By Abdul Azim on Thursday, 19 October 2023
Category: Tazkirah

Ghurur: Peringatan Agar Tidak Terpesona Dengan Dunia

Kehidupan di dunia merupakan pinjaman Allah terhadap hambanya yang bersifat sementara. Di sini juga tempat kita dihadapkan dengan ujian untuk melayakkan seseorang hamba menerima balasan di akhirat kelak. ​Sahabat sekalian, Allah berfirman dalam surah Al-Luqman ayat 33 yang berbunyi;

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu

وَٱخْشَوْا۟ يَوْمًۭا لَّا يَجْزِى وَالِدٌ عَن وَلَدِهِۦ

dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya,


وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِۦ شَيْـًٔا ۚ

dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun.

إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّۭ 

Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, 

فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِٱللَّهِ ٱلْغَرُور

maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.

Wahai sahabat, jika kita mentadabbur ayat ini, pesan-pesannya mampu menghidupkan jiwa kita yang selama ini mungkin lalai akan kesibukan dunia.  Berapa ramai hari ini, umat islam yang meninggalkan solat. Berapa ramai hari ini umat islam yang mengumpul harta kekayaan, mengejar kedudukan dan kemahsyuran. Mereka yang tertipu dengan harta, umur, kekuatan, kuasa, malah orang berilmu dan orang yang beribadah juga tidak terlepas daripadanya.


لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ

"Seandainya dunia punya nilai di sisi Allah walau hanya menyamai nilai sebelah sayap nyamuk, niscaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir seteguk airpun. (HR. At-Tirmidzi)

Oleh itu, catatan ini dituju khas untuk diri pengarang dan pembaca. Setiap orang sibuk dengan urusan dirinya. Namun menjadi tuntutan untuk sering memberi peringatan sesama kita sedang Allah telah berfirman dalam surah Az-Zariyat ayat 55;

وَذَكِّرْ فَاِنَّ الذِّكْرٰى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِيْنَ

Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. 

Seterusnya wahai sahabat;

Dalam al-Quran Allah mengatakan lagi bahawa begitu kehidupan dunia ini kecil nilainya. Ayat ini menjadikan orang yang beriman agar tidak menjadikan dunia sebagai tujuan hidup. Tidaklah kita memperkecilkan diri dari kehidupan dunia sehingga mengabaikan tugas-tugas kekhalifahan dalam memakmurkan bumi. Namun tujuan adalah memperbaiki tanggapan kita terhadap kehidupan ini agar tidak terpesona dengan kenikmatan yang disediakan. Firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 20;


ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّۭا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمًۭا ۖ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ وَمَغْفِرَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۭ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Akhir sekali, suka pengarang kongsikan nasihat daripada Saidina Ali Karamullahu Wajhahu: Pertama; dari sekian banyak nimmat dunia, cukuplah Islam sebagai nikmat bagimu. Kedua; dari sekian banyak kesibukan, cukuplah taat sebagai kesibukan bagimu. Ketiga; dari sekian banyak pelajaran, cukuplah maut sebagai pelajaran bagimu."

Wallahualam..

Leave Comments