Font size: +
5 minutes reading time (934 words)

TIPS SEDEKAH: MENYEMBUNYIKAN AMALAN SEDEKAH

Bersedekah Tips Bersedekah: Menyembunyikan amalan sedekah

Secara umumnya, sedekah ini didefinisikan sebagai suatu pemberian yang diberikan kepada seseorang yang lain secara sukarela tanpa dibatasi waktu dan jumlah yang tertentu. Secara terminologi syariat pula, sedekah juga dipanggil sebagai infaq yang membawa maksud menafkahkan, membelanjakan dan mengeluarkan perkara yang dimiliki demi meraih keredhaan Allah SWT.

Sedekah merupakan salah satu amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam untuk dilaksanakan oleh setiap umat Islam. Sebagaimana yang terdapat dalam Kitab al-Mu'jam al-Mufahras Lil al-Fasi al-Quran al-Karim, perkataan sadaqah dalam bentuk tunggal yakni mufrat telah diulang sebanyak lima kali dalam Surah al-Baqarah:196 & 263, Surah an-Nisa': 114, Surah at-Taubah: 103 dan al-Mujadalah: 12. Manakala dalam bentuk plural yakni jamak pula diulang sebanyak 12 kali.[1] Apabila sudah diulang berkali-kali dalam al-Quran, ia menunjukkan betapa pentingnya amalan tersebut.

Amalan sedekah ini merupakan tanda bahawa kita mensyukuri segala pemberian dan nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita sekaligus menunjukkan keprihatinan serta kepedulian kita terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Jika kita hayati dan telusuri makna sedekah ini sebenarnya adalah untuk membantu diri kita sendiri, bukanlah membantu orang lain semata-mata. Hal ini kerana amalan sedekah ini yang akan menjadi bekalan kepada kita di akhirat kelak.

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ ، إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه

Menurut Hadis Nabi SAW: Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka amalnya akan terputus kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi).

Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa amalan sedekah ini akan menjadi sumber bekalan yang akan dibawa bersama ke alam barzakh dan seterusnya bagi perhitungan di Padang Mahsyar kelak. Oleh hal demikian, amalan sedekah ini mestilah dioptimumkan selagi mana hayat masih dikandung badan.

Dalam bersedekah, kita digalakkan untuk menyembunyikan amalan bersedekah. Hal ini kerana padanya terdapat pelbagai manfaat. Pertama, menyembunyikan amalan sedekah ini dapat mendidik diri untuk sentiasa ikhlas melakukannya tanpa mengharapkan perhatian dan pujian daripada masyarakat melainkan untuk meraih pandangan daripada Allah SWT. Apabila kita melakukan sesuatu amalan ikhlas kerana Allah SWT, maka secara tidak langsung kita akan terselamat daripada perasaan riya' atas kebaikan yang kita lakukan. Hal ini akan menggandakan pahala buat pemberi sedekah kerana Alah SWT telah menjanjikan pahala yang lebih besar untuk mereka yang melakukan amal kebaikan secara bersembunyi kerana ia akan mengajarkan rasa rendah hati dan tidak berasa lebih baik dari orang lain kerana amal yang dilakukan.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahwa salah satu dari tujuh golongan yang akan mendapatkan naungan Allah di hari kiamat adalah orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya. Sembunyi-sembunyi ini dianalogikan dengan tangan kanan bersedekah, tidak siapa mengetahuinya termasuk tangan kirinya sedangkan tangan kiri merupakan anggota yang paling hampir dengan tangan kanan.

Rentetan daripada hadis tersebut, maka jelaslah bahawa menyembunyikan amalan sedekah merupakan cara yang efektif untuk menjaga keikhlasan dan kerendahan hati, sekaligus, terhindar daripada sifat riya' yang membolehkan pemberi sedekah memperoleh pahala yang besar di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 18:

إِنَّ ٱلْمُصَّدِّقِينَ وَٱلْمُصَّدِّقَـٰتِ وَأَقْرَضُوا۟ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًۭا يُضَـٰعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌۭ كَرِيمٌۭ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.

Oleh hal demikian, sementara masih mempunyai kesempatan untuk bersedekah, kita mestilah rajin dan berazam untuk sentiasa bersedekah kerana fadhilatnya yang besar, akan tetapi kebanyakkan kelebihannya tidak dapat kita rasai sekarang melainkan setelah kita meninggal nanti. Buktinya, dinukilkan dalam al-Quran bahawa orang yang mati memohon kepada Allah SWT agar Allah SWT memberikan mereka sedikit lagi masa di dunia agar mereka dapat bersedekah sebelum nyawa mereka diambil. Firman Allah SWT dalam Surah al-Munafiqun ayat 11:

وَأَنفِقُوا۟ مِن مَّا رَزَقْنَـٰكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَآ أَخَّرْتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ قَرِيبٍۢ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Maksudnya: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ".

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, kita dapat gambarkan betapa besarnya ganjaran yang akan diberikan kepada orang yang bersedekah sehingga digambarkan penyesalan bagi golongan yang tidak berkesempatan untuk melakukannya akibat daripada alpa dengan pelbagai nikmat yang diperoleh di dunia. Justeru, Islam tidak menghalang penganutnya untuk meraih kekayaan dunia asalkan tidak melupakan kepada insan yang memerlukan. Amalan sedekah yang dilakukan secara terang-terangan adalah baik, akan tetapi sekiranya dilakukan secara sembunyi adalah lebih baik. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 271:

إِن تُبْدُوا۟ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِىَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا ٱلْفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّـَٔاتِكُمْ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ

Maksudnya: Sekiranya kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Oleh itu, bermula saat ini, marilah kita bersama-sama melazimi amalan sedekah dalam kehidupan seharian selagimana masih diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini. Semoga segala amalan kita dterima oleh Allah SWT. Aamin.

Wallahu a'lam.


[1] Muhammad Fuad 'Abdu al-baqiy, al- Mu'jam al-Mufahras Lil al-Fadzi al-Quran al-karim (Indonesia: Maktabah dahlan,t.th), h. 515

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

DEMI MASA
ADA DANA CSR TAPI PENAT CARI NAK BAGI KAT SIAPA?
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024