YKAT Blog
Mengikhlaskan Sesuatu yang Pergi, Meraih Sesuatu yang Lebih Abadi
Kita sering mencari ketenangan, berlari ke sana sini, mencari bahu untuk bersandar. Namun, bila sandaran itu pergi, kita hilang arah, tercari-cari pegangan yang nyata. Betapa lemahnya kita, menjadikan manusia yang fana sebagai tempat bergantung, sedangkan hanya Allah yang Maha Sempurna (as-Samad) (Al-Ikhlas:2).
Surah al-Ikhlas hadir sebagai sinar peringatan, bahawa tiada yang lebih layak menjadi tempat pergantungan selain Dia. Singkat baitnya, namun mendalam maknanya. Ia mengajar kita tentang ikhlas, keikhlasan yang menyelamatkan manusia dari azab Allah.
Dalam ayat yang pertama menegaskan bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan yang layak disembah, tanpa sekutu, tanpa sebanding. Namun, manusia sering kali mencari sandaran di dunia, menggenggam yang fana seolah-olah ia abadi. Kisah Ashabul Kahfi, mengajarkan kita bagaimana kebergantungan kepada Allah menjadikan mereka kuat dan selamat dalam ujian hidup.
Jika kita tidak mengikhlaskan diri kepada Allah dalam setiap amalan, ia akan menjadi sia-sia. Allah berfirman dalam Surah al-Furqan, ayat 23:
"Dan Kami perlihatkan segala amalan yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan ia (bagaikan) debu yang berterbangan."
Bayangkan, segala usaha dan amalan kita boleh menjadi sia-sia seperti debu hanya kerana ia tidak dilakukan kerana Allah. Jadi, ikhlaskanlah hati, agar setiap sujud, setiap langkah, setiap hela nafas hanya kerana Dia.
Keikhlasan: Bukan Mengharap Pujian Manusia
Kini, ramai yang berlumba-lumba mencari pengiktirafan dan pujian. Namun, pujian manusia adalah sementara, sedangkan keredhaan Allah adalah abadi. Dalam Surah al-Insan, Allah menggambarkan golongan al-Abrar (sifat ahli syurga) sebagai mereka yang memberi tanpa mengharap balasan.
Keikhlasan menjadikan hati lebih tenang kerana kita tidak lagi bergantung kepada penghargaan manusia. Sebaliknya, kita melakukan sesuatu kerana Allah semata-mata. Orang yang ikhlas akan lebih bahagia, lebih redha dan lebih yakin dalam menghadapi kehidupan.
Dalam ayat ketiga dan keempat surah ini, Allah menafikan segala tuduhan bahawa Dia mempunyai anak atau keturunan:
"Dia tiada beranak dan tidak diperanakkan." (Al-Ikhlas: 3)
"Dan tidak ada sesiapapun yang setanding dengan-Nya." (Al-Ikhlas: 4)
Ayat ini merupakan jawapan kepada tuduhan Yahudi, Nasrani dan musyrikin Mekah yang menyatakan bahawa Allah mempunyai anak. Mereka menuduh Allah mempunyai anak seolah-olah mengatakan Allah itu lemah. Hakikatnya, Allah itu Maha Berkuasa, tidak memerlukan sesiapa, kerana Dia Maha Sempurna.
Namun, dalam konteks kehidupan kini, kita juga perlu bertanya kepada diri sendiri: Adakah kita benar-benar meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah, atau kita masih bergantung kepada manusia dan dunia? Setiap kali kita risau akan masa depan, takut menghadapi cabaran hidup atau merasa kehilangan, kita seolah-olah lupa bahawa Allah adalah tempat pergantungan yang sebenar.
Surah al-Ikhlas bukan sekadar bacaan rutin, tetapi ia adalah petunjuk pulang kepada Tuhan. Ia mengajar kita untuk mengikhlakskan hati hanya kerana Allah. Mengikhlaskan memang tak mudah, tapi itulah yang perlu kita cuba untuk meraih syurga-Nya.
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments