By Abdul Azim on Tuesday, 21 November 2023
Category: Tazkirah

Nak Pergi Ke Mana Lepas ni?

"Manusia ni antara dua sahaja,kalau tidak disibukkan dengan agama, maka akan disibukkan dengan hal dunia". Kesibukkan ini akhirnya membuatkan kita akan lelah.Sibuk dunia akan letih, sibuk akhirat pun letih. Tetapi sibuk manakah yang berbaloi dan yang manakah pilihan ramai? Ya, sibuk untuk urusan dunia.

Ramai memilih untuk sibuk urusan dunia kerana mereka sudah nampak apa yang akan mereka dapat. Gaji, duit, ganjaran dan sebagainya akan diperolehi apabila kita bekerja keras. Malas kerja pasti tak dapat duit, tak ada duit pasti resah, susah hendak selesai macam-macam urusan, mudah jadi baran dan serba tidak kena. Itulah sifir yang tertanam sejak sekian lama dalam diri. Itulah cara fikir kita, duit memudahkan segalanya, takada duit hidup boleh jadi hina. Mengapa tidak ramai sibuk dengan akhirat? Dekat nak pencen ke baru nak fikir akhirat? Ini kerana kita tidak nampak apa yang kita dapat, atau apa yang akan dapat tu lambat sangat. Manusia suka dapat ganjaran cepat. Kalau lambat dapat gaji mesti mula rasa tak sedap hati, dia akan menuntut sungguh-sungguh. Sebab itu ganjaran sabar sangat besar, kerana tidak ramai orang boleh bersabar. Kerana itu dalam bab sedekah dalam Al-Baqarah 261 Allah memberikan perumpamaan ganjaran sedekah seperti biji benih yang bercambah tujuh tangkai dan setiap tangkai membuahkan 100 bijian. Kenapa biji benih? Kerana apa yang kita semai tidak terus dapat hasilnya. Hasilnya lambat lagi iaitu di akhirat. Jadi untuk rasa dan kutip hasil apa yang kita semai memerlukan kesabaran, tidak boleh gopoh.

Allah menceritakan balasan yang besar terhadap orang yang sabar dalam membuat ketaatan, bukan 70,bukan 1000, tetapi tidak terkira. Tahukah kita, hendak buat baik, beramal soleh memerlukan kesabaran yang tinggi? Ikhlas menjaga orang tua, menjaga percakapan, menjaga akhlak, istiqamah solat berjemaah di surau, melazimi dan memahami Al-Quran, semuanya memerlukan kesabaran.Kenapa? Kerana apabila buat semua itu kita tidak dapat ganjaran terus. Dapat sebahagian dulu tapi itupun bukan dalam bentuk duit, tetapi dalam bentuk kebaikan yang lain. Ia (kebaikan yang dibuat) akan dibayar dan disempurnakan sepenuhnya di akhirat, jadi kena ada kesabaran yang tinggi.

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira". Surah Az-Zumar:10

" Salah ke sibuk urusan dunia? Kita duduk atas dunia mestilah kena usaha perkara dunia. Habis tu kalau tak sibuk dengan perkara dunia macamana nak makan? Takkan kerja pergi masjid berzikir sahaja.Tak jadi juga macam tu, kena berusaha juga"

Itulah jawapan yang lazim kita dengar. Tidak ada orang kata salah pun. Tiada apa kesalahan pun mencari kurniaan Allah dan memang khazanah di bumi ini diciptakan untuk manusia. Seorang nelayan muslim tidak akan dapat ikan jika dia terus tidur dirumah, sebaliknya jika turun ke laut dengan kesungguhan dan ilmu penangkapan ikan mesti akan dapat hasilnya walaupun dia bukan seorang muslim. Demikian juga, sayur pokok-pokok tidak akan tumbuh hanya kerana seseorang itu bersolat tanpa usaha, tetapi yang berusaha menanam walaupun tidak bersolat akan tumbuh sayurannya. Itulah sunnatullah. Alam ini ada peraturan dan seseorang hendaklah berusaha kerana usaha itu adalah sebahagian dari ibadah.

وَمَا مِن دَآبَّةٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزۡقُهَا وَيَعۡلَمُ مُسۡتَقَرَّهَا وَمُسۡتَوۡدَعَهَاۚ كُلّٞ فِي كِتَٰبٖ مُّبِينٖ

"dan tiadalah suatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya" Surah Hud:6.

"Dah tu, jadi apa yang salahnya?"

Kenapa risau sangat pasal rezeki sedang Allah SWT kata dia yang tanggung? Bila kita tidak faham itulah yang menjadi salah. Salah bila rasa usaha kita yang menjadi asbab kita dapat banyak atau sikit. Salah apabila mencari dunia serta melalaikan urusan akhiratnya. Berapa ramai yang mengetepikan agama bila bertembung dengan kepentingan dan kemahuan dirinya? Berapa ramai yang solat akhir waktu kerana dahulukan kerja. Yang salah itu apabila mencari rezeki siang dan malam tetapi lupa pula mencari pemberi rezeki. Yang salah itu bila dapat nikmat mereka ucap syukur dan rasa Allah sayang kepadanya, bila ditimpa musibah dia merungut dan rasa Allah tidak sayang kepadanya. Yang salah itu bila mendapat kekayaan dia memandang rendah kepada yang lain dan mula rasa angkuh. Dia rasakan kekayaan yang dia ada adalah hasil dari usaha gigihnya. Yang salah itu bila mencari-cari dan tidak pernah rasa cukup.Itulah yang salah. Dunia adalah ladang akhirat. Segalanya boleh menjadi ibadah dengan ucapan Bismillah, niat yang benar serta tidak mengesampingkan syariat. Berusahalah! 

Namun pokoknya adalah, perasankah kita? Kita tidak atau kurang bersungguh dalam urusan akhirat seperti mana bersungguhnya kita dalam urusan mencari rezeki di dunia. Jika di tempat sementara yang didiami 50-60 tahun ini pun kita bersungguh-sungguh mencari bekalan untuk pencen, untuk kehidupan akhirat yang lebih panjang dan kekal abadi bagaimana pula? Haruslah dipersiapkan dengan usaha berkali ganda dari urusan dunia kita sekarang. Tetapi kita sebaliknya. Apa sebab? Sebabnya kita masih tidak betul-betul yakin dengan adanya ganjaran pahala dan balasan dosa. Bibir kita mungkin sudah kata beriman, tapi amalan pula menggambarkan sebaliknya. Nanti bila sudah sampai disana ketika berhadapan dengan Allah SWT barulah kita akan yakin. Lihat apa Allah kata,

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلْمُجْرِمُونَ نَاكِسُوا۟ رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَآ أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا

فَٱرْجِعْنَا نَعْمَلْ صَـٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ ١٢

Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), niscaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh, kami adalah orang-orang yang yakin." As-Sajdah:12

Nah perhatikan, bila dah lihat depan mata dan dengar barulah datang keyakinan. Ketika itu, tertunduk gerun memohon peluang kedua kepada Allah untuk kembali ke dunia agar dapat buat kebajikan dengan bersungguh-sungguh untuk tampung amalan yang tidak cukup. Tapi semuanya sudah terlambat. Masa dah habis. Disebabkan dahulu ketika di dunia ramai kita lalai dan lupakan Allah, maka pada hari itu balasannya adalah Allah pula yang melupakan kita. Kalau mak ayah lupakan kita bagaimana perasaan? Inikah Allah SWT lupakan kita.

فَذُوقُوا۟ بِمَا نَسِيتُمْ لِقَآءَ يَوْمِكُمْ هَـٰذَآ إِنَّا نَسِينَـٰكُمْ ۖ وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْخُلْدِ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

(Lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan". As-Sajdah:14

Dengan segalanya jenis peringatan berupa bentuk amalan kebaikan, larangan, cerita nikmat serta balasan yang Allah telah ceritakan dalam Al-Quran, kita sendirilah pula yang menentukan pilihan ,jalan yang bagaimana yang ingin kita tempuh dan kemana kita hendak pergi. Al-Quran itu jalan kepada kejayaan iaitu Syurga. Justeru itu, dengan segala peringatan itu, Allah SWT tanya kita, 

فَأَيْنَ تَذْهَبُونَ

"Maka kemanakah kalian akan pergi?" ~ At Takwir: 26

Jika masih belum tahu atau ketemu jalan kemana hendak pergi, segeralah kembali kepada Al-Quran.

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ ٢٧

لِمَن شَآءَ مِنكُمْ أَن يَسْتَقِيمَ ٢٨

Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam (27)

Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul (28)

Bermakna sesiapa yang tidak berada di atas jalan yang telah Allah gariskan dalam Al-Quran, dia sebenarnya berada diatas jalan yang bengkok,tidak lurus. Iaitu jalan orang-orang yang sesat dan dimurkai. Bukankah kita memohon tujuh belas kali sehari dalam solat untuk diberikan petunjuk ke jalan yang lurus? Jalan yang bagaimana? Tidak lain dan tidak bukan adalah jalan yang dilorong oleh baginda Nabi SAW dengan petunjuk sunnah dan Al-Quran.

Satu persoalan penting, bagaimana hendak mendapat panduan serta petunjuk dari Al-Quran jika kita tidak faham apa yang kita baca? Bila tidak faham, bagaimana pula nak beramal? Inilah memerlukan usaha kita. Usahalah dengan bersungguh-sungguh seperti mana yang kita berusaha untuk kejayaan urusan dunia kita. 

Leave Comments