By maisarah on Thursday, 30 July 2026
Category: Tazkirah

Sombong

Kadang-kadang kita ingat bila Allah bagi harta, jawatan, populariti atau pengaruh, tanpa luah tapi sudah rasa hebat. Padahal belum tentu. Dalam al-Quran, Allah mengingatkan bahawa harta dan anak-anak hanyalah ujian. Firman Allah:

Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu hanyalah satu ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.

(Surah at-Taghabun: 15)

Ramai orang lulus bila susah, tapi tak semua orang lulus bila senang sebab ujian nikmat kadang-kadang lebih berat daripada ujian kesusahan.
Penyakit yang paling bahaya sebenarnya bukan penyakit pada badan, tetapi penyakit hati. Dan antara penyakit hati yang paling dahsyat ialah sombong. Dosa pertama yang dilakukan terhadap perintah Allah bukanlah mencuri, berzina atau meninggalkan solat. Sebaliknya, ia adalah kesombongan. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS kerana merasakan dirinya lebih baik. Allah berfirman

Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.

(Surah al-A'raf: 12)

 Disebabkan kesombongan itulah, Iblis dilaknat sehingga hari kiamat.

Sebab itu Rasulullah SAW memberi amaran yang sangat keras:

Tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sifat sombong walaupun sebesar zarah

Riwayat Muslim, no. 91

 Kadang-kadang bila dengar org sebut/nasihat ttg sombong, kita terus bayangkan orang yang bercakap besar atau menunjuk-nunjuk harta. Hakikatnya, sombong boleh muncul dalam bentuk yang sangat halus. Ada orang tak pernah menghina orang lain dengan mulut, tetapi bila bertemu dia tak beri salam, tak mahu senyum, buat tak kenal, memandang rendah orang yang kurang berada atau kurang berpelajaran. Kita mungkin rasa itu perkara kecil, tetapi boleh jadi ia datang daripada hati yang mula dipenuhi rasa tinggi diri.

Realitinya hari ini, kita mudah menilai orang berdasarkan kereta, telefon, pakaian, jawatan atau jumlah pengikut di media sosial. Kita lebih mesra dengan orang yang ada nama, tetapi dingin dengan orang biasa sedangkan di sisi Allah, ukuran bukanlah siapa paling kaya atau paling terkenal, tetapi siapa yang paling bertakwa.


Jadi kalau hari ini Allah bagi kita sedikit kelebihan dari segi harta, ilmu, jawatan atau pengaruh, jangan jadikan ia sebab untuk rasa lebih tinggi daripada orang lain. Jadikan ia sebab untuk lebih banyak merendah diri, lebih mudah tersenyum dan lebih ringan memberi salam kerana yang menjatuhkan seseorang di sisi Allah bukanlah kekurangan harta, tetapi kesombongan yang tersembunyi di dalam hati.​

Leave Comments