Font size: +
4 minutes reading time (744 words)

Al-Quran yang tidak difahami

123

Al-Quran merupakan kitab suci dalam agama Islam, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk dalam kehidupan umat Islam. Perkara ini juga diakui oleh semua umat Islam, akan tetapi, adakah umat Islam betul-betul faham mengenai perkara yang terkandung dan disebutkan dalam al-Quran? Sekiranya faham, apakah amalan berdasarkan al-Quran yang umat Islam praktikkan dalam kehidupan seharian? Sekiranya benar semua umat Islam sudah faham dan pratikkan segala perkara yang terkandung dalam al-Quran, sudah pasti isu-isu masalah yang timbul dalam kehidupan seharian dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik selari dengan ajaran Islam.

Namun, apabila kita melihat masyarakat di dunia pada hari ini amatlah menyedihkan. Terdapat di antara mereka yang mencuri, merogol, mengumpat, memfitnah dan yang paling teruk sekali ialah membunuh. Inikah yang dikatakan mereka faham dan beriman dengan al-Quran? Tidak sama sekali. Hal ini kerana, mereka yang faham dan beriman dengan al-Quran sudah pasti akan meninggalkan segala larangan Allah SWT dan mengerjakan perintah-Nya dengan ikhlas.

Kekurangan pemahaman terhadap al-Quran ini merupakan faktor asas yang menyumbang kepada pelbagai masalah terutamanya masalah sosial dalam masyarakat kita hari ini. Hal ini kerana apabila seseorang individu itu kurang atau tidak memahami al-Quran, maka akan hilanglah panduan moral dan pertimbangan dalam diri seseorang individu yang akhirnya akan membawa kepada tingkahlaku yang tidak bermoral lagi tidak beretika. Apabila seseorang itu faham akan intipati al-Quran, mereka tidak akan sesekali berani melanggar perintah Allah SWT apatah lagi melakukan perkara yang di tegah-Nya.

Selain itu, kekurangan pemahaman terhadap al-Quran juga akan menyebabkan kurangnya rasa tanggungjawab sosial, hak dan kewajipan dalam diri individu. Al-Quran menekankan pentingnya tanggungjawab sosial, termasuk membantu mereka yang memerlukan, bersikap adil dan memelihara hubungan baik dengan orang lain. Kurang pemahaman dan penghayatan tentang tanggungjawab inilah yang akan membawa kepada sikap mementingkan diri sendiri dan mengabaikan kesejahteraan keluarga serta masyarakat dan perkara ini telahpun berlaku kini. Buktinya, terdapat isteri yang diceraikan terpaksa membawa kes tuntutan nafkah ke mahkamah untuk mendapatkan hak nafkah anak, sedangkan, sekiranya suami itu faham akan perkara yang ditegaskan dalam al-Quran, perkara sebegini tidak akan menjadi masalah yang perlu diperdebatkan dan dibawa ke mahkamah. Selain contoh ini, banyak lagi contoh mengenai kes-kes yang berlaku kini disebabkan mereka ini tidak faham dan tidak praktikkan mengenai perkara yang telahpun dinukilkan di dalam al-Quran.

Di samping itu, ia juga boleh mengundang kepada salah faham dan salah tafsir al-Quran. Tanpa kefahaman yang betul mengenai al-Quran, seseorang individu itu akan terdedah kepada kesilapan dalam menafsirkan ataupun menerangkan perkara yang terkandung dalam al-Quran sehingga boleh mempengaruhi hubungan sosial dan mencetuskan konflik. Sebagai contoh, mari kita lihat mengenai konsep toleransi beragama dengan orang yang bukan Islam. Firman Allah dalam Surah al-Kafirun ayat 1-6:

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! (1) "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah (2) "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah (3) "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat (4) "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat (5) "Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku"(6)

Tanpa memahami konteks toleransi beragama dalam Islam, sesetengah individu mungkin menafsirkan bahawa umat Islam tidak perlu berinteraksi dan bertoleransi dengan bukan Islam sedangkan perkara ini sangatlah bertentangan dengan ajaran Islam. Islam tidak pernah menyekat umatnya untuk berinteraksi dengan orang bukan islam, sebaliknya Islam menggalakkan sekaligus mengajarkan sikap hormat-menghormati, keadilan sesama manusia dan prinsip-prinsip toleransi yang boleh dijadikan rujukan ketika berhubungan dengan orang yang bukan Islam. Contoh yang paling jelas berkaitan toleransi dalam sejarah Islam adalah ketika berlakunya Piagam Madinah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW. Piagam ini yang mengatur hak dan tanggungjawab masyarakat Madinah ketika itu untuk hidup bersama dalam keadaan yang aman lagi harmoni walaupun berbeza dari segi agama dan bangsa.

Islam sangat indah dan cintakan keharmonian. Oleh itu mana mungkin perkara yang terkandung dalam al-Quran akan memporak-perandakan masyarakat melainkan apabila seseorang individu itu salah faham sekaligus menyalah tafsir terhadap ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran itu sendiri.

Berdasarkan penjelasan yang telah dinyatakan di atas, setiap umat Islam digalakkan untuk sentiasa memperbaiki diri dengan menyibukkan diri untuk menuntut ilmu agar segala perkara yang terkandung dalam al-Quran itu jelas difahami dan dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Dengan usaha yang berterusan dan keikhlasan dalam mencari pengetahuan, pemahaman yang lebih baik tentang al-Quran ini akan membantu mengatasi masalah sosial yang semakin membarah kini kepada kehidupan yang lebih harmoni dan bermoral. Sesungguhnya al-Quran itu meliputi banyak perkara dalam kehidupan umat Islam dan ia juga sentiasa relevan sepanjang zaman. Relevansinya tidak terbatas kepada masa atau tempat tertentu, tetapi meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia secara menyeluruh. Susulan daripada itu, diharapkan agar umat Islam khususnya, memberi perhatian dalam memahami kandungan yang terdapat dalam al-Quran dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. 


Wallahu a'lam

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH
DEMI MASA
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024