IM3, Kuantan
Mon - Sat: 9.00 am to 5.00 pm.
Font size: +
2 minutes reading time (429 words)

Solat: Antara Nikmat yang Manusia Tak Nampak

WhatsApp-Image-2025-04-10-at-9.13.29-AM

9 April 2025, Kuantan — Semalam kami diberi kesempatan menziarahi seorang warga emas yang diuji dengan pelbagai penyaki. Fizikalnya tidak lagi sekuat dahulu, langkahnya terpaksa berpaut pada dinding dan hanya mampu berdiri untuk tempoh yang sangat singkat. Namun begitu, semangatnya untuk terus mendirikan solat seperti orang yang sihat masih teguh dan menginsafkan. Beliau berkata, "Lain solat atas kerusi dengan solat macam biasa." Kata-kata itu bukan sekadar luahan, tetapi satu manifestasi rindu dan syukur terhadap nikmat yang pernah dimilikinya suatu ketika dahulu iaitu nikmat kesihatan dan nikmat dapat sujud dengan sempurna.

Merenung keadaan pakcik ini, hati mana yang tidak terusik? Dalam keadaan fizikalnya yang terbatas, beliau masih berusaha untuk menjaga solat dengan sebaik mungkin. Berbeza dengan sebahagian daripada kita yang masih sihat tubuh badan, namun sering melengah-lengahkan solat atau melaksanakannya tanpa khusyuk dan rasa syukur. Solat yang sepatutnya menjadi penghubung antara hamba dan Tuhannya kadangkala dijadikan beban terakhir dalam rutin harian. Sedangkan bagi pakcik itu, solat bukan sekadar rutin, tetapi satu bentuk cinta yang dipertahankan walau dalam keterbatasan.

Situasi ini menjadi satu peringatan bahawa kesihatan adalah nikmat yang sangat besar, namun sering kali hanya dihargai selepas ia hilang. Nabi SAW bersabda:
"Dua nikmat yang kebanyakan manusia lalai mengenainya: kesihatan dan waktu lapang."
(Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 6412)


Hadis ini mengingatkan kita bahawa kesihatan adalah peluang untuk meningkatkan ibadah dan amal soleh, bukan untuk ditangguhkan atau disia-siakan. Maka apabila kita masih sihat dan berdaya, sepatutnya kita bersungguh-sungguh dalam melaksanakan solat dan segala bentuk ketaatan kepada Allah.

Dalam surah Taha, Allah berfirman:
"Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku."
(Surah Taha, 20:14)


Ayat ini menegaskan bahawa solat bukan sahaja kewajipan, tetapi juga satu bentuk zikir tertinggi yang mendekatkan jiwa kepada Allah. Ketika kita melihat insan-insan seperti pakcik tersebut, kita sebenarnya sedang menyaksikan betapa seseorang itu boleh meletakkan Allah di tempat utama dalam hidupnya, walaupun dalam kesakitan dan kepayahan. Ini adalah bentuk ketundukan hati yang tulen dan patut dijadikan teladan.

Kita sebagai hamba Allah yg masih diberi nikmat kesihatan, jangan tunggu sehingga sakit baru menghargai nikmat solat. Solat bukan sekadar perbuatan fizikal, tetapi cerminan ketaatan dan kerendahan hati kepada Allah. Ketika kita mampu berdiri, rukuk dan sujud dengan sempurna, maka lakukanlah dengan penuh kesungguhan dan kesedaran. Jangan biarkan kelalaian hari ini menjadi penyesalan esok hari ketika tubuh tidak lagi mampu melakukan apa yang dahulu kita anggap remeh.

Semoga pakcik tersebut diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk terus beribadah. Dan semoga kita juga diberikan hati yang lembut, mata yang mudah menangis kerana takutkan Allah, serta kesedaran yang mendalam terhadap nilai nikmat kesihatan. Moga setiap langkah kita menuju sejadah menjadi langkah penuh kesyukuran dan cinta kepada Allah SWT. 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Hidup Segan Mati Tak Mahu
Bahagia Itu Bukan Pada Harta, Tapi Pada Dada Yang ...
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Friday, 18 April 2025