raja yang kafir) itu pula berpesta tanpa rasa perikemanusiaan melihat penyiksaan terhadap orang-orang beriman.Lihatlah apa yang orang kafir buat hanya kerana tak boleh terima orang yang beriman kepada Allah.

إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌۭ ٦ وَهُمْ عَلَىٰ مَا يَفْعَلُونَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌۭ ٧

(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya (6), Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman(7)

وَمَا نَقَمُوا۟ مِنْهُمْ إِلَّآ أَن يُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ ٨

Dan mereka menyiksa orang-orang mukmin itu hanya karena (orang-orang mukmin itu) beriman kepada Allah Yang Mahaperkasa, Maha Terpuji,

Soalan kepada diri kita, apakah keadaan kita disini lebih baik dari saudara kita di Palestin? Dari sudut fizikal ya, kita lebih bernasib baik, aman makmur, jauh dari konflik yang melampaui batas. Namun dari aspek iman kita sangat jauh berbeza dari mereka. Tanpa peperangan pun kita telah kalah dengan nafsu. Mereka dalam peperangan masih teguh istiqamah bersolat jemaah, masih sempat membaca Al-Quran, tidak takut mati dan itulah sumber kekuatan mereka. Kita disini pula sangat selesa dengan iman dan Islam yang diwarisi ini. Tiada peperangan pun, solat berjemaah pun tidak sempat, melengah-lengahkan dan mengabaikan solat, membaca dan mentadabburi Al-Quran pula jarang-jarang, itupun kalau ditimpa kesusahan atau kalau-kalau ada masa lapang.

Ya,kita sentiasa disibukkan. Disibukkan dengan nikmat, dan tidak merasakan nikmat itu sebagai satu bentuk ujian.Itulah musibah yang tidak ramai dari kita yang sedar.Musibah dalam bentuk kenikmatan. Ini bertepatan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman,seorang raja yang telah dikurniakan pemerintahan hebat, nikmat yang dia ada sangat banyak namun masih lagi tidak lupa untuk mengembalikan segala yang kesyukuran itu kepada Allah SWT.

قَالَ ٱلَّذِى عِندَهُۥ عِلْمٌۭ مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَءَاهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُۥ قَالَ هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّى لِيَبْلُوَنِىٓ ءَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَن

شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّى غَنِىٌّۭ كَرِيمٌۭ ٤٠

Seorang yang mempunyai ilmu dari Kitab berkata, "Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip." Maka ketika dia (Sulaiman) melihat singgasana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata, "Ini termasuk karunia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-Nya). Barang siapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan barang siapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Mahakaya, Mahamulia." An-Naml:40

Seorang raja yang mempunyai kedudukan yang tinggi, seorang Nabi yang hebat pun rasa nikmat yang diberikan itu adalah ujian untuk menguji beliau samada bersyukur kepada Allah atau kufur. Jadi sekarang apa yang perlu kita risaukan? Ya, risaukan iman kita dalam mentaati perintah Allah SWT. Nikmat kesenangan yang kita ada hari ini adalah bentuk ujian juga. Allah menguji kita dalam pelbagai bentuk, ujian kepada penduduk Palestin dengan peperangan,kematian dan kebuluran dan ujian kepada kita adalah dalam bentuk kesenangan.

Akhir kalam,dari penulisan ini, dapat dilihat bahawa kelemahan umat Muslim disebabkan oleh kurang minat mereka untuk memahami agama, acuh tidak acuh dalam melaksanakan perintah serta menjauhi larangan Allah. Mereka selesa dengan tahap iman yang ada pada mereka. Saya akhiri dengan satu soalan,cukupkah kita dengan hanya menjadi orang beriman yang biasa-biasa sahaja?

Apa khabar iman kita? Iman itu kalau tidak naik,dia akan turun.Iman tidak mendatar. 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Nak Pergi Ke Mana Lepas ni?
Taatlah kepada ibu dan bapa

Related Posts

 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024