By Abdul Azim on Wednesday, 16 August 2023
Category: Tazkirah

Syukur kepada Allah & Qonaah dengan apa yang ada

Menelusuri denai kehidupan ini, sering kali kita mengendahkan nilai syukur dan qonaah dalam seharian kita dengan merungut akan keadaan yang berlaku atau berasa diri berada dalam serba kekurangan berbanding orang lain. Kita memanjangkan angan-angan untuk meraih kemewahan dunia semata bahkan berlumba-lumba mendapatkannya. Namun masih tidak mencukupi.

Apa kata Abu Musa al-Ashaari: "Telah turun surat al-Bara'aj dan telah dihafal. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan agama ini dengan tiang-tiang yang tidak diciptakan untuk mereka. kalau manusia ada 2 jurang harta, tentu ia mengharapkan jurang yang ke-3. Tidak akan keyang perut manusia melainkan diisi dengan tanah dan Allah menerima taubat orang yang mahu bertaubat". Itulah sifat manusia. Sabda Rasulullah SAW:

"Manusia akan tua dan beruban. Namun bersamanya ada dua hal yang tetap muda. Angan-angan dan cinta dunia.

Melainkan mereka yang menjadikan diri mereka sentiasa qonaah iaitu berasa cukup dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan tetap bersyukur. Mereka ini lah mengambil dunia dengan kadarnya. Baginda melarang sifat rakus dan berlebih-lebihan dalam mencari dunia, Sabdanya: "Ingatlah wahai manusia, berhati-hati dalam mencari dunia, sesungguhnya seseorang tidak akan dapat melainkan apa yang telah dicatatkan untuknya dan tidak akan mati sebulum mendapatkan bahagian dunia yang telah ditentukan untuknya".

Oleh itu, sahabat semua, tetaplah qonaah (berasa cukup) disamping bersyukur dan sentiasa mengingatinya dalam apa jua keadaan agar kita tidak lupa kepada Dia (Allah) sebagai pemberi nikmat . Dalam surah al-Baqarah ayat 152 Allah berfirman:

"Maka ingatlah kamu kepadaku nescaya Aku ingat kepadamu, dan berterima kasih kepadaku dan jangalah kamu menyangkal (nikmatku)."

فَٱذْكُرُونِىٓ أَذْكُرْكُمْ

"Maka ingatlah kamu kepadaku nescaya Aku ingat kepadamu,"

Sahabat sekalian, inilah balasan Allah kepada mereka yang mengingatinya. Inilah limpahan kurnia yang tidak dapat diberikan melainkan hanya kepada Allah. Tuhan yang tidak mempunyai pengawal bagi perbendaharaan kurnianya dan tidak mempunyai juru kira bagi pemberian-pemberiannya. Dalam satu Hadith Qudsi yang sahih, "Siapa yang menyebutku di dalam hatinya, maka aku akan mengingatinya di dalam diriku, dan sesiapa yang mengingatiku di tengah khalayak ramai aku akan mengingatinya di tengah khalayak ramai yang lebih baik dari nya".

وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ

"Sesungguhnya mengingati Allah itu terlebih besar faedahnya." (al-Ankabut ayat 45)

وَٱشْكُرُوا۟ لِى

Bersyukurlah kamu kepadanya,

Syukur terdapat banyak darjat dan ia bermula dengan mengakui limpahan kurnia Allah dan merasa segan serta malu untuk bermaksiat kepadanya. Seterusnya ia berakhir dengan mengikhlaskan kesyukuran kepadanya dengan menggunakan setiap pemberiannya di jalan yang diredhai.

Syukur juga terkait dengan hati, lidah dan anggota badan. Melalui lidah kita melahirkan rasa syukur dan puji-pujian. Dengan anggota badan kita zahirkan ia dalam bentuk ketaatan dan tidak menggunakannya untuk bermaksiat. Sehinggakan kedua mata menutupi cela seseorang muslim yang dilihatnya. Telinga tidak mencari dan menghindarkannya daripada mendengar yang buruk. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 147:

مَّا يَفْعَلُ ٱللَّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَءَامَنتُمْ

"Adakah Allah akan menyeksa kamu, jika kamu bersyukur dan beriman?"

وَكَانَ ٱللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمًۭا

Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Demikianlah, Allah memberi ganjaran kepada orang yang bersyukur dan peringatan kepada mereka yang kufur seperti firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatku kepada kamu,

Akhir sekali, jauhi diri kita daripada kufur nikmat Allah. Firman Allah SWT:

وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ

Dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras".

Wallahu a'lam... 

Leave Comments