YKAT Blog
Penderma Bertuah
Masih ingat beberapa minggu lalu, kami ada menawarkan-warkan satu crowdfunding untuk membantu satu keluarga ibu tunggal yang mengalami kesempitan kewangan? Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT pihak YKA berjaya mengumpulkan RM3000 dalam masa kurang dari 24 jam untuk diserahkan kepada keluarga tersebut. Alhamdulillah, berita terkini, keluarga tersebut telah pun berpindah dah menjalani kehidupan baru. Tetapi ada cerita yang sangat menarik yang memberi inspirasi disebalik kisah ini. Itu yang kami nak ceritakan kepada anda. Mudahan ia memberikan pedoman dan ikutan kepada kita!
Ada seramai 13 penyumbang budiman yang bersama-sama menjayakan kempen crowdfund ini. Semoga Allah menggantikan amal soleh mereka ini dengan segala kebaikan didunia dan akhirat kerana membantu memudahkan satu urusan hamba Allah. Tetapi, tahukan kalian, salah seorang daripada 13 penyumbang yang budiman ini telahpun menemui Penciptanya beberapa hari selepas melaksanakan tanggungjawab ini? Lebih terharu, bukan itu sahaja, dalam satu tempoh kutipan itu berlangsung,ada ketika jumlah terkumpul baru berjumlah RM2350, bahkan dialah insan terakhir yang berhati mulia yang mencukupkan jumlah tersebut terus menjadi RM3000.
Apabila seseorang itu melazimi sesuatu amal soleh, dan istiqamah, pengakhirannya juga dalam bentuk melaksanakan amal soleh. Saudara kita ini sememangnya sentiasa ada memberikan sumbangan kepada YKA apabila dibuat crowdfunding. Peristiwa ini mengingatkan saya tentang satu ayat Al-Quran dalam surah Al-Munafiqun ayat 10, yang bermaksud,
"Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ".
Apabila tiba saat kematian, Allah beritahu, barulah manusia akan betul-betul yakin yang betapa besarnya pahala bersedekah yang dapat menyelamatkannya dari segala ancaman di alam selepas ini. Mungkin amalan baik tidak banyak dan tidak pula mencukupi, tetapi disana ada satu jenis amalan yang senang dibuat dan banyak ganjaran. Amalan inilah yang manusia mohon dari Allah untuk dilakukan jika diberi kesempatan,iaitu sedekah. Harta yang kita miliki hari ini, sebenarnya bukanlah milik kita. Tetapi ramai kita tertipu, sayang dan merasakan itulah harta yang dia usahakan selama ini.Tetapi,akhirnya bila ia bertemu dengan kematian, harta yang dikumpul selama hidupnya itu terus beralih menjadi harta waris-warisnya kecuali, apa yang telah diinfakkan.Berapa banyak yang diberikan kejalan Allah, Itulah harta miliknya yang sebenar-benarnya yang kekal. Yang kekal hanyalah amalan soleh. Itu lah yang Allah telah khabarkan kepada kita dalam Al-Kahfi 46, "Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
Tetapi, itu jika diberi kesempatan. Dan pastinya, tidak ada lagi kesempatan yang akan diberikan. Semuanya telah terlambat dan tiada guna lagi segala penyesalan. Peringatan yang Allah berikan, telah jelas nyata, tapi kita tidak ambil indah dan menutup mata buat tidak nampak! Sangat beruntunglah saudara kita ini!
Kenapa apabila diminta untuk kembali kedunia dan memilih untuk bersedekah? Berapa banyak pahala dan kebaikan yang Allah ganjarkan? Mari lihat apa Allah kata dalam surah Al-Baqarah 261. "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya."
Semoga Allah merahmati kemurahan dan keikhlasan hati beliau, dan memberikan keluasan dan kemudahan untuk beliau mendapat janji Allah yang pasti, kejayaan yang sebenar, iaitu memperolehi syurga yang kekal selama-lamanya! Semoga kisah benar ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk terus kekal dalam amal soleh insyaallah!
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments