Nabi Nuh 'alayhissalam berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun tanpa berputus asa, siang dan malam, walaupun kaumnya menolak, mengejek, dan bahkan menutup telinga mereka dari mendengar dakwahnya. Dalam Surah Nuh, ayat 5, Allah berfirman:
قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوۡتُ قَوۡمِي لَيۡلࣰا وَنَهَارࣰا
"Nuh berkata: 'Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang.'" [Surah Nuh 71:5]
Ayat ini menceritakan bagaimana gigihnya Nabi Nuh dalam melaksanakan tugas dakwahnya tanpa kenal lelah, walaupun menghadapi cabaran yang besar. Nabi Nuh adalah contoh terbaik bagi seorang pendakwah yang terus berjuang tanpa mengira usia dan keadaan. Dakwah bukanlah sesuatu yang dilakukan hanya bila senang dan lapang, tetapi ia adalah misi sepanjang hayat yang memerlukan ketabahan dan keikhlasan yang tinggi.
Kita lihat pula contoh kehidupan kita hari ini. Nabi dan para sahabat terus melaksanakan dakwah hingga mereka wafat. Asbab usaha mereka, agama sampai kepada kita hari ini. Tetapi kita—kita sering kali berehat dan menangguhkan dakwah. Ramai yang berfikir bahawa tugas dakwah adalah tanggungjawab orang lain, khususnya golongan muda. Orang muda sibuk bekerja, lalu menyimpan azam untuk berdakwah dan beribadah apabila sudah tua. Tapi realitinya, apabila tua, ramai pula yang sibuk dengan anak cucu.
Ada juga yang beralasan, "Kita bagi orang muda-muda lah buat," dan meninggalkan tugas dakwah, memilih untuk hanya fokus kepada keluarga. Sepatutnya orang tua inilah yang menjadi payung dan memberi bimbingan kepada anak-anak muda dalam jalan dakwah, seperti mana para sahabat membimbing generasi seterusnya.
Tak ramai yang kita lihat orang tua yang aktif dalam dakwah, bukan? Tapi bila bab melancong dan berjalan-jalan, ramai yang boleh pergi ke mana sahaja. Katanya sudah pencen dan ada duit lebih. Kita perlu merenung, bagaimana jika kesungguhan untuk berjalan-jalan itu juga kita gunakan untuk berada di jalan dakwah? Nabi Nuh walaupun sudah sangat tua, tetap tidak pernah berhenti berdakwah kerana baginya, dakwah adalah amanah yang besar.
Ingatlah bahawa dakwah bukan hanya untuk golongan muda, tetapi untuk setiap orang, tidak kira usia. Nabi Nuh 'alayhissalam adalah teladan bagi kita semua—bahawa dakwah adalah usaha yang berterusan, tidak mengenal waktu, dan tidak mengenal usia. Kita mohon kepada Allah agar kita diberikan taufiq untuk tetap berada di atas jalan dakwah hingga kita wafat.
Dan jika kita tidak mampu untuk keluar berdakwah seperti yang dilakukan oleh Nabi Nuh atau para sahabat, janganlah pula kita menjadi batu penghalang kepada mereka yang ingin berdakwah. Sebaliknya, kita boleh sokong dengan apa sahaja cara yang kita mampu—doa, nasihat, atau bahkan contoh teladan yang baik.
Semoga kita semua dapat meneladani keikhlasan dan kegigihan Nabi Nuh 'alayhissalam dalam berdakwah dan semoga Allah menerima usaha kita sebagai ibadah yang diredhai-Nya.