By Siti Nur Akasyah on Tuesday, 08 August 2023
Category: Programs

Memenuhi Jemputan Sebagai Hakim Bagi Program Hari Potensi Kanak-Kanak KEMAS

Pada 2 Ogos 2023, dua orang Pegawai Dakwah dan Kebajikan dari Yayasan Kebajikan At-Tibyan telah dijemput untuk menjadi Hakim bagi Pertandingan Potensi Kanak-Kanak Tabika dan Taska KEMAS peringkat Parlimen Pekan Tahun 2023. Program yang diadakan di Dewan Sri Angkasa, Pangkalan Tentera Udara Kuantan ini berlangsung dari jam 8:00 pagi hingga 2:00 petang. Terdapat beberapa acara yang dipertandingkan, antaranya adalah Bilal Cilik, Ustazah Junior, Huffaz Cilik, Si Cilik Pintar, Story Telling, Pidato dan bermacam lagi. Sambutan penyertaan dari kanak-kanak amat memberansangkan bagi kesemua pertandingan. Pegawai kami, Siti Nur Akasyah dan Muhammad Haqim berpeluang menjadi juri bagi pertandingan Bilal Cilik, Ustazah Junior, Huffaz Clik dan Si Cilik Pintar.

Keseluruhannya, semua peserta dapat memberikan persembahan yang mengagumkan. Mereka amat petah berkata-kata dan kreatif dalam setiap persembahan. Sebagai contoh, semasa pertandingan Ustazah Junior, para peserta bukan sahaja bercerita tentang kisah-kisah nabi dan para sahabat, malah mereka mampu menyelitkan nyanyian dan ayat-ayat al-Quran dengan gaya penceritaan yang amat menarik. Bagi pertandingan Bilal Cilik pula, para peserta menonjolkan teknik azan yang sangat baik. Suara dan sebutan mereka merdu, jelas dan lantang menyuarakan