Contoh paling dekat dengan kita ialah makan. Kita semua tahu rezeki dah ditulis, tapi kita tetap makan bila lapar. Tak pernah pula kita duduk diam dan kata, kalau Allah nak kenyang, nanti kenyanglah sendiri. Kita pergi cari makanan, kita masak, kita makan. Sebab kita faham, makan adalah asbab untuk hidup.
Begitu juga dengan doa. Doa bukan sekadar tambahan dalam hidup, tetapi ia adalah asbab untuk termakbulnya hajat. ۞ يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍۢ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ ٣١
Allah sendiri berfirman, "Dan makanlah serta minumlah, dan jangan kamu melampaui batas" (Surah Al-A'raf: 31).
Enter your text here ...
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُوْنِيْٓ اَسْتَجِبْ لَكُمْ ۗاِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ عِبَادَتِيْ سَيَدْخُلُوْنَ جَهَنَّمَ
Allah berfirman, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan untuk kamu" (Surah Ghafir: 60)
Ayat ni bukan sekadar galakan, tapi janji daripada Allah. Maknanya, bila kita berdoa, kita sedang menggunakan jalan yang Allah sendiri tetapkan untuk kita dapat apa yang kita harapkan.
Kalau kita tengok realiti hidup, sebenarnya kita sangat faham konsep asbab ni. Nak lulus peperiksaan, kita belajar. Nak sihat, kita jaga pemakanan. Nak berjaya dalam kerjaya, kita usaha dan bekerja keras. Tak ada siapa yang duduk diam tanpa usaha. Tapi peliknya, bila masuk bab doa, kadang-kadang kita rasa ia tak sepenting usaha.
Lihat bagaimana para nabi sendiri berdoa. Nabi Ibrahim selepas membina Kaabah, satu amalan yang sangat besar dan mulia, masih berdoa kepada Allah, "Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami amalan ini" (Surah Al-Baqarah: 127). Bayangkan, seorang nabi yang melakukan amalan hebat pun masih risau sama ada amalannya diterima. Apatah lagi kita sebagai manusia biasa, yang penuh kekurangan, lebih-lebih lagi sangat memerlukan doa.
Nabi SAW bersabda, "Tiada yang dapat menolak takdir kecuali doa" (Hadis riwayat Tirmizi). Ini menunjukkan bahawa dalam takdir Allah, memang ada ruang untuk doa memainkan peranan. Doa bukan lawan takdir, tapi sebahagian daripada takdir itu sendiri. Ia adalah cara kita bergantung kepada Allah, bukan sekadar bergantung pada usaha semata-mata.
Akhirnya, hidup kita perlukan kedua-duanya. Usaha dan doa mesti berjalan seiring. Usaha tanpa doa boleh jadi kosong, dan doa tanpa usaha pula tidak lengkap. Berdoalah, kerana itu tanda kita sedar siapa yang mengatur segalanya, dan kita hanyalah hamba yang sentiasa bergantung kepada-Nya.