By maisarah on Monday, 06 April 2026
Category: Programs

Tadabbur Raya & Jamuan Eid-Fitr 2026

Alhamdulillah, suasana Aidilfitri kali ini lebih bermakna apabila Program Tadabbur Raya dan Jamuan Aidilfitri berjaya menghimpunkan anak-anak yatim dan asnaf dalam majlis ini. Program ini melibatkan beberapa rumah dan kumpulan sasaran iaitu Baitul Mukmin, Permata Camar, Abu Yazid serta anak-anak asnaf AJC. Dalam suasana Syawal yang sinonim dengan ziarah, jamuan dan keceriaan, program ini hadir dengan satu sentuhan yang lebih dalam, iaitu mengajak hati untuk kembali merenung apa yang telah kita bawa keluar daripada madrasah Ramadan. Raya bukan sekadar baju cantik dan juadah yang best2, tetapi juga ruang untuk menyambung hubungan dengan Allah dan sesama manusia.
Program bermula seawal jam 6 petang dengan sesi bersama Ustazah Hazimin melalui tajuk "Cara Nak Dapat A Dari Allah". Tajuk ini ringkas, tetapi sangat kuat mesejnya. Antara persoalan yang dibangkitkan ialah, macam mana kita nak tahu markah Ramadan kita? Jawapannya bukan terletak pada betapa sibuknya kita ketika Ramadan, tetapi pada sejauh mana kita istiqamah selepas ia berlalu. Jika selepas Ramadan kita masih menjaga solat, masih dekat dengan al-Quran, masih cuba memperbaiki diri dan terus melawan hawa nafsu, itu petanda bahawa Ramadan benar-benar meninggalkan kesan dalam jiwa kita. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Surah al-Ahqaf: 13). Ayat ini mengingatkan kita bahawa yang paling mahal bukan semangat bermusim, tetapi kekuatan untuk terus konsisten. 

Dalam sesi perkongsian itu juga, para peserta diajak untuk reflek semula keadaan diri, khususnya dalam tiga perkara penting. Pertama, jaga solat dan bukan sekadar cukup solat, tetapi periksa juga kualiti solat kita. Adakah kita benar-benar hadir hati ketika berdiri di hadapan Allah, atau sekadar menyempurnakan rutin? Kedua, jangan tinggalkan al-Quran. Ramadan sepatutnya menjadi titik mula, bukan noktah akhir hubungan kita dengan kitab Allah. Ketiga, belajar untuk sabar, kerana jalan menuju kebaikan memang memerlukan mujahadah. Allah SWT berfirman: "Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat." (Surah al-Baqarah: 45). Kadang-kadang, perubahan besar tidak berlaku dalam sehari, tetapi ia bermula dengan satu langkah kecil yang dijaga setiap hari.


Solat Berjemaah

Selepas sesi tadabbur, para peserta bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah, sebelum diteruskan dengan solat hajat khas buat para penyumbang yang telah menyumbang tenaga, masa dan rezeki bagi menjayakan program ini. Momen ini sangat indah kerana ia mengajar anak-anak bahawa dalam setiap nikmat yang kita terima, ada ramai insan yang menjadi asbab. Dalam dunia yang sering menilai segala-galanya dengan angka dan hasil segera, program seperti ini mengajar nilai syukur, doa dan penghargaan. Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi). Maka, doa yang diangkat pada malam itu bukan sekadar doa formal, tetapi lambang kasih dan penghormatan buat semua yang membantu dari belakang tabir.


Jamuan Raya

Malam diteruskan dengan jamuan Aidilfitri yang meriah. Setiap anak2 yang hadir menerima duit raya. Antara yang paling mencuit hati ialah penampilan khas Badut Abang Pooh yang berjaya menghiburkan adik-adik dan menjadikan malam itu lebih berwarna. Dalam masa yang sama, turut disampaikan sumbangan hamper kepada rumah-rumah anak yatim dan asnaf yang terlibat. Inilah sebenarnya semangat Aidilfitri yang kita dambakan, iaitu apabila kegembiraan itu dikongsi bersama, bukan dirasai seorang diri. Rasulullah SAW sendiri sangat menekankan ihsan kepada golongan yang memerlukan, malah dalam banyak keadaan, kebahagiaan orang lain menjadi jalan hadirnya rahmat Allah kepada hidup kita.


Penutup 

Akhirnya, program ini menjadi satu peringatan yang sangat manis bahawa tarbiah Ramadan tidak sepatutnya berakhir dengan berakhirnya Syawal pertama. Bahkan, ukuran sebenar kejayaan Ramadan ialah apabila kita terus membawa roh ibadah, rasa kehambaan dan kasih kepada manusia ke bulan-bulan seterusnya. Anak-anak yatim dan asnaf yang hadir mungkin menerima duit raya dan hadiah pada zahirnya, tetapi hakikatnya, merekalah juga yang menghadiahkan kita satu bentuk tarbiyah yang sangat besar, iaitu untuk belajar mensyukuri nikmat, menghargai kebersamaan dan menghidupkan rahmat dalam masyarakat. Semoga program seperti ini terus menjadi asbab hati-hati kita lembut, amal kita hidup dan langkah kita sentiasa dipandu menuju redha Allah. Raya yang paling indah bukan hanya yang meriah di mata, tetapi yang meninggalkan bekas pada jiwa.

Leave Comments