Cuma, jangan salah faham. Bila Nabi puji orang yang bertaubat, bukan bermaksud kita boleh hidup dengan mindset, "tak apa, buat dulu dosa, nanti taubat." Itu bukan taubat, itu mempermainkan taubat. Taubat yang sebenar datang daripada hati yang betul-betul menyesal, rasa bersalah dan ada keinginan kuat untuk berubah. Kalau dari awal memang dah "plan" nak buat dosa, itu tanda hati kita belum jujur dengan Allah. Taubat bukan strategi, tapi refleksi hati yang hidup.
Kadang-kadang kita sendiri pun tak sedar, kita pandang ringan dosa-dosa kecil. Kita rasa, "alah, benda kecil bukan buat jahat besar pun." Tapi hakikatnya, dosa kecil yang berterusan boleh jadi besar. Ia ibarat titik hitam dalam hati, mula sikit, lama-lama penuh. Mula dengan "tengok je", "ikut kawan je", "sekali je" akhirnya jadi biasa. Sampai satu tahap, kita dah tak rasa bersalah langsung. Hati jadi keras dan itu sebenarnya lebih bahaya daripada dosa itu sendiri.
Di sinilah liciknya syaitan. Dia tak datang terus suruh kita buat dosa besar. Dia datang perlahan-lahan, step by step. Dia make sure benda salah tu nampak biasa, nampak ringan, bahkan nampak menyeronokkan. Dia "rebrand" dosa supaya nampak cool, nampak chill, nampak macam semua orang buat. Bila semua orang buat, kita pun rasa tak pelik. Lama-lama, kita hilang sensitiviti terhadap dosa.
Kalau tengok realiti hari ini, memang jelas sangat. Ada tempat yang dipanggil "cafe", tapi suasananya macam kelab malam, lampu malap, muzik kuat, orang menari, lelaki perempuan bercampur bebas. Ramai yang datang dengan alasan, "nak lepak je bukan ada arak pun." Yang bertudung pun ada. Dari luar nampak macam biasa, tapi suasana tu sendiri perlahan-lahan membentuk hati kita. Apa yang dulu kita rasa janggal, lama-lama jadi normal.
Hakikatnya, dalam menjaga iman, bukan sekadar apa yang kita buat, tapi juga di mana kita berada dan apa yang kita biasakan. Suasana sangat mempengaruhi hati. Kalau kita selalu duduk dalam environment yang jauh dari nilai Islam, lama-lama kita akan rasa benda tu tak salah. Sebab tu ulama selalu tekankan, jaga tempat, jaga kawan, jaga suasana. Bukan sebab kita nak judge orang, tapi sebab kita nak jaga hati sendiri.
Akhirnya, kita semua manusia biasa. Kita akan buat silap, kita akan jatuh. Tapi jangan biasakan diri dengan dosa. Jangan jadikan dosa sebagai "comfort zone". Bila jatuh, cepat bangun. Bila salah, cepat baiki. Sebab yang membezakan kita bukan siapa paling suci tapi siapa paling cepat kembali kepada Allah. Percayalah, setiap kali kita kembali dengan ikhlas, Allah bukan sekadar ampunkan tapi Dia sayang.