Font size: +
6 minutes reading time (1235 words)

Transformasi Hijau Kg Tg.Agas Pekan

Tanjung Agas, Pekan Pahang , 3 Jun 2023 - Kampung Tanjung Agas menyaksikan satu program intensif sepanjang tiga hari iaitu pelaksanaan Program Kebersihan Kampung Tanjung Agas, anjuran Yayasan Kebajikan At-Tibyan (YKA) bersama dengan penaja utama CIMB Foundation. Idea program ini bermula dari pertemuan dan perbincangan dengan Tok Penghulu Mukim 1, En Hamdan bin Sahal dan juga Ketua Kampung Mohammad Nor Hazmiza bin Abu Bakar. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan, dan masyarakat setempat. Seminggu sebelum program bermula, penduduk kampung telah diberikan taklimat untuk membersihkan halaman di sekitar kawasan masing-masing sebagai tanda sokongan kepada pelaksanaan program. Langkah ini bukan sahaja mempersiapkan kawasan untuk aktiviti gotong-royong yang bakal berlangsung, tetapi juga menyemai kesedaran awal tentang pentingnya menjaga kebersihan persekitaran.

Pada hari pertama, seawal pagi, kampung ini dibanjiri oleh lebih seratus sukarelawan yang datang dari pelbagai latar belakang. Pelajar-pelajar dari institusi seperti UCYP, Ribat Sullamuttaufiq, dan Kolej DRB-HICOM, serta anggota AADK dan Ikatan Pelajar Islam Pahang, bersatu hati melaksanakan tugas pembersihan. Mereka turut dibantu oleh agensi-agensi kerajaan seperti JKR, SWCORP, Alam Flora, MPP, TNB, dan Jabatan Kesihatan. Aktiviti gotong-royong ini dijalankan di beberapa zon utama kampung iaitu Kampung Sekukuh, termasuk kawasan jeti, jalan utama, dan persimpangan utama.

Setelah selesai aktiviti pada hari pertama, semua sukarelawan disajikan dengan hidangan masakan kampung yang menyelerakan. Gotong-royong ini bukan sahaja membersihkan kampung tetapi juga mengeratkan hubungan antara sukarelawan dan penduduk kampung. Lebih daripada sekadar membersihkan kampung, satu lagi inisiatif yang telah dilaksanakan pada hari tersebut iaitu Program Thrash to Cash oleh SWCorp. Program Thrash to Cash menjadi magnet tersendiri, terutama bagi kanak-kanak. Dengan penuh semangat dan ceria, mereka membawa bungkusan sampah yang telah dikumpulkan dan menukarnya dengan wang tunai. Kegembiraan di wajah mereka memberi gambaran betapa pentingnya pendidikan awal tentang kebersihan dan juga pentingnya menjaga alam sekitar. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi ganjaran material, tetapi juga memberi impak mendalam dalam memupuk kesedaran kebersihan dalam kalangan generasi muda.

Hari kedua bermula dengan taklimat awal pagi di masjid, di mana sukarelawan berkumpul dan bersiap sedia untuk sesi pembersihan seterusnya. Fokus pembersihan hari ini adalah dari kawasan masjid hingga ke sekolah dan jeti Tanjung Agas. Dengan semangat yang tidak pernah luntur, sukarelawan terus bekerja memastikan setiap sampah yang kelihatan dipungut dan dipastikan bersih.

Bersih jasmani sahaj tidak mencukupi. Pada sebelah malam, pengisian untuk kebersihan rohani turut disediakan.Suasana di masjid menjadi meriah dengan kehadiran penduduk kampung untuk program forum bertajuk "Kebersihan & Islam: Menjaga Alam & Menjaga Iman". Forum ini disampaikan oleh Ustaz PU Hamizi dan Ustaz Lebai Idris, yang mengupas dengan mendalam mengenai pentingnya menjaga kebersihan sebagai sebahagian dari iman. Kehadiran ramai penduduk kampung menunjukkan betapa mereka menghargai ilmu yang disampaikan, dan forum ini berjaya menyemarakkan lagi kesedaran kebersihan dalam kalangan komuniti.


