Font size: +
4 minutes reading time (894 words)

Syaitan Hiaskan Amal Buruk Menjadi Baik, Tapi Kita Tak Sedar & Terus Beramal

أَفَمَن زُيِّنَ لَهُۥ سُوٓءُ عَمَلِهِۦ فَرَءَاهُ حَسَنًۭا ۖ فَإِنَّ ٱللَّهَ يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۖ فَلَا تَذْهَبْ نَفْسُكَ عَلَيْهِمْ حَسَرَٰتٍ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ ٨

Maksudnya : Maka apakah orang yang dijadikan menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia menyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan)? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

أَفَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ فَرَءآهُ حَسَنًا

Maka apakah orang yang dijadikan menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik,

Ayat 8 Surah Fatir ini banyak pengajarannya. Ada muqaddar dalam ayat ini apabila ada kalimah أفمن (adakah sama?). Ini adalah ayat perbandingan. Adakah sama antara seorang yang buat amalan buruk tapi dia nampak baik amalannya itu? Bandingkan dengan seorang yang memang Allah berikan fahaman agama sampai dia nampak mana benar dan mana salah? Adakah sama? Tentu tidak.

Syaitan pandai menjadikan manusia itu nampak baik sahaja perbuatan buruk mereka. Perkara ini banyak disebut di dalam Al-Qur'an. Perbuatan itu sebenarnya buruk, tetapi syaitan telah mengelabui mata mereka sampaikan mereka nampak dan sangka yang apa yang mereka buat itu adalah baik. Inilah yang dinamakan Talbis Iblis (belitan Iblis). Syaitan pandai mengelabui mata manusia sampaikan amalan yang salah dianggap amalan yang baik.

Sebagai contoh, ada golongan homoseksual yang melakukan demonstrasi di khalayak ramai kononnya untuk memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih cara hidup mereka. Kononnya ini adalah kebebasan individu. Begitu juga dengan pergerakan kebebasan wanita.

Dan kerja penipuan manusia ini sekarang lebih mudah dilakukan kerana media boleh digunakan oleh manusia yang jahat untuk menipu manusia. Fahaman salah amat senang disebar sekarang.

Sebagai contoh peperangan yang melibatkan kononnya pembebasan rakyat-rakyat yang ditindas. Maka negara Amerika menghantar tentera mereka ke negara itu kononnya untuk membebaskan mereka. Mereka pandai pakai propaganda kerana media massa dikawal oleh mereka.

Yang ditunjuk di dalam media nanti adalah gambar kanak-kanak yang suka bermain dengan tentera-tentera Amerika itu. Tetapi tidak ditunjukkan bagaimana banyaknya kematian yang terlibat yang tidak patut berlaku tetapi berlaku kerana campur tangan orang luar (Amerika). Dan tidak ditunjukkan kemusnahan dan pihak-pihak lain yang menentang kedatangan anasir luar dari Amerika itu.

Begitu juga kadang-kadang ada peperangan di antara sesama Islam dan kedua-dua pihak memanggil peperangan itu sebagai 'jihad fisabilillah'. Tetapi sebenarnya ia adalah peperangan yang memusnahkan kedua-dua negara Islam dan orang-orang Islam. Dan peperangan itu bukan untuk kebaikan agama islam pun. Tetapi syaitan menipu dengan menggunakan nama 'jihad' untuk menipu orang-orang yang bodoh.

Di dalam Islam ada golongan-golongan yang melakukan perkara yang syirik dan juga bidaah tetapi mereka ditampilkan oleh syaitan sebagai melakukan perkara yang kononnya Islamik. Ini termasuk golongan ada golongan yang mendakwa ahli agama yang menggunakan topik agama Islam untuk menipu manusia. Mereka menganjurkan amalan-amalan yang nampak seperti agama tetapi langsung tidak ada contoh dan anjuran dari Nabi SAW.

Maka kerana mereka telah ditipu, mereka nampak perbuatan mereka itu baik dan mereka teruskan. Mereka tidak rasa bersalah pun, malah mereka rasa merekalah golongan yang terpimpin.

فَإِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ

Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya;

Kepada mereka yang mahu jadi kafir, maka Allah boleh benarkan. Allah biarkan sahaja mereka buat apa yang mereka mahu semasa mereka di dunia. Allah rekodkan sahaja apa yang mereka lakukan dan nanti Allah akan balas dengan sekeras-kerasnya.

Kalau tidak mahu beriman dengan ajaran yang sebenarnya, dan apabila dinasihati mereka tetapi menolak, maka Allah boleh buat keputusan untuk tutup hati mereka dari terima iman. Bukanlah Allah buat keputusan dari awal lagi tetapi apabila mereka terus menerus menentang. Bagi mereka yang Allah telah tutup pintu hati mereka itu, maka tidak ada harapan bagi mereka untuk beriman sampai bila-bila.

Allah hendak memberitahu Nabi yang ada insan yang Allah telah buat keputusan tidak akan beri iman kepada mereka. Maka janganlah baginda rasa terkilan kerana mereka tidak beriman walaupun setelah baginda beri dakwah dalam berbagai jenis cara. Memang bukan salah baginda kalau mereka tetap tidak mahu beriman kerana memang Allah telah buat keputusan untuk menyesatkan mereka. Maka jangan fikirkan hal mereka lagi. Baik baginda beri penumpuan kepada mereka yang masih lagi ada harapan.

فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ

maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka.

Allah pujuk Nabi supaya jangan sedih sangat dengan golongan-golongan yang teruk itu. Memang ianya perkara yang menyedihkan sampai tidak boleh buat apa-apa. Memang tentu kita bersedih tapi jangan sampai perasaan jadi lemah.

Atau jangan nak buat bising sahaja kepada media dan buat sesuatu yang tidak memberi kebaikan. Ramai orang yang sebegitu, tahu komplen sahaja sana dan sini. Ingatlah yang Nabi tidak duduk senyap sahaja. Baginda terus jalankan kerja dakwah dan mengajak kepada kebaikan dan agama yang lurus. Biarkan mereka nak buat apa pun, janji kita tetap teruskan dengan usaha dakwah kita. Serahkan sahaja hal mereka kepada Allah dan tak payah pusing kepala memikirkan mereka.

إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِما يَصنَعونَ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Sesungguhnya Allah menyesatkan orang yang sesat dan memberi petunjuk orang yang mendapat petunjuk hanyalah kerana pengetahuan­Nya yang sempurna dan hujah-Nya yang tiada taranya.

Allah tahu apa sahaja yang mereka lakukan untuk dibalas. Kalau mereka telah buat dosa, mereka tidak akan terlepas. Allah sentiasa sahaja rekod apa yang mereka lakukan. Maka tidak perlu pusing tentang mereka, dan serahkan sahaja kepada Allah. Allah pasti akan balas.

Allahu a'lam. ( Rujukan Celiktafsir.net)

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Agama Tidak Beri Kesenangan di Dunia Betul Ke?
Cerita Akak Nasi Lemak & Pemuda Baik Hati

Related Posts

 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Thursday, 19 September 2024