By Siti Nur Akasyah on Thursday, 13 July 2023
Category: Tazkirah

Sedekah ketika waktu susah, amalan yang jarang dilaksanakan
















"Orang-orang yang menginfakkan hartanya malam dan siang hari (secara) sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati." Al-Baqarah: 274

Konsep sedekah sememangnya banyak disebut di dalam Al-Quran, dan dengan zaman serba mudah yang penuh dengan teknologi ini, sedekah juga boleh dilakukan di hujung jari sahaja. Amat mudah. Namun, masyarakat kebiasaannya hanya bersedekah semasa mempunyai wang lebih, atau semasa baru mendapat gaji dan sebagainya. Akan tetapi, tahukah anda bahawa bersedekah ketika susah adalah yang paling ditekankan dalam Islam? 

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda; "Sedekah yang kamu lakukan ketika sedang sihat, ketika kamu risau akan menjadi miskin. Maka pada ketika itu janganlah kamu menangguh amalan sedekah itu sehingga nyawamu sampai di kerongkong"(HR Bukhari)

Justeru, amalan sedekah semasa sedang susah adalah sesuatu yang sangat istimewa. Hal ini kerana, terdapat ramai lagi masyarakat yang lebih susah daripada kita. Jika kita berasa susah kerana tidak cukup duit untuk membeli makanan di luar, ada di antara masyarakat yang tidak mempunyai makanan pun di rumah. Oleh sebab itu, bersyukur adalah satu elemen penting yang diterapkan melalui sedekah. Kita bersyukur dengan apa yang kita ada, dan kita lahirkan rasa syukur itu dengan cara bersedekah.

Pengalaman Berharga

Hal ini mengingatkan saya tentang pengalaman saya semasa menuntut pengajian di Kolej Matrikulasi. Boleh dikatakan saya sering berlapar kerana tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk membeli makanan. Kolej pula tidak membenarkan pelajar untuk memasak sendiri atas faktor keselamatan. Jadi, saya kebiasaannya makan sekali sahaja sehari. Pada suatu hari, seperti biasa rutin saya adalah membeli nasi apabila pulang dari kelas pada pukul 5 petang. Selesai membeli, saya terserempak dengan rakan saya, yang juga baru pulang dari kelas. Beliau kelihatan tidak bermaya, tetapi saya tidak bertanya dan hanya menganggap beliau penat. Mana tidaknya, jadual kelas di Matrikulasi sememangnya padat, kelas adalah pada setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang. 

Sesampainya kami ke tingkat 3 asrama, kami masuk ke bilik masing-masing. Setelah meletakkan beg dan nasi, saya mendapat suatu pesanan teks daripada rakan saya tersebut. Beliau menceritakan perihal ketiadaan wang dan berasa mahu pitam kerana sudah tidak makan selama dua hari. Hanya minum air kosong sahaja. Beliau berasa malu untuk mengadu secara berhadapan, jadi beliau membuat keputusan untuk mesej sahaja. Saya pun bergegas memeriksa baki duit di dalam beg saya. RM5.00. "Cukup untuk 2 hari", fikir saya. Namun, memikirkan yang rakan saya amat memerlukan, saya pun turun semula ke bawah dan membelikan nasi dengan air milo suam. Harganya betul-betul cukup RM5, duit terakhir saya. Saya fikir cuma akan minum air kosong sahaja untuk hari seterusnya sementara menunggu ayah saya mendapat gaji.

Keesokan harinya, saya pergi ke kelas seperti biasa. Kami baru selesai menjalani ujian pada minggu sebelumnya, jadi pensyarah akan memberikan keputusannya pada hari itu. Apabila nama saya disebut untuk mengambil kertas yang sudah siap ditanda, pensyarah saya mengucapkan tahniah kerana saya mendapat markah tertinggi dalam kelas dan meminta saya untuk bertemu dengan beliau di pejabat selepas waktu kelas. Jadi, saya pun mengekori beliau ke pejabat. Sesampainya kami di sana, beliau menghulurkan saya note RM50 sambil berkata "Nah, sebab dapat A". Pada waktu itu, saya terus teringat tentang peristiwa saya membantu rakan saya pada hari sebelumnya. Saya tidak mengharapkan balasan apa-apa, hanya berharap Allah membantu saya untuk meneruskan hidup. Dan Allah menghulurkan bantuan melalui pensyarah saya. RM5 digandakan menjadi RM50. Sesunggahnya Allah Maha Pemurah.

Abu Hurairah (RA) meriwayatkan bahawa Rasulullah (ﷺ) bersabda;

"Sedekah sama sekali tidak mengurangi kekayaan. Dan hamba yang mengampuni (orang lain), Allah menambahkan kehormatannya, dan orang yang merendah hati, Allah mengangkat kedudukannya."


by Riwayat Muslim

Oleh sebab itu, bersedekahlah walaupun ketika sedang susah, kerana Allah sentiasa akan membalas dan merahmati setiap amalan baik yang kita lakukan. Namun, janganlah kita bersedekah dengan niat supaya Allah menggandakan wang kita, bersedekahlah dengan ikhlas. Semoga kita sama-sama mendapat rahmat dan reda Allah di muka bumi ini. Wallahua'lam. 

Leave Comments