YKAT Blog
DEMI MASA
وَالْعَصْرِ
إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْر
Maksudnya: Demi Masa (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan akan kebenaran dan sabar (3)
[Surah al-Asr: 1-3]
Penulisan kali ini diinspirasikan daripada surah yang terdapat dalam al-Quran yang disebut sebagai Surah al-Asr. Surah ini sangat pendek dan mempunyai 3 ayat sahaja yang membentangkan kepada kita mengenai cara-cara untuk berjaya di dunia mahupun di akhirat. Imam al-Shafie berkata tentang surah ini, "Seandainya manusia merenungi surah ini, nescaya surah ini telah mencukupkan mereka."
Surah ini mempunyai makna yang mendalam sehinggakan masyarakat kini sering membaca surah ini apabila selesai dan tamat pertemuan sebagai penutup perbincangan. Hal ini kerana surah ini sering mengingatkan kita tentang pentingnya menguruskan masa dengan bijak untuk perkara-perkara yang baik, beramal soleh dan saling ingat mengingati dalam kebenaran dan kesabaran. Surah ini juga merupakan amalan sebahagian daripada sahabat nabi bagi tujuan memuliakan majlis dan ia seiring dengan tuntutan menjaga adab di dalam majlis.
Pengurusan masa merupakan antara aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam kehidupan seseorang insan yang ingin berjaya. Hal ini kerana masa ini sangatlah berharga kerana ia akan terus berjalan walaupun kita berhenti atau berehat seketika. Oleh sebab itulah pepatah melayu ada mengatakan bahawa "Masa itu Emas". Seperti yang kita sedia maklum, emas merupakan perkara yang mahal lagi berharga dan sebab itulah ia dikaitan dengan masa. Walhal ada yang mengatakan masa ini lebih berharga daripada emas kerana emas yang hilang masih boleh diganti, akan tetapi tidak dengan masa. Sedetik yang berlalu sudah tidak dapat diganti semula.
Walaupun begitu, manusia ini sifatnya sering terleka dengan masa lapang dan mudah terbuai dengan kemanisan dunia. Sebab itulah dalam surah al-Asr ayat 3 Allah SWT telah menyatakan bahawa manusia ini seringkali dalam kerugian melalaikan. Oleh sebab itulah, setiap manusia perlu memberi peringatan antara satu sama lain ke arah kebaikan.
Walaupun sudah dinukilkan didalam al-Quran, bila kita memerhatikan persekitaran di sekeliling kita, kita boleh lihat berapa ramai yang mengambil pengajaran daripada surah ini dan berapa ramai yang masih tersunggur di pentas arena dunia fana apabila dikaitan dengan pengurusan masa ini. Ramainya masyarakat kini disibukkan dengan berita yang terdapat di alam maya sehingga terbuai dan terlupa bahawa mereka ini sebenarnya hidup di alam nyata. Masyarakat kini lebih selesa dan suka menghabiskan masa yang terluang dengan perkara yang membawa kepada keseronokkan yang dapat menghiburkan diri sehingga terlalai daripada memikirkan tentang kematian yang saban hari mendekati.
Akan tetapi, tidaklah semua manusia itu lalai. Terdapat masyarakat yang betul-betul menghargai masanya dengan perkara yang bermanfaat untuk diri, keluarga dan agama. Mereka inilah yang dikatakan sebagai mukmin yang sejati kerana mereka mendalami dan menghayati perkara yang dinyatakan dalam al-Quran. Oleh itu, kita mestilah sentiasa memperbaiki diri daripada satu tahap kepada satu tahap yang lebih baik agar kita dapat persiapkan diri dengan sebaik-baik bekalan sebelum dijemput Ilahi.
Kesimpulannya, daripada Surah al-Asr ini dapat kita simpulkan dan dijadikan pengajaran agar kita sentiasa peka dengan masa dan memenuhi masa tersebut dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.
Wallahu a'lam.
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments