By maisarah on Tuesday, 08 April 2025
Category: Tadabbur

Bahagia Itu Bukan Pada Harta, Tapi Pada Dada Yang Lapang

Tadabbur Surah Asy-Syarh Ayat 1

Dalam dunia hari ini, ramai orang mengejar kebahagiaan dengan cara yang salah. Mereka sanggup bekerja tanpa henti, mengejar kerjaya, duit, rumah besar dan gaya hidup mewah. Namun, masih ramai yang apabila duduk seorang diri, hati mereka sunyi dan tidak tenteram. Kenapa? Sebab mereka keliru antara keselesaan dan kebahagiaan. Keselesaan adalah perkara luaran tapi kebahagiaan itu letaknya di dalam jiwa. Dalam Surah Asy-Syarh ayat 1: "Sesungguhnya Kami telah melapangkan untukmu dadamu (wahai Muhammad)?" Ini bukan sekadar satu nikmat kepada Rasulullah SAW, tetapi petunjuk bahawa kebahagiaan sejati bermula dengan dada yang lapang, bukan poket yang penuh.

Kelapangan dada inilah yang menjadi kekuatan untuk menghadapi kehidupan. Bila dada lapang, seseorang mampu melihat hidup dengan jernih. Dia bersangka baik, sabar dengan ujian, tidak terlalu berharap pada makhluk dan meletakkan harapan sepenuhnya kepada Allah. Surah Az-Zumar ayat 22 menyebut: "Maka apakah orang yang Allah telah melapangkan dadanya untuk (menerima) Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya. Ayat ini memberi gambaran bahawa Islam yang sebenar akan membawa kepada ketenangan hati kerana hidayah Allah itu datang bersama cahaya yang menenangkan.

Namun begitu, kenapa ada yang sudah Islam, solat lima waktu, puasa, tapi masih rasa sempit dada dan tidak bahagia? Ini kerana mereka mungkin belum benar-benar menghayati Islam secara keseluruhan. Islam itu ada dua cabang utama: Syariat dan Takdir. Orang yang benar-benar lapang dadanya secara syar'ie akan berasa ringan dalam beribadah spt solat awal waktu, suka berdoa, tenang membaca al-Quran, dan sangat gembira ketika berbuat baik. Manakala orang yang menerima takdir dengan lapang dada pula akan redha dengan ujian hidup. Bila sakit, dia tidak menyalahkan takdir. Bila kehilangan, dia tidak memberontak. Sebaliknya dia tahu, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya jika Allah menghendaki kebaikan pada seseorang, Dia akan memberi ujian kepadanya." (HR al-Bukhari). Ini menunjukkan bahawa ujian bukan tanda Allah membenci, tetapi tanda Allah mendidik. Kelapangan dada tidak bermakna seseorang tidak sedih langsung, tetapi dia tahu bagaimana untuk mengurus kesedihan. Seperti Nabi Ya'qub yang menangis kerana kehilangan Nabi Yusuf, tetapi tetap berserah pada Allah dan berkata: "Sesungguhnya hanya kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku." (Surah Yusuf: 86).

Akhirnya, kita semua boleh ukur sendiri di mana letaknya bahagia kita? Jika segala nikmat dunia sudah ada tapi hati masih tidak tenang, mungkin kita perlu kembali semula kepada Tuhan. Mintalah kepada Allah agar dikurniakan kelapangan dada, seperti mana Nabi Musa berdoa: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku." (Surah Taha: 25). Ingat, bahagia itu bukan jauh mana, tapi dekat mana kita dengan Allah. Bila jiwa kita dekat dengan-Nya, walau hidup susah, hati tetap rasa cukup dan tenang. 

Leave Comments