Setiap tahun, apabila tiba 14 Februari, ramai yang teruja menyambutnya sebagai Hari Kekasih. Iklan hadiah romantik membanjiri media sosial, promosi coklat dan bunga dijual di mana-mana, dan ramai yang menganggap inilah masanya untuk membuktikan cinta. Namun, satu persoalan timbul: benarkah cinta itu perlu dibuktikan dengan satu hari istimewa? Jika benar cinta itu suci, kenapa perlu menunggu 14 Februari untuk menyatakannya?
Di mana-mana, kita mendengar ungkapan bahawa cinta adalah fitrah. Ya, memang benar. Allah menciptakan manusia dengan rasa kasih dan sayang, tetapi cinta dalam Islam bukan sekadar perasaan, ia datang bersama tanggungjawab dan keberkatan. Islam mengajar bahawa cinta yang sebenar ialah yang membawa seseorang lebih dekat kepada Allah, bukan yang mendorong ke arah maksiat. Malangnya, budaya Valentine's Day telah mengubah konsep cinta kepada sesuatu yang bersifat materialistik dan sering kali membawa kepada perbuatan yang dilarang dalam agama.
Allah berfirman dalam Surah Al-Rum ayat 21:
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah Al-Rum 30:21)
Ini menunjukkan bahawa cinta yang benar adalah yang membina ketenangan dan membawa kepada perkahwinan yang diredai Allah, bukan sekadar hubungan sementara yang bergantung kepada satu hari dalam setahun.
Lebih membimbangkan, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang terikut-ikut dengan budaya ini tanpa menyedari sejarahnya. Valentine's Day bukan berasal dari Islam, tetapi daripada budaya Barat yang dikaitkan dengan seorang paderi Kristian bernama Valentine. Jika benar kita mengamalkan ajaran Islam, mengapa kita perlu meniru budaya luar dalam mengekspresikan kasih sayang? Rasulullah ﷺ sendiri tidak pernah menetapkan satu hari khusus untuk menunjukkan cinta, kerana dalam Islam, cinta itu adalah tanggungjawab sepanjang hayat, bukan sekadar satu hari perayaan.
Namun, di sebalik perayaan ini, ada realiti yang lebih menyedihkan. Budaya Valentine's Day sering dikaitkan dengan hubungan luar nikah, zina, dan akhirnya membawa kepada kelahiran anak luar nikah. Tidak cukup dengan itu, ada pula yang bertindak lebih jauh, membuang bayi yang tidak berdosa, menutup aib dengan dosa yang lebih besar. Bagaimana mungkin ini boleh dipanggil cinta? Sedangkan cinta sepatutnya menjaga, bukan merosakkan.
Allah telah memberikan peringatan tegas mengenai zina dalam Surah Al-Isra' ayat 32:
"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Isra' 17:32)
Realitinya, setelah terlanjur, ramai wanita yang akhirnya ditinggalkan begitu sahaja. Lelaki yang dulu berjanji setia, tiba-tiba menghilang, enggan bertanggungjawab. Perempuan yang mempercayai "cinta" akhirnya ditinggalkan dengan luka yang mendalam. Bertimpa dosa, hidup dalam keadaan tidak tenang. Malu, kecewa, maruah tergadai. Jika ini jalan yang membahagiakan, kenapa ramai yang menangis selepasnya? Jika ini benar-benar cinta, kenapa akhirnya berakhir dengan penderitaan?
Cuba fikirkan begini:
Lelaki yang benar-benar bertanggungjawab pasti akan menjaga maruah wanita. Jika maruah seorang wanita dia sanggup rosakkan, bagaimana pula nanti maruah keluarga dan anak-anaknya sendiri?
Jika dia sanggup menodai seorang wanita tanpa ikatan yang sah, apa jaminan dia tidak akan melakukan perkara yang sama kepada anak perempuan atau isterinya di masa hadapan?
Dalam satu hadis, Rasulullah ﷺ menasihati kaum lelaki tentang tanggungjawab menjaga wanita dengan penuh hormat dan kasih sayang:
"Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku." Hadith riwayat Ibn Majah, 9:2053
Islam sudah memberi panduan yang jelas. Cinta bukan sesuatu yang perlu disambut dengan maksiat, tetapi sesuatu yang perlu dijaga dan disalurkan dengan cara yang betul—melalui perkahwinan. Tetapi, manusia sering memilih untuk mengikut hawa nafsu daripada mengikut petunjuk Allah. Akhirnya, hidup menjadi rosak, hati menjadi gelap, dan masa depan menjadi hancur.
Rasulullah ﷺ juga memberi peringatan tentang bagaimana hawa nafsu boleh menyesatkan manusia:
"Tidaklah aku tinggalkan selepas kewafatanku satu fitnah yang lebih berbahaya kepada lelaki selain fitnah wanita." (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5096; Muslim, no. 2740)
Kesimpulannya, cinta bukan ilusi jika ia dibina atas dasar iman. Cinta bukan nafsu jika ia membawa kita lebih dekat kepada Allah. Dan cinta bukan hanya untuk sehari jika ia bertujuan menuju syurga yang kekal abadi. Oleh itu, sebelum kita terikut-ikut dengan budaya Valentine's Day, tanyakan pada diri sendiri: adakah cinta yang aku kejar ini benar-benar diredai Allah, atau sekadar mainan perasaan yang akan hilang bersama waktu?