By Abdul Azim on Wednesday, 12 July 2023
Category: Tazkirah

Adab Ziarah & Dakwah: Ujian Dalam Kesusahan

Dalam melaksanakan kebajikan, ziarah adalah satu perkara yang penting untuk kita buat untuk mengetahui lebih secara dasar apakah yang dihadapi oleh mereka. Ziarah ini juga sebahagian daripada usaha dakwah untuk menyampaikan mesej agama agar lebih memaknai hidup mereka yang dihimpit kesusahan hidup. Terdapat kelebihan yang besar kepada mereka yang membantu saudaranya dalam kesulitan.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda:

"Barangsiapa yang memenuhi hajat seorang saudaranya yang sedang dalam kesulitan, maka Allah akan memenuhi hajatnya pada hari kiamat. Barangsiapa yang memudahkan bagi orang yang kesulitan, maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba itu senantiasa menolong saudaranya." (HR. Muslim)

Hidup ini merupakan lapangan ujian kepada manusia, dan setiap kita akan diuji dengan ujian yang berbeza-beza dengan tujuan untuk melihat tahap keimanan kita. Kita mengaku dengan lidah dan hati bahawa kita beriman, namun kita tidak tahu setakat mana iman kita sehingga Allah menguji kita.

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ٢
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak
diuji (dengan sesuatu cubaan)? -Al Ankabut 2

Ramai orang menyangka hanya kesusahan itu adalah ujian, sedangkan kesenangan juga merupakan ujian, sepertimana dalam Al-Munafiqun ayat 9 yang menjelaskan anak-anak dan urusan harta merupakan ujian yang menyebabkan manusia lalai dari ingat kepadaNya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ ٩

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Diuji dengan Kemiskinan

Antara manusia ini, ramai yang paling banyak diuji adalah dengan kekurangan harta. Mereka diuji dengan kemiskinan, fakir dan papa. Namun,adakah kemiskinan ini akan menjatuhkan maruah kita dan menyebabkan kita menjadi hina? Tidak sama sekali. Allah tidak melihat pada taraf hidup dan harta yang kita ada, tetapi apa yang dilihat adalah taqwa dan iman yang ada dalam hati. Ramai sahabat Nabi yang hidup dalam miskin antaranya Ibnu Mas'ud, Abu Hurairah & Uqbah bin Amir. Mereka dikenali dengan ahlu suffah, mereka tidak bekerja dan tidak pula meminta, tetapi hidup mereka sangat mulia disisi Allah kerana taqwa & iman bahkan direkodkan dalam Al-Quran Allah yang redha kepada mereka. Mereka yakin yang memberikan mereka hidup dan rezeki adalah Allah yang maha Pemberi.

Namun, dalam ujian itu tidak kurang ramai juga yang berpaling & berputus harap dari rahmat Allah akibat tidak tahan dengan ujian. Ada beranggapan tuhan itu tidak adil, tidak sayang kepada mereka kerana tidak mengurniakan kesenangan seperti kehidupan orang lain. Tetapi itu hanyalah anggapan mereka sahaja. Kerana Allah beritahu dia Maha Adil dan tidak menzalimi hambaNya :

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظْلِمُ ٱلنَّاسَ شَيْـًۭٔا وَلَـٰكِنَّ ٱلنَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ٤٤

Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri. ( Yunus 44)

"Dan Allah berjanji akan ada berita gembira kepada orang yang sabar dengan ujian sebagaimana dalam Al-Baqarah 155."

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

Al-Baqarah 155

Tugas Ziarah

Atas apa sekalipun alasan mereka, sebenarnya mereka mungkin tidak sedar dengan apa yang berlaku dalam hidup mereka di atas kekurangan ilmu agama dan tidak pula tahu bagaimana cara menangani kesusahan mereka dengan jalan yang Allah sudah berikan. Atas tujuan ini kita perlu melaksanakan tugas ziarah & dakwah untuk mengembalikan mereka kepada Allah.Membantu menunjukkan jalan keluar dengan nasihat yang baik dan hikmah.

Disebalik tugasan ini, ia juga merupakan refleksi yang baik untuk mengenal erti syukur,qanaah dalam diri pendakwah kerana mereka juga pasti tidak terlepas dari ujian cuma mungkin dalam bentuk yang berbeza.

ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Niat

Segala amalan bermula dengan niat, dan kita akan mendapat ganjaran dari apa yang diniatkan. Dalam kerja dakwah, ikhlas adalah perkara yang pertama. Semua dilakukan kerana Allah bukan kerana manusia. Samada mereka menerima atau tidak itu bukan urusan kita kerana yang penting adalah tugasan menyampaikan itu telah kita laksanakan dengan baik. Hidayah itu bukan milik kita, ia hak mutlak 100% milik Allah S.W.T. Jika ia milik kita, mengapa bapa saudara Nabi Muhammad masih juga tidak beriman, mengapa Isteri dan anak nabi Nuh juga tidak beriman sedangkan mereka itu sangat hampir dengan dakwah nabi? Usah takut kepada rejection, sampaikan sahaja dan senyum :)

Mulakan Ziarah

Apabila menziarahi mulakan dengan ucapan salam dan minta keizinan dari tuan rumah.Ada juga yang tidak sudi menerima tetamu, semuanya perlu dilakukan dengan hikmah. Beritahu dari mana kita datang dan tujuan bertemu mereka secara ringkas. Sapa dengan ramah dan senyum, Ini adalah mukaddimah yang baik kepada ziarah dan membina kepercayaan dalam diri mereka yang kita datang dengan tujuan yang baik.

Bina Persamaan

Sebelum memberi nasihat, kita perlu tahu apa yang perlu dinasihatkan. Mulakan bertanya tentang diri/keluarga mereka. Cari persamaan yang ada diantara kita dan mereka.Misalnya tempat asal, tempat anak belajar,umur atau apa sahaja yang ada persamaan secara kebetulan.

Setelah nampak ada keselesaan dan tidak lagi kekok untuk bercakap, maka bolehlah kita lanjutnya dengan bertanya tentang, apa masalah yang dihadapi mereka dan kita harus jadi pendengar yang baik.Kawal emosi, jangan melatah dan berprasangka buruk.

Kongsi Ilmu & Nasihat

Setelah mendapat gambaran masalah yang dihadapi mereka, boleh berikan Ayat Quran atau hadis yang berkaitan. Boleh juga dengan menceritakan kisah-kisah nabi & sahabat sebagai penguat agar mereka rasa bukan mereka sahaja yang mengalami kesusahan seperti ini. Penting untuk kita berikan ayat-ayat Allah kepada mereka, sebagaimana Allah memerintahkan kepada Nabi Musa ketika bertemu Firaun(Taghut, orang yang melampaui batas).

ٱذْهَبْ أَنتَ وَأَخُوكَ بِـَٔايَـٰتِى وَلَا تَنِيَا فِى ذِكْرِى ٤٢

"Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.

Allah mengingatkan agar dalam berdakwah, kita perlu bawakan ayat-ayatNya, tunjukkan kebesaran Allah dan jangan lupa untuk sentiasa berzikir kepadaNya. Kerana hati manusia ini milik Allah. Dia boleh terus tukar hati manusia yang tegas & keras menjadi lembut sepertimana Saidina Umar yang keras terus beriman apabila mendengar ayat-ayat Allah.

Beri Bantuan & Sumbangan

Setelah diberi nasihat & panduan, seeloknya berikan juga bantuan berupa barangan & kewangan agar ia mudah teringat dan terkenang akan usaha yang dibuat kepada mereka. Elok juga jika ada buku-buku panduan agama seperti zikir-zikir pagi dan petang agar hati sentiasa terikat dengan Allah. Berikan kata-kata harapan yang Allah sentiasa kepada mereka dan jika perlu bantuan lagi, jangan malu untuk terus berhubung dengan kita/pertubuhan kita.

Doakan Kebaikan

Setelah selesai, ambil kesempatan untuk berdoa kepada Allah untuk kebaikan keluarga mereka dan kepada semua yang hadir agar dikurniakan taqwa, keimanan dan istiqamah dalam menjadi hamba Allah yang sebenarnya. Sesungguhnya tawakkal itu adalah satu bentuk tuntutan

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ٢ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍۢ قَدْرًۭا ٣

"..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu…."

Seusai itu, mohon izin untuk berlalu dan berikan salam serta senyuman yang paling manis. Semoga Amalan ini diterima oleh Allah sebagai satu amalan kebajikan !  Semoga mendapat manfaat. Beri komen dan tanda sekiranya anda sudah baca sampai habis dan dapat sesuatu!

Leave Comments