By Abdul Azim on Friday, 14 February 2025
Category: Tazkirah

Memahami Objektif Puasa yang Sebenar

Ada dua jenis manusia, yang rasa berat bila Ramadhan datang dan yang sangat gembira. Sebab apa berat? Sebab terpaksa tinggalkan makan dan minum. Satu perkara yang manusia paling suka dan Allah suruh kita tinggalkan pula makan minum yang sebenarnya perkara keperluan. Kemudian, sebab apa ada pula yang gembira? Sebab ada peluang yang sangat banyak untuk membuat kebaikan dan mendapat ganjaran yang banyak dengan amalan-amalan soleh.

Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Namun, persediaan menyambut Ramadan bukanlah sekadar tentang menyediakan juadah berbuka,nak sahur apa,nak terawikh di mana atau moreh apa malam ni. Ia adalah tentang mempersiapkan diri secara rohani dan mental untuk mencapai maqasid (tujuan) sebenar puasa. Jika kita nak adakan kenduri kahwin, kita pasti akan lakukan persiapan rapi, agar majlis yang berlangsung nanti tidak ada kekurangan,kita nak satu majlis yang sempurna, walaupun tahu mungkin ada kekurangan tapi kita berusaha buat  yang terbaik, agar tetamu yang hadir gembira,puas hati dan tidak mengata apa-apa tentang kekurangan yang ada. Ramadhan adalah juga perkara yang besar,sama mcm kenduri, tp kenapa kita tidak lakukan persediaan sepertimana kita bersedia utk kenduri? Apa tujuan sebenar Allah nak dari puasa kita ni? Saja-saje ke Allah suruh kita tinggalkan makan minum ni? ke ada benda lain yang Dia nak? Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa."

Jadi, tujuan utama puasa adalah untuk mencapai taqwa.Allah tak berhajat pun dari ibadat kita. Tapi Dia nak kita jadi apa dari Ramadhan ni? Dia nak kita jadi orang yang lebih bertakwa.Jadi, apa sebenarnya maksud taqwa? Taqwa ni maksudnya takut. bukan sekadar takut kepada Allah tak tentu hala macam takut hantu, tetapi ia adalah kesedaran penuh terhadap kehadiran Allah dalam setiap aspek kehidupan. Takut buat benda haram,takut Allah murka kalau langgar perintah dia. Pendek kata,apa yang yang diperintah kita laksanakan,apa yang Allah larang,tinggal sepenuhnya. Itulah taqwa.

Namun, ramai yang masih keliru dengan hakikat puasa. Mereka rasa puasa tu hanya sekadar tahan lapar dan dahaga dari subuh hingga maghrib. Ya,hanya pasal makan minum je. Kalau pasal tu, ada sahaja orang agama lain berpuasa juga. Tapi puasa lebih dari tu.  Puasa sepatutnya melatih kita untuk mengawal nafsu.Cuba fikir, Allah larang kita makan kan. Makanan minuman ni keperluan, kalau tak makan boleh mati. Kalau kita sayang anak kita, kita buat apa? kita bagi apa yang mereka suka kan..salah satunya ialah makan. Kalau ade anak yang tak cukup makan, orang akan kata dia ni tak sayang anak. Tapi cara Allah sayang kita berbeza.Dia minta kita tinggalkan benda yang kita suka,iaitu makan.Makanan yang mula halal, jadi haram. Kita boleh tinggalkan. Cuba fikir..apa kaitan tinggal makan dengan taqwa? Jika benda yang halal,keperluan hidup kita boleh tinggalkan dengan mudah.apatah lagi benda yang sememangnya haram dan tiada keperluan seperti mengumpat,rokok,vape,muzik,sepatutnya lagi-lagilah kita mudah & boleh tinggalkan dengan mudah.

Nafsu nak mengumpat,nak mengata orang,nak berburuk sangka. Nafsu tak maafkan orang, baran, Semua ni haram bukan pada bulan puasa je,tapi bulan-bulan lain pun tak boleh buat juga. Yang ni Allah nak kita tinggalkan.Pasal tingkatkan ibadah, dan membentuk akhlak baik sudahlah tentu dituntut. Malangnya, lihatlah nanti ramai yang keluar dari Ramadan tanpa sebarang perubahan. Sahur boleh bangun waktu Ramadan, tetapi selepas Ramadan, solat subuh diabaikan. Solat terawikh yang sunat penuh masjid sampai parking pun takde, tetapi solat wajib dilengah dan masjid kosong lengang. Masjid penuh waktu tarawih, tetapi selepas Ramadan, mula lengang.Cuba tanya diri kita,apa sebenarnya yang kita nak ni?