Hari terakhir, majlis penutup diadakan dengan meriah dan penuh makna. YB Dato' Mohamad Nizar, selaku ADUN Peramu Jaya, hadir merasmikan majlis ini bersama wakil dari CIMB Foundation, agensi-agensi kerajaan, penghulu, ketua kampung, penduduk, dan sukarelawan. Dalam ucapan beliau, Dato' Mohd Nizar mengakui peranan yang diilhamkan oleh Yayasan Kebajikan at Tibyan, memuji usaha mereka dalam membangkitkan semangat gotong-royong dan juga melaksanakan kunjungan dakwah rumah ke rumah untuk menyebarkan nilai-nilai murni kepada masyarakat. 

"Saya berharap agar program seumpama ini tidak berlalu begitu sahaja. Kebersihan merupakan satu tuntutan penting dalam Islam. Jika kita berkekalan dalam mengamalkannya, pasti kita akan memperoleh lebih daripada sekadar kawasan yang bersih; kita juga akan mendapat keberkatan dari Tuhan,"

YB Dato' Mohamad Nizar
YB Dato' Mohamad Nizar ketika sesi menandatangani papan tanda 'Selamat Datang ke Kg Tg Agas' bersama Tok Penghulu, Ketua Kampung dan pihak CIMB Foundation.

Beliau berkata semasa merasmikan perasmian penutupan. Turut menghadiri program tersebut ialah Datuk Zaliza Zulkifli, Pegawai Daerah Pekan, Encik Zulkhairi Md Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan at-Tibyan, serta ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua kampung berdekatan.

Pengarah Program, En Abdul Azim turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan menjelaskan tujuan program ini, iaitu untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan dan kesejahteraan dalam komuniti.Selain itu, turut disyor dan ditekankan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan perkhidmatan kepada penduduk kampung khususnya untuk mewujudkan kawasan pengumpulan dan kutipan sampah yang dibuat secara berkala. Ini penting untuk memastikan momentum yang dibina hari ini terus kekal.

Kemuncak majlis penutup adalah pelancaran mercu tanda baru Tanjung Agas oleh YB Dato' Mohamad Nizar. Mercu tanda ini bukan sahaja simbol komitmen penduduk kampung dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran, tetapi juga sebagai daya tarikan baru yang diharapkan dapat merangsang ekonomi setempat.

Pameran dan reruai oleh pihak YKA dan AADK turut disediakan dan menyaksikan interaksi yang lebih erat antara agensi dan penduduk kampung. Team YKA turut membuat perkongsian tentang dakwah kepada orang kampung dan juga agensi seperti AADK, serta merancang untuk mengadakan program bersama pada masa akan datang. Banyak idea dan input yang menarik diperoleh dari program ini, yang mana bukan sahaja bermanfaat kepada penduduk kampung tetapi juga kepada YKA sendiri. Malah, beberapa ketua kampung dari kawasan lain turut menunjukkan minat terhadap cerita akwah yang dikongsikan, dan berhajat untuk mengadakan program seumpama ini di tempat mereka. Mereka juga bertanya tentang cabaran dakwah di tempat masing-masing, dengan harapan perkongsian dapat memberi idea baru strategi dakwah kepada mereka.

Program Kebersihan Kampung Tanjung Agas ini diharapkan akan menjadi titik mula kepada perubahan positif dalam aspek fizikal, sosial, dan ekonomi kampung. Ia juga diharap dapat memupuk semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab dalam kalangan penduduk kampung, memastikan Tanjung Agas terus menjadi sebuah komuniti yang bersih, harmoni, dan berjaya. Penduduk kampung turut menunjukkan keramahan yang luar biasa, di mana sukarelawan berpeluang merasai masakan tradisional kampung yang disediakan secara rewang, satu tradisi masyarakat kita yang kian pudar. 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Penderma Bertuah
Scripture and Science: A Profound Connection Revea...
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Thursday, 26 December 2024