IM3, Kuantan
Mon - Sat: 9.00 am to 5.00 pm.
Font size: +
2 minutes reading time (379 words)

Tadabbur Surah al-Ikhlas: Mengenal Allah Sebelum Mencintai-Nya

WhatsApp-Image-2025-03-05-at-11.28.19-AM

Surah al-Ikhlas adalah antara surah yang paling banyak dihafal oleh umat Islam. Pendek dan mudah dibaca, tetapi adakah kita benar-benar memahami keistimewaannya? Ramai yang membaca surah ini dalam solat kerana ringkas, tetapi sejauh mana kita menghayati maksudnya?

Dalam sebuah hadis, seorang sahabat sangat menyukai Surah al-Ikhlas dan membacanya setiap kali solat. Apabila Nabi Muhammad SAW bertanya sebabnya, sahabat itu menjawab: "Sebab aku suka kepada maksudnya." Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW bersabda: "Cinta kamu kepada surah ini menyebabkan kamu masuk syurga." (HR Bukhari)

Mengapa Surah al-Ikhlas Begitu Istimewa?

Surah ini diturunkan sebagai jawapan kepada soalan orang musyrik yang bertanya kepada Rasulullah SAW: "Ceritakan kepada kami tentang Tuhanmu." Mereka ingin tahu siapakah Tuhan yang diseru oleh Nabi Muhammad SAW. Maka Allah menurunkan Surah al-Ikhlas yang terdiri daripada empat ayat yang sangat padat dan bermakna:

1. "Katakanlah (wahai Muhammad): Dialah Allah Yang Maha Esa."

Allah itu satu, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dialah satu-satunya Tuhan yang layak disembah

2. "Allah tempat bergantung segala sesuatu."

Segala makhluk bergantung kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan. Allah Maha Berkuasa dan tidak memerlukan sesiapa

3. "Dia tiada beranak dan tidak diperanakkan."

Allah tidak mempunyai anak, ibu atau bapa. Konsep ketuhanan dalam Islam tidak sama dengan konsep ketuhanan dalam agama lain yang mengaitkan Tuhan dengan keturunan

4. "Dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya."

Tiada yang boleh dibandingkan dengan Allah dari segi sifat dan zat-Nya. Allah bebas daripada sebarang kelemahan atau persamaan dengan makhluk.

Empat ayat ini cukup untuk memberi kefahaman tentang siapa Allah. Bahkan, para ulama mengatakan bahawa sesiapa yang belum memahami Surah al-Ikhlas, bererti dia masih belum benar-benar mengenal Allah.

Kenal Dahulu, Baru Cinta

Kita tidak boleh mencintai sesuatu yang kita tidak kenal. Sama seperti manusia yang ingin mencintai seseorang, mereka perlu mengenali terlebih dahulu. Begitu juga dalam hubungan kita dengan Allah. Untuk benar-benar mencintai Allah, kita mesti mengenal-Nya terlebih dahulu melalui wahyu yang diturunkan (Al-Quran).

Mulai detik ini, bacalah Surah al-Ikhlas bukan sekadar kerana ia pendek, tetapi kerana ia mengandungi makna yang mendalam tentang keesaan Allah. Jadikan ia sebagai satu peringatan setiap kali membacanya, bahawa kita sedang mengukuhkan hubungan dengan Tuhan yang kita sembah.

Semoga selepas ini, apabila kita membaca Surah al-Ikhlas, kita akan membacanya dengan penuh kesedaran dan kecintaan kepada Allah, bukan sekadar menghafal tanpa penghayatan. Mengenal Allah adalah kunci cinta sejati kepada-Nya 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Surah al-Kafirun: Ketegasan dalam Prinsip, Kelembu...
Dari Penjaga Pagar Ke Pemilik Bungalow: Rahsia Kej...
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Wednesday, 12 March 2025