YKAT Blog
Erti Jiwa Merdeka
Apa makna jiwa Merdeka,
Jika saban hari masih terleka,Termenung panjang mencari-cari makna,
Erti,tujuan hidup yang tak kunjung tiba
Apa makna merdeka wahai pertiwi,
Masa terus berlalu tanpa menanti,
Sepi tanpa usaha yang pasti,
Tapi diri masih lagi bermimpi
Mimpi indah menggapai apa diimpi
Namun punggung tetap lagi di kerusi,
Apa makna jiwa merdeka,
Jika subuh pun masih susah terjaga,
Sayang bangkit tinggalkan rehat yang lena,
Gusar pun tidak, kerana tidurnya lebih Utama
Dari Pencipta yang memberinya nyawa.
Apa lagi erti jiwa merdeka,
Jika yang fardhu pun terasa berat,
Jiwanya sesak menanggung ibadat,
Malasnya umpama tiada diberi kudrat,
Bagai sudah lupa pada yang memberi nikmat.
Apa lagi erti insan merdeka?
Bila derita mulutnya tak henti merungut,
Lupa pula dimana tempat berpaut,
Bila senang hidupnya melaut hanyut,
Lupa pula tikar tempat dulu bersujud.
Apa makna sorakan merdeka?
Anak muda hanyut membuang masa,
Merempit melepak tidak mengapa,
Bila diajak ke surau bagaikan terpaksa
Ada juga yang buat-buat terlupa,
Bukan kata pada yang muda,
Yang tua pun sama sahaja.
Apa yang ada pada laungan merdeka?
Jika kitab yang diberi tidak difaham,tidak pula dicerita,
Cerita pada diri,anak dan juga mereka,
Agar jiwa kita cerah dari kelam gelita,
Menjadi panduan selamat dari petaka.
Apa makna jiwa merdeka?
Jika kalam nista masih lagi tersisa
Bicara buruk tak boleh dilupa,
Hati pula sering berburuk sangka,
Pada rakan dan juga tetangga,
Kesumat lama terpadam ditiup membara,
Dibuka kembali membakar samudera,
Agar berbalas untuk menenang jiwa lara.
Apa makna jiwa merdeka?
Jika asap dihembus dari mulut puaka,
Masuk ke rongga anak bini pula derita,
Lagi tiada endah jika ke hati manusia biasa,
Tiada budi tiada pula bicara
Tak kira tempat tak kira masa,
Asalkan diri sendiri puas merasa
Habis madu sepah dibuang merata.
Apa Makna Jiwa Merdeka wahai kawan?
Jika diri masih sukar memberi kemaafan,
Tidak sudi pula menerima keampunan,
Entah apa yang dinginkan tidak pula ketahuan,
Mungkin jiwa mahu hisab dipanjangkan,
Didepan Tuhan nanti baru tahu tiada jawaban.
Apa makna jiwa merdeka pada kita hari ini?
Jika amanah diberi dikhianati sesuka hati,
Maruah sendiri diletak di tepi tiada jati,
Demi untung yang tak lebih seinci,
Namun derita akhirnya tak terperi.
Apa erti merdeka?
Jika jiwa masih terbelengu,
Jika jiwa masih belum bebas,
Jika Nafsu masih menjajah,
Jika jiwa masih taat diperintah,
Oleh Syaitan yang sentiasa berbuat karenah
Mulut boleh kata kita merdeka
Tapi jiwa kata belum merdeka!
Nukilan : Abu Nu'man | 31 Ogos 2024
Sinopsis
Puisi ini menggali makna sebenar "merdeka," bukan hanya dalam konteks kebebasan fizikal tetapi juga kebebasan jiwa dan rohani. Penulis mempersoalkan apakah erti merdeka jika seseorang masih terjebak dalam kebiasaan buruk dan kelalaian. Melalui pelbagai persoalan, puisi ini mengkritik mereka yang terus terlena dalam kehidupan tanpa tujuan, gagal melaksanakan tanggungjawab agama seperti solat, dan masih terperangkap dalam sikap negatif seperti malas, mengumpat, dan tidak memaafkan. Penulis juga menegur sikap masyarakat yang melupakan tanggungjawab terhadap agama, keluarga, dan masyarakat, sambil memberi amaran tentang pengaruh buruk nafsu dan syaitan. Di akhir puisi, penulis menegaskan bahawa meskipun seseorang mungkin merdeka secara luaran, jiwa mereka mungkin masih belum benar-benar bebas. Puisi ini adalah seruan untuk refleksi diri dan menuntut kebebasan sebenar yang melibatkan pembebasan dari nafsu, syaitan, dan segala sifat negatif yang menodai jiwa
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments