Font size: +
2 minutes reading time (498 words)

Ziarah Kakak Haslina di Kg. Permatang Badak: Menyemai Harapan, Sabar & Tawakkal dalam Ujian

Sabtu,20 Mei 2023 - Pada hari yang ini, saya, Ustaz Ikhwan dari Ghulam Ad-Dakwah, dan En. Khairul Azwan dari Kafhaus, telah melakukan ziarah ke rumah seorang kakak yang dikenali sebagai . Kakak Haslina di Kg. Permatang Badak. Kami ingin berkongsi kisah kehidupannya yang penuh dengan cabaran dan kesungguhan, serta memberikan sokongan dan semangat untuk terus bertahan di saat diuji dengan ujian hidup.

Kehidupan Kakak Haslina dan suaminya, yang tinggal berdua, adalah kehidupan yang sederhana. Mereka tidak mempunyai pendapatan tetap, dan suami Kakak Haslina bekerja dengan mengambil upah meracun dan memotong rumput . Suami beliau memiliki status Orang Kurang Upaya (OKU) kerana terlibat dalam kemalangan yang telah mengakibatkan kecacatan kekal pada bahagian tangan dan beberapa anggota badan. Ini menyebabkan pergerakannya agak terbatas.

Baru-baru ini, Pn. Haslina juga telah kehilangan kaki kirinya akibat penyakit diabetes yang parah. Ia terpaksa dipotong dibahagian bawah lutut. Beliau bergantung pada pelbagai ubat dari hospital dan ada juga mengidap penyakit darah tinggi. Kedua-dua matanya juga semakin terjejas dan mengalami masalah penglihatan yang kabur. Untuk bergerak, beliau bergantung pada kerusi roda dan amat memerlukan katil hospital untuk memudahkan pergerakan untuk duduk dan bangun. Keadaan ini menjadikan mereka amat memerlukan bantuan dan sokongan dari masyarakat sekitar.

Dalam usaha untuk membantu meringankan beban Kakak Haslina dan suaminya, pihak Ghulam Ad-Dakwah & YKA telah menyumbangkan beberapa barangan keperluan rumah dan memberikan sedikit sumbangan wang tunai. Yang lebih penting adalah semangat untuk mereka,kami juga memberikan kata-kata nasihat, ingatan, dan semangat agar mereka terus bersabar menghadapi ujian yang sedang dihadapi.

Dalam situasi seperti ini, solidariti dan kepedulian kita sebagai anggota masyarakat adalah sangat penting. Sebagai umat Islam, adalah tugas kita untuk membantu saudara-saudara kita yang berada dalam kesulitan. Kita harus saling cakna dan menunjukkan rasa empati kepada mereka yang memerlukan bantuan. Tindakan kecil yang kita ambil dapat memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan mereka yang sedang dilanda kesulitan. Allah berjanji untuk memudahkan urusan akhirat bagi mereka yang memudahkan dan meringankan urusan manusia lain di dunia ini. Ingatlah, bukan semua insan bernasib baik seperti kita.

Melalui kunjungan kami ke rumah Kakak Haslina, kami telah menyaksikan keberanian dan ketabahan yang luar biasa dari pasangan ini. Dalam kata-katanya tersimpan harapan. Air matanya mengalir dalam pengkisahan hidupnya, menggambarkan apa yang ada dalam hatinya. Walaupun mereka menghadapi banyak cabaran, mereka tetap bersemangat dan berusaha untuk menjalani kehidupan dengan penuh harapan. Kisah hidup mereka mengingatkan kita semua akan pentingnya bersyukur dengan apa yang kita miliki dan menghargai setiap perkara terutanya nikmat kesihatan. Dalam keadaan sulit seperti ini, marilah kita terus berganding bahu untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan. Kita boleh memberikan sumbangan, bantuan praktikal, atau sekadar memberikan kata-kata semangat dan doa. Setiap usaha yang kita lakukan dapat memberikan impak yang besar dalam mengubah kehidupan mereka yang sedang diuji.

Akhir kata, semoga kunjungan kami ini dapat membawa sedikit keceriaan dan harapan kepada Kakak Haslina dan suaminya. Mari kita jadikan kebaikan sebagai budaya kita, dan melalui tindakan kecil kita, kita dapat mewujudkan masyarakat yang lebih berempati dan penyayang. 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Keajaiban Alam Semut, Wahyu Ilahi, dan Kehidupan R...
Uninspiring Death
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024