Font size: +
3 minutes reading time (672 words)

Adakah kita mandul?

Apabila pasangan berkahwin tentulah apa yang sangat diharapkan adalah zuriat anak-anak sebagai penyambung legasi. Ada yang bertahun dan berbelas tahun berusaha tapi masih lagi belum dikurniakan cahaya mata. Pelbagai usaha dibuat untuk mendapatkan anak biarpun menelan kos yang banyak.

Anak-anak merupakan permata yang menceriakan rumah tangga.Yang utamanya harus difahami adalah ia adalah kurniaan dan amanah yang amat besar dari Allah SWT. Besarnya manfaat adanya zuriat ini adalah sehingga ada satu hadis menyebutkan anak-anak ini dapat memberikan manfaat kepada ibubapanya satu masa nanti. Didunia, anak-anak yang berakhlak mulia dan soleh akan membantu orang tuanya dalam segala hal, dan bila mati pula, ia akan mendoakan. Dalam satu hadis, Nabi SAW memberitahu kita apabila mati seseorang itu, akan terputuslah segala amalnya pahalanya kecuali tiga perkara, salah satunya adalah anak yang soleh yang sentiasa mendoakan keampunannya kedua ibubapanya.

Satu kebaikan yang sangat besar apabila ada orang yang mendoakan keampunan kepada kita kerana itulah yang amat didambakan oleh seseorang apabila ia telah mati. Bukan duit,bukan harta kerana semua itu sudah tidak ada nilai di sisi Allah. Siapa yang diberikan keampunan daripada Allah, maka syurgalah tempatnya. Siapa yang memperoleh syurga, sesungguhnya dia adalah orang yang berjaya. Jadi, manusia ketika (selepas mati)itu amat memerlukan doa agar dosa-dosa mereka diampunkan Allah. 

Siapa yang akan lebih mengingati kita selain daripada sahabat, kawan-kawan setelah kita mati kalau bukan anak-anak? Ketahuilah selepas kita mati, semua akan melupakan kita. Mereka akan bincang, bagaimana nak agihkan harta yang kita tinggalkan kecuali anak yang soleh.

Mak ayahlah yang mencorakkan kain putih. Anak-anak dilahirkan dengan penuh kesucian, putih bersih, namun jika salah mencoraknya, maka akan rosaklah ia.Bila rosak rugilah ibuayahnya.

Generasi ibubapa kini tidak peka akan perihal ini. Amat sedih dengan sikap ibubapa yang mendedahkan anak-anak mereka dengan program hiburan, nyanyian,karaoke dan konsert program realiti dengan alasan mengasah bakat yang terpendam. Katanya takpelah, kecil lagi takde masalah. Ucapan syukur Alhamdulillah tak lekang di bibir apabila anak mereka berjaya ke peringkat yang lebih tinggi. Ini ajaran siapa? Ketahuilah itu bukan satu nikmat, bahkan ujian dan bala untuk kita. 

Jika buluh sudah dilentur, ia akan membesar dalam keadaan bagaimana ia dilentur. Akhirnya jadilah mereka satu generasi yang lalai, jauh dari panduan agama. Maka apalah yang boleh kita harapkan jika kehidupan mereka sebegitu? Inilah yang dikatakan dengan ibubapa yang mandul. Mereka tidak sedar mereka telah merugikan diri sendiri.

Rasulullah bertanya kepada para sahabat tentang persoalan mandul. Sabda Nabi:

مَا تَعُدُّونَ الرَّقُوبَ فِيكُمْ؟ قَالَ قُلْنَا: الَّذِي لَا يُولَدُ لَهُ، قَالَ: «لَيْسَ ذَاكَ بِالرَّقُوبِ وَلَكِنَّهُ الرَّجُلُ الَّذِي لَمْ يُقَدِّمْ مِنْ وَلَدِهِ شَيْئًا

"Apa yang kamu faham tentang mandul? Sahabat lalu menjawab: Mandul adalah mereka yang tidak memiliki anak. Lalu Rasulullah bersabda: Mandul yang sebenar adalah mereka yang memiliki anak, tetapi anaknya tidak memberi manfaat buatnya." (HR Ahmad).


Dalam satu riwayat dikhabarkan kedudukan ibubapa akan diangkat tinggi didalam syurga, lantas seorang hamba itu bertanya kepada Allah kenapa ia diangkat ke darjat sedemikian?

إِنَّ اللَّهَ، عَزَّ وَجَلَّ، لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ في الْجَنَّةِ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ أَنَّى لِي هَذِهِ؟ فَيَقُولُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

"Sesungguhnya Allah mengangkat kedudukan seorang hamba soleh di dalam syurga. Lalu hamba itu bertanya: Wahai Tuhanku, bagaimana aku boleh mendapat kedudukan tinggi seperti ini? Lalu dijawab kepadanya: Melalui istighfar yang anakmu lakukan buatmu." (HR Ahmad, Ibn Majah)

Lihatlah betapa pentingnya peranan anak yang soleh. Sehingga istighfar yang dia lakukan boleh memberikan kesan kepada ayah dan ibunyanya. Jadi jika kita tidak dapat melahirkan dan mendidik anak menjadi anak yang soleh, maka,sama sahajalah kita seperti mereka yang tiada dikurniakan anak . Anak-anak kita tidak dapat beri manfaat kepada kita. Lebih baik tiada anak langsung sekurang-kurang tidaklah ia ditanya bagaimana membesarkan amanah yang telah diberi.Inilah yang harus kita ingatkan dan semat dalam diri.

Pengajaran :

  1. Tanpa agama manusia akan jadi sangat rugi
  2. Didiklah anak-anak menjadi anak yang faham agamanya, mudahan ia akan menjadi anak yang soleh.
  3. Untuk mendapat anak yang soleh, ibubapanya terlebih dahulu perlu menjadi contoh ibubapa yang soleh
  4. Kita juga sebagai ibubapa jangan memandulkan kedua ibubapa kita.
×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Siapa 7 Golongan Terselamat di Mahsyar?
Generasi Media Sosial - Keyboard Warrior
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024