Font size: +
6 minutes reading time (1107 words)

MEMANFAATKAN MASA MUDA DENGAN PERKARA YANG BAIK: PELUANG UNTUK MEMBINA MASA DEPAN YANG CERAH

123

Terdapat satu hadis nabi SAW:
"Dari Ibnu 'Abbas RA, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,
"Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara:
1. Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,
2. Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu,
3. Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,
4. Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu,
5. Hidupmu sebelum datang kematianmu."
(Hadis Riwayat Al Hakim. Hadis ini dikatakan sahih oleh Syaikh Al Albani)

Penulisan ini akan membincangkan mengenai perkara yang pertama iaitu berkenaan masa muda. Masa muda adalah tempoh yang penuh dengan peluang dan potensi. Ia adalah masa di mana tenaga dan semangat berada pada tahap yang tertinggi dan kehidupan akan penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga. Walau bagaimanpun, masa muda juga merupakan tempoh yang mudah untuk terjerumus dalam kesilapan dan mengabaikan tanggungjawab. Oleh itu, sangat penting bagi golongan muda untuk memanfaatkan masa mereka dengan bijak dan mengisi kehidupan dengan perkara-perkara yang baik selari dengan ajaran islam agar setiap perkara yang dilakukan akan disertakan dengan keredhaan daripada Allah SWT.

Salah satu cara terbaik untuk memanfaatkan masa muda adalah dengan menekankan kepentingan pendidikan dan pembelajaran. Pendidikan formal di sekolah, kolej, atau universiti adalah asas kepada pembentukan pengetahuan dan kemahiran. Selain itu, pembelajaran tidak formal melalui buku, seminar, kursus dalam talian atau pengalaman hidup juga merupakan sumber pengetahuan yang berharga. Masa muda adalah masa yang ideal untuk menimba ilmu sebanyak mungkin kerana pengetahuan adalah kekuatan yang akan membentuk masa depan seseorang. Pendidikan ini sangatlah penting sehinggakan islam menyeru umatnya untuk sentiasa keluar mencari ilmu kerana manfaatnya yang begitu besar. Daripada hadis Nabi SAW:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: "Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur'an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya". [Riwayat Muslim (4867)]

Selain itu, masa muda adalah masa yang sesuai untuk mengembangkan kemahiran diri. Ini termasuk kemahiran teknikal seperti pengaturcaraan, reka bentuk grafik, atau kemahiran vokasional seperti memasak, menjahit atau bertukang. Kemahiran inisaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan pengurusan masa juga sangat penting. Dengan menguasai pelbagai kemahiran, golongan muda dapat membuka lebih banyak pintu peluang dalam kehidupan.
Masa muda bukan hanya tentang membina diri sendiri, tetapi juga tentang memberi kembali kepada masyarakat. Dalam Surah al-Maidah, ayat 2, Allah SWT berfirman tentang berbuat kebajikan dan menolongan golongan yang memerlukan:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Menyertai aktiviti kesukarelawan atau khidmat masyarakat adalah cara yang hebat untuk membantu orang lain sambil mempelajari nilai empati, kerjasama dan tanggungjawab sosial. Terlibat dalam projek-projek komuniti atau program amal tidak hanya memberikan peluang untuk memberi kesan positif kepada kehidupan orang lain, tetapi juga membentuk pribadi yang lebih matang dan bertanggungjawab. Pengalaman sukarelawan juga membuka pintu kepada pelbagai peluang pembelajaran yang mungkin tidak boleh diperoleh dalam persekitaran akademik atau pekerjasaan biasa. Misalnya, berkhidmat di rumah kebajikan menjadi guru tuisyen bagi anak-anak kurang berkemampuan atau mengambil bahagian dalam kempen kesedaran alam sekitar, semuanya memberi peluang untuk mengasah kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan pengurusan projek.

Menyertai aktiviti sukarelawan ini juga membantu dalam membina jaringan sosial yang luas yang terdiri daripada individu-individu dari latar belakang yang berbeza. Hubungan ini boleh menjadi sumber inspirasi dan sokongan di masa depan. Ia juga meningkatkan kepekaan terhadap isu-isu sosial yang penting seperti kemiskinan dan ketidaksamaan yang menjadikan seseorang lebih bertanggungjawab dan proaktif dalam menangani cabaran global. Yang paling penting, aktiviti sukarelawan ini membangkitkan rasa syukur dan kepuasan diri. Melihat impak positif yang kita berikan kepada orang lain atau komuniti memberi makna yang mendalam dalam hidup sekaligus mengingatkan kita bahawa kehidupan bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi juga tentang memberi dan melayani orang lain.

Disamping itu, masa muda inilah mesti dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan cuba melibatkan diri dengan perkara-perkara yang baru kerana tempoh ini merupakan tempoh kehidupan yang penuh dengan potensi yang tidak terbatas. Ini adalah masa di mana seseorang memiliki tenaga, semangat dan kekuatan serta ketahanan mental yang tinggi untuk meneroka dunia dan segala kemungkinan yang ada. Dalam konteks in, keberanian untuk mengambil pluang dan mencuba perkara yang baru adalah elemen penting yang dapat menentukan perjalanan hidup seseorang. Mengambil risiko yang terkawal adalah sebahagian daripada kehidupan. Individu yang takut untuk mengambil risiko sukar untuk mencapai pertumbuhan atau kejayaan yang signifikan. Masa muda adalah masa yang paling sesuai untuk mengambil risiko yang terkawal. Risiko terkawal disini bermaksud membuat keputusan yang berani tetapi berdasarkan penilaian yang bijak. Walaupun begitu, dalam sibuk mencuba perkara baru, segala perkara yang dilakukan mestilah diambil berat agar ianya selari dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Sedang sibuk menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang baru, masa muda inilah masa yang perlu digunakan untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental kerana kesihatan ini merupakan anugerah daripada Allah SWT dan merupakan aset yang paling berharga. Kesihatan ini merupakan asas kepada kehidupan yang produktif dan bermakna. Tanpa kesihatan yang baik adalah sukar untuk mengejar impian, menikmati kehidupan atau memberikan sumbangan kepada masyarakat. Masa muda adalah masa yang paling sesuai untuk membina asas kesihatan yang kukuh kerana tubuh badan dan minda berada pada tahap perkembangan dan pemulihan yang terbaik. Menjaga kesihatan fizikal dan mental sejak dini akan memberikan manfaat jangka panjang dan membantu dalam menghindari masalah kesihatan yang serius di masa hadapan.

Akhir sekali, dalam tempoh ini juga dinasihatkan untuk merancang masa hadapan. Masa muda sering dilihat sebagai tempoh untuk brsenang-senang, meneroka dunia dan menikmati kebebasan sebelum tanggungjawab yang lebih besar tiba. Namun, adalah penting untuk memahami bahawa masa muda juga adalah tempoh kritikal untuk merancang masa depan. Keputusan dan tindakan yang diambil pada usia muda akan memberikan kesan jangka panjang terhadap kehidupan seseorang.

Oleh itu, merancanglah masa depan semasa muda dengan bijak adalah langkah yang perlu diberi perhatian untuk memastikan kehidupan yang stabil, bermakna dan berjaya. Para pemuda sewajarnya memenuhi masa yang ada dengan pelbagai aktivti yang bermanfaat disamping mendalami pengetahuan dan ajaran dalam Islam agar ia menjadi benteng yang akan menyelamatkan mereka daripada lembah kemusnahan. Hal ini kerana masa muda adalah masa di mana syahwat sedang memuncak sehingga tidak kurang ramai pemuda yang terjerumus dalam lembah kemaksiatan. Pemuda yang mampu mengisi hari-harinya dengan ibadah sahaja yang akan terselamat di dunia dan di hari kiamat, sebagaimana kisah 'Ashabul Kahfi' (para pemuda kahfi) yang mengelakkan kezaliman penguasa untuk menyelamatkan akidah mereka. 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Organic Living in a Digital World
KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Monday, 16 September 2024