Persediaan Rohani: Jangan Hanya Fokus pada Persiapan Fizikal


Sebelum Ramadan, ramai yang dah sibuk dengan persiapan seperti membeli juadah berbuka, menyediakan baju raya, atau merancang pulang ke kampung.Penting ke semua ni dari siapkan diri untuk amalan Ramadhan? Persiapan rohani lebih penting. Kita perlu bertanya pada diri:
Adakah kita sudah merancang untuk meningkatkan ibadah seperti tadabbur Quran, qiyammullail, atau iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan? Adakah kita sudah mempersiapkan diri untuk meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala puasa, seperti mengumpat, mengata orang, atau melakukan maksiat?

Ramai yang berpuasa, tetapi masih melakukan perkara-perkara yang merosakkan nilai puasa. Lalu dapatlah ia hanya lapar dan dahaga.Pahala? Tak dapat sebab tak ada taqwa. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan keji, maka Allah tidak berhajat padanya untuk meninggalkan makan dan minumnya."* (HR Bukhari)

Maksudnya, jika puasa kita tidak mengubah akhlak dan amalan kita, maka puasa kita mungkin hanya sekadar lapar dan dahaga sahaja.

Puasa Bukan Hanya Siang Hari, Malam Juga Adalah Ramadan

Ramai yang beranggapan puasa hanya berlaku pada siang hari, jadi malam bebas melakukan apa sahaja. Ini adalah tanggapan yang salah. Malam Ramadan juga adalah sebahagian daripada ibadah puasa. Waktu malam sepatutnya diisi dengan ibadah seperti solat tarawih, tadarus Quran, atau qiyammullail. Mengumpat, mengata orang, atau melakukan maksiat pada malam hari tetap merosakkan nilai puasa kita. Rugi tak?Ya sangat rugi.

Jangan Puasa Kerana Ramadan, Tetapi Puasa Kerana Allah

Puasa bukan sekadar ritual tahunan yang dilakukan tanpa memahami tujuan sebenar. Puasa adalah ibadah yang Allah wajibkan untuk mendidik jiwa kita, mengawal nafsu, dan meningkatkan ketakwaan. Jika kita berpuasa sekadar ikut orang lain, atau sekadar kerana Ramadan, maka puasa kita mungkin tidak memberi kesan pada diri.

Rasulullah SAW bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَالْعَطَشُ

Berapa banyak orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga."* (HR Ibnu Majah)

Persediaan Menghadapi Ramadan: Langkah Praktikal

1. Tetapkan Matlamat yang Jelas
Sebelum Ramadan bermula, tetapkan matlamat rohani seperti khatam Quran, meningkatkan solat sunat, atau beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan.

2. Tingkatkan Ilmu
Fahami hakikat puasa dan maqasidnya. Jangan berpuasa tanpa ilmu kerana ia boleh menyebabkan amalan kita sia-sia.

3. Kawal Nafsu dan Akhlak
Latih diri untuk meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala puasa seperti mengumpat, marah-marah, atau melakukan maksiat.

4. Isi Malam dengan Ibadah
Jangan sia-siakan malam Ramadan dengan perkara yang tidak berfaedah. Isi dengan solat tarawih, tadarus Quran, atau qiyammullail.

5. Jaga Solat Wajib
Jangan hanya fokus pada solat sunat seperti terawikh, tetapi abaikan solat wajib. Solat wajib adalah tiang agama.

6. Fokus pada Akhirat, Bukan Dunia
Jangan terlalu sibuk dengan persiapan raya sehingga melupakan persiapan untuk akhirat.

Kesimpulan: Ramadan Adalah Peluang untuk Berubah

Ramadan adalah bulan yang penuh rahmat dan keampunan. Ia adalah peluang untuk kita membersihkan jiwa, meningkatkan ibadah, dan mendekatkan diri kepada Allah. Jangan sia-siakan peluang ini dengan hanya fokus pada persiapan fizikal seperti juadah berbuka atau baju raya. Sebaliknya, persiapkan diri secara rohani dan mental untuk mencapai tujuan sebenar puasa, iaitu taqwa.
Fikir-fikirkanlah: Adakah kita benar-benar telah mencapai tujuan puasa? Adakah kita keluar dari Ramadan dengan jiwa yang lebih bersih, hati yang lebih tenang, dan amal yang lebih baik? Atau kita masih sama, cuma bezanya sekarang kita dah boleh makan minum siang hari?

Jadikan Ramadan kali ini sebagai titik tolak untuk perubahan yang lebih baik. Jangan biarkan puasa kita sekadar lapar dan dahaga sahaja. 

Leave Comments