Font size: +
4 minutes reading time (800 words)

KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH

123

Dalam Islam, solat berjemaah sangat dituntut untuk dilaksanakannya dan hukumnya adalah fardhu kifayah bagi Mazhab Syafie, sunat muakkad bagi mazhab Hanafi serta Hambali dan wajib bagi mazhab Hanbali (al-Zuhaili, 2002). Fardhu kifayah menurut Mazhab Syafie ini menunjukkan bahawa solat ini dituntut untuk dilaksanakannya tetapi tidak wajib. Walaupun begitu, sekiranya sesebuah kawasan penduduk tidak ada yang melakukan ibadah ini, maka seluruh penduduk di kawasan tersebut akan berdosa. Solat Jemaah ini merupakan solat yang dilakukan secara berkumpulan (lebih dari seorang) dengan diketuai oleh seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum.

Menurut Imam al-Khatib as-Syarbini, perintah solat berjemaah ini diturunkan ketika perang berdasarkan Surah al-Nisa' ayat 102:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya: "Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka"

Solat merupakan salah satu daripada lima rukun Islam dan dianggap sebagai tiang agama dalam Islam yang mmbentuk dasar kepada amalan-amalan yang lain. Ia juga penting dalam membentuk peribadi seseorang Muhammad Munir (1999). Ia disokong oleh kajian Mohd Nazir (2013) yang menjelaskan bahawa ibadah solat merupakan asas yang dituntut bagi umat Islam agar ia menjadi benteng kepada manusia daripada perbuatan-perbuatan keji. Bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 45:

...إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ..

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.

Oleh itu, apa salahnya sekiranya kita berazam dan berusaha untuk lakukan solat Jemaah pada setiap kali waktu solat. Hal ini kerana padanya terdapat manfaat yang besar. Antara manfaat solat berjemaah adalah dapat meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Bertepatan dengan hadis Nabi SAW:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: Solat berjemaah adalah lebih baik daripada solat seorang diri dengan 27 darjat. (Riwayat al-Bukhari).

Ini menunjukkan betapa besarnya ganjaran yang Allah SWT sediakan bagi mereka yang solat secara berjemaah. Ganjaran berlipat ganda ini adalah bukti kasih sayang, penghargaan dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya yang berusaha melaksanakan solat berjemaah.

Solat Berjemaah ini bukan sahaja ibadah yang mendapat pahala yang besar, malah ia memainkan peranan penting dalam memupuk ukhuwah Islamiah iaitu hubungan persaudaraan sekaligus membina semangat kebersamaan antara muslim. Hal ini kerana apabila seorang muslim melaksanakan solat berjemaah di tempat umum yang dikunjungi ramai seperti masjid dan surau, ia akan memberi ruang kepada ahli jemaah untuk berinteraksi antara satu sama lain sekaligus memperluaskan jaringan sosial.

Ketiga, solat Jemaah ini mampu untuk membentuk disiplin dalam diri umat Islam agar sentiasa menepati waktu. Setiap solat mempunyai waktu yang khusus dan ianya adalah teratur pada setiap hari. Menunaikan solat pada waktu-waktu yang ditetapkan akan membantu untuk membentuk rutin harian yang berdisiplin dalam diri individu yang sentiasa berazam melakukan solat berjemaah. Individu yang konsisten dengan solat berjemaah cenderung lebih baik dalam mengatur masa untuk pelbagai aktiviti lain. Mereka belajar untuk memberi keutamaan kepada perkara penting seperti ibadah dan tanggungjawab dan akhirnya mereka ini akan menjadi lebih fokus, teratur dan efisien dalam menjalankan tugas-tugas harian.

Seterusnya, solat Jemaah ini juga berperanan untuk menguatkan jiwa dan iman dalam diri seseorang muslim. Apabila kita melihat orang lain beribadah dengan khusyuk, ia akan memberi motivasi dan inspirasi untuk turut sama meningkatkan mutu ibadah. Ia juga akan membantu dalam mencapai kekusyukkan kerana suasananya yang tenang dan teratur. Imam yang memimpin solat akan membaca surah dan doa dengan tertib yang mana ia membantu makmum untuk lebih fokus dan mendalami makna solat. Suasana yang tenang ini tanpa sedar akan memberikan kedamaian pada hati dan menenangkan jiwa. Ini sangat membantu dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merasai kehadiran-Nya dalam setiap kali solat. Ia juga akan membentuk rasa kebersamaan dengan jemaah lain dalam mencari keredhaan Allah sekaligus memperkuatkan hubungan rohani dan menjadikan ibadah itu lebih bermakna.

Di samping itu, solat berjemaah ini tidak hanya memberi manfaat dalam kehidupan dunia tetapi juga menawarkan ganjaran besar di akhirat melalui syafaat Rasulullah SAW. Hal ini kerana Rasulullah SAW menjanjikan syafaat (pertolongan) bagi mereka yang sentiasa menjaga solat berjemaah, terutama solat Subuh dan Isyak secara berjemaah. Menjaga solat berjemaah, terutama Subuh dan Isyak, melatih individu untuk berdisiplin dan bersungguh-sungguh dalam beribadah. Ia menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memenuhi perintah Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya. Mereka yang konsisten dalam solat berjemaah menunjukkan kekuatan iman dan keazaman yang kukuh. Ini membentuk keperibadian yang lebih tegas dalam memegang prinsip agama dan menjalani kehidupan dengan nilai-nilai Islam.

Secara keseluruhannya, jelaslah bahawa solat berjemaah itu sangatlah penting dan sebab itulah ia dituntut untuk melaksanakannya. Selain mendapat keredhaan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT, ia juga boleh membantu dalam mendapatkan syafaat Nabi. Syafaat Nabi Muhammad SAW ini penting kerana ia boleh menjadi penentu untuk seseorang masuk ke dalam syurga. Mendapatkan syafaat ini adalah salah satu keutamaan yang sangat besar bagi setiap Muslim. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berazam untuk melaksanakan solat Jemaah dan menjadikannya sebagai rutin harian dalam kehidupan kita. Moga Allah gerakkan hati kita untuk melaksanakannya dan menerima segala amalan kita. Aamin.

Wallahu a'lam. 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

MEMANFAATKAN MASA MUDA DENGAN PERKARA YANG BAIK: P...
Al-Quran yang tidak difahami
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024