IM3, Kuantan
Mon - Sat: 9.00 am to 5.00 pm.
Font size: +
3 minutes reading time (520 words)

Ketenangan yang dicari

WhatsApp-Image-2025-04-17-at-11.54.14-AM

Kita hidup dalam zaman yang sangat sibuk. Setiap hari kita bangun dengan kepala yang berserabut, kerja bertimbun, masalah keluarga, tekanan kewangan, hati yang terasa sempit. Walau dalam kesibukan itu kita nampak macam sedang kejar macam-macam benda, sebenarnya semua orang sedang cari satu perkara yang sama iaitu ketenangan. Kita nak rasa tenang dalam jiwa, nak rasa damai dalam hati, nak rasa hidup ini ada makna. Tapi makin kita kejar ketenangan itu di luar, makin kita rasa kosong di dalam.


Ramai cuba cari ketenangan dengan cara yang pelbagai. Ada yang bercuti ke tempat tenang, harap ombak laut dan angin sepoi boleh sembuhkan fikiran yang kusut. Ada yang pilih dengar muzik, layan video Tiktok untuk hilangkan tekanan. Tapi peliknya, walaupun dah buat semua itu… tetap rasa serabut. Rupanya, ketenangan bukan datang daripada suasana, tapi dari jiwa yang kembali kepada Pencipta. Bila hati jauh dari Tuhan, segala ketenangan akan terasa palsu krn ia hanya penangguhan sebentar kepada jiwa yang sedang menjerit dalam diam.

Hasan al-Basri pernah berkata: "Carilah hatimu di tiga tempat 1)ketika solat 2)ketika membaca al-Quran 3)ketika berzikir. Jika tidak kau temui hatimu di situ, maka ketahuilah bahawa pintu kebahagiaan telah tertutup."

Kata-kata ini sangat dalam. Ia mengajar kita bahawa tempat sebenar untuk kita temui semula diri dan ketenangan bukan pada tempat yang cantik, tetapi pada hubungan kita dengan Allah. Bila kali terakhir kita betul-betul rasa tenang dalam solat? Bila kali terakhir kita rasa al-Quran menyentuh hati kita? Bila kali terakhir zikir kita bukan hanya di bibir, tapi benar-benar menusuk ke dalam jiwa?

Ramai antara kita membaca al-Quran, tetapi hanya sebagai rutin atau sekadar ingin 'khatam'. Kita jarang berhenti dan renung apa yang Allah sedang cuba sampaikan kepada kita. Padahal, kata Imam Ibnu Qayyim, "Tidak ada sesuatu yang lebih bermanfaat bagi hati selain membaca dan mentadabbur al-Quran."

Tadabbur bukan untuk orang alim sahaja. Ia untuk semua yang mahu rasa al-Quran itu hidup dalam diri. Bila kita tadabbur, kita faham, kita hayati dan kita mula rasa bahawa Allah sedang bercakap terus dengan kita (tentang masalah kita, tentang ketakutan kita, dan tentang harapan kita).

Di sinilah lahirnya hati yang disebut sebagai qalbun salim (hati yang sejahtera). Ia bukan hati yang tak pernah menangis atau kecewa. Tapi ia adalah hati yang diselamatkan dari syirik, dari sombong, dari hasad, dan dari cinta dunia yang melampau. Ia adalah hati yang peka, yang hidup, yang bila dengar ayat al-Quran akan bergetar, yang bila dengar azan akan tergerak, yang bila nampak peluang untuk berbuat baik akan berebut, bukan berlengah. Ini bukan mustahil untuk kita miliki, tapi ia hanya akan hadir bila kita jujur mencari Tuhan dalam setiap sudut hidup kita.

Kalau hari ini kita rasa hidup ini berat, terlalu berserabut atau tidak bermakna, mungkin kerana kita belum betul-betul menyelami nikmat solat, belum benar-benar menjadikan al-Quran sebagai teman, dan belum merasai zikir sebagai makanan jiwa. Tapi tak mengapa. Tak pernah ada istilah terlambat untuk kembali. Kita tak perlu tunggu jadi sempurna untuk memulakan. Cukup kita mula sekarang, dengan satu ayat yang kita tadabbur, satu zikir yang kita hayati, dan satu solat yang kita usahakan dengan sepenuh hati. Dan insya-Allah, di situlah kita akan temui semula ketenangan yang kita cari selama ini.
×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Benarkah kita rindukan Allah?
Hidup Segan Mati Tak Mahu
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 01 June 2025