Font size: +
3 minutes reading time (527 words)

Menghidupkan Semula Amalan Doa Keluar dan Masuk Tandas



Amalan membaca doa keluar dan masuk tandas merupakan satu amalan sunnah yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ kepada umat Islam. Namun, amalan ini semakin dilupakan dan ditinggalkan dalam kehidupan sehari-hari kita walaupun kita hari-hari keluar dan masuk ke tandas. Seingat kita, mungkin waktu tadika kot last kita baca doa ni..atau waktu kelas KAFA dulu-dulu. Sebenarnya, amalan ini mempunyai nilai yang sangat penting dalam hidup kita yang mengaku beragama Islam dan harus dijaga dan diamalkan.

Doa masuk tandas adalah doa yang kita perlu ingat untuk baca ketika memasuki tandas. Doa ini dalam bahasa Arab adalah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ

Bermaksud dari doa ini adalah "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari syaitan jantan dan syaitan betina."

Dengan mengucapkan doa ini, kita sebenarnya meminta perlindungan kepada Allah SWT dari gangguan syaitan jantan dan betina yang mungkin berada di sekitar kita. Ini mengingatkan kita akan adanya musuh yang nyata yang senantiasa berusaha menghalangi dan cuba untuk menggoda kita dalam melakukan kebaikan. Satu lagi, bilik air merupakan tempat kotor dan najis, maka sebab itu wajar untuk kita memohon dipelihara oleh Allah kerana Allah suka orang-orang yang bersuci.

إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلتَّوَّ ٰ⁠بِینَ وَیُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِینَ

"SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri".
[Surah al-Baqarah 222]

Setelah selesai hajat,maka bacalah pula doa keluar tandas. Doa ini dalam bahasa Arab adalah pendek dan ringkas sahaja:

غُفْرَانَكَ

Maksud dari doa ini adalah "Aku memohon ampunan-Mu."

Doa ini melambangkan rasa syukur kita kepada Allah SWT atas nikmat yang diberikan-Nya kepada kita, yaitu kemampuan untuk buang air dengan lancar. Meskipun terdengar macam remeh kita seharusnya kena ingat kerana banyak orang yang menderita penyakit dan membuatkan mereka susah hendak membuang air dengan normal. Oleh kerena itu, kita harus bersyukur atas segala nikmat yang diberikan Allah SWT kepada kita, nampak kecik je,tapi tanyalah kepada diri kita, berapa banyak kali kita ucap syukur kepada Allah setelah dapat buang air besar. Benda-benda kecik termasuk kemampuan untuk melaksanakan aktiviti seperti buang air kita sering lupa nak ucap syukur. Bila syukur nescaya Allah insyaallah akan ditambah nikmatnya. 

Syukur ni perlu kita buat semasa senang dan juga semasa susah,dan di setiap keadaan. Inilah yang telah dicontohkan Baginda yang harus kita ikuti.

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

"Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat sesuatu yang ia senangi, beliau mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna." dan apabila melihat sesuatu yang dibenci, beliau mengucapkan: "Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan." (HR. Ibnu Majah: 3793)


Amalan sunnah seperti ini sangatlah penting, tetapi sayangnya semakin diabaikan dalam kehidupan moden kita. Betapa besar pahala beramal  sunnah yang kian ditinggalkan ini. Kita harus menyedari bahawa setiap amalan sunnah yang dilakukan dengan ikhlas adalah ibadah kepada Allah SWT dan dapat mendatangkan berkah dan kebaikan dalam hidup kita kerana Baginda diutus menjadi contoh buat manusia.

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kita kesihatan dalam hidup ini dan tambahan nikmat kerana kita selalu bersyukur kepada-Nya. Marilah kita menghidupkan kembali amalan doa keluar dan masuk tandas ini, serta memperkuat hubungan kita dengan Allah SWT melalui amalan-amalan sunnah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad ﷺ. 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Menjadi Smart Parent di Zaman Serba Mencabar
Menjauhi Rahmat Allah
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Sunday, 22 December 2024