Bukti cinta bukannya dengan perkataan, kerana mulut tidak mampu menafsirkan apa yang ada dalam hati. "Akan ku redahi lautan api" digambarkan tahap cinta yang tinggi sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Tetapi jika betul lautan api didepan, adakah akan benar-benar diredah? Itu adalah ungkapan dusta yang mampu lidah lakukan. Jika benar dia melakukan apa yang diungkapkan itu, itulah bukti cinta sejati.
Teringat sebuah kisah kesetiaan Hachiko, seekor anjing di Jepun. Hachiko setia menunggu tuannya, Profesor Hidesaburo Ueno setiap hari selama 10 tahun di stesen keretapi Shibuya di Tokyo walaupun tuannya telahpun meninggal dunia. Kesetiaan Hachiko berakhir dengan kematiannya pada 1935. Ramai orang yang berada di stesen begitu kagum dan terharu melihat Hachiko, setiap masa tanpa jemu menunggu insan yang begitu dia kasih.Kisah ini menjadi legenda di Jepun dan di seluruh dunia dan dianggap sebagai simbol kesetiaan dan cinta yang luar biasa dari seekor anjing kepada manusia.
Cinta tidak memerlukan kata-kata. Lihatlah Hachiko, cukup sahaja dengan tindakan yang lahir dari hati yang ikhlas. Cintanya terzahir cukup jelas membuat ramai insan di seluruh dunia terinspirasi!
Begitulah jika mencintai Laila, seorang lelaki pasti setiap masa tergambarkan Laila di matanya. Jika tak dapat melihat wajah, melihat surat darinya pun tak mengapa, melihat awan pun nampak Laila. Sanggup berhijrah beribu batu demi bertemu dengan jantung hatinya. Masihkah ingat kisah seorang jejaka Malaysia yang terbang ke Osaka demi menemui cinta hatinya walaupun pertama kali keluar negara sekitar 2014? Dahulu saya ada seorang rakan yang amat mencintai seorang gadis dan dia pula seorang perokok tegar. Gadis itu telah memberi syarat, jika ingin cintanya berbalas, dia mestilah meninggalkan tabiat merokok selama-lamanya. Walaupun keputusan itu sangat sukar, tapi kerana cintanya yang kuat, dia akhirnya berjaya meninggalkan keharaman rokok dan akhirnya beliau telah pun membina sebuah keluarga yang bahagia. Itulah cinta, manusia sanggup buat apa sahaja asalkan cintanya berbalas! Bukti cinta itu dengan perbuatan, tak cukup sekadar lafaz di bibir, kata dan kotakan.
Itulah cinta yang selalu kita nampak dan faham. Cinta kepada manusia. Namun ada satu lagi yang sukar untuk faham iaitu cinta kepada Nabi. Ramai yang tidak tahu Ini adalah syarat utama kepada umat Islam. Kewajiban mencintai Rasulullah SAW pula haruslah melebihi cinta kepada orang tua dan anak-anak sendiri.
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Daripada Anas Radiallahuanhu, berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia seluruhnya (Riwayat al-Bukhari)
Seperti kisah Hachiko cinta tanpa syarat, begitu juga kisah cinta kita kepada Nabi Muhammad. Apa yang ditinggalkan adalah Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih, itulah yang wajib dipegang dan digigit erat. Ikuti dan jaga agamanya sebaiknya tanpa menambah apa-apa. Orang yang membuat amalan yang tidak disuruh nabi, beribadah pula dengan cara yang tidak ditunjuk itu bukanlah tanda cinta sebenar kepada rasul melainkan cinta yang bertepuk sebelah tangan.
Syafaat yang akan umat baginda terima nanti adalah sebagai bukti cinta berbalas, namun syafaat itu bukanlah kepada semua orang, tetapi hanyalah kepada orang yang benar-benar mencintai dan menuruti apa yang telah Nabi ajarkan. Pernahkan dengar satu hadis, nabi telah menghalau sebilangan umatnya dari minum di telaga? Kenapa?
Diperlihatkan di depanku beberapa orang dalam kalangan sahabatku. Namun ketika aku hendak mengambil air untuk mereka, mereka dijauhkan daripadaku. Maka aku bertanya:
'Wahai Tuhan, mereka itu sahabatku.' Lalu dikatakan kepadaku: 'Engkau tidak tahu apakah yang mereka lakukan selepas engkau (meninggalkan mereka).
Menurut riwayat lain ada tambahan: Celakalah! Celakalah bagi orang yang mengganti (ajaranku) sesudahku. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)". Surah al-Hasyr ayat 7
Ibnu Hajar berkata:
Termasuk tanda cinta kepada Nabi SAW di atas, adalah bahawa seandainya (seseorang) disuruh memilih di antara kehilangan dunia atau kehilangan Rasulullah SAW, kalau itu memungkinkan, maka ia lebih memilih kehilangan dunia daripada kehilangan kesempatan untuk melihat baginda, ia merasakan lebih berat kehilangan Rasulullah SAW daripada kehilangan kenikmatan dunia, maka orang seperti itu telah mendapat sifat kecintaan di atas, dan siapa yang tidak mencapai sedemikian maka tidak berhak mendapat bahagian daripada buah cinta itu. Yang demikian itu tidak hanya terbatas pada persoalan cinta sahaja, bahkan membela sunnah dan menegakkan syari'at serta melawan para penentang, termasuk amar makruf dan nahi mungkar.
(Fathul Bari)
Bertanya kepada diri kita sendiri, apakah benar ungkapan cinta kita kepada Nabi selama ini? Atau ia sekadar ucapan dipinggir bibir sahaja?
- Seberapa banyak perkara dalam kehidupan harian kita menjadikan amalan Nabi sebagai contoh?
- Sejauh mana kita mengutamakan suruhan, amalan serta ajaran Nabi SAW berbanding amalan-amalan dari manusia lain.
- Sekuat mana usaha kita memastikan setiap amalan yang kita laksanakan adalah berdasarkan dalil yang sahih agar amalan kita lebih selamat serta lebih hampir kepada apa yang sabahat Nabi & Nabi laksanakan?
- Atau kita tidak kisah dengan semua itu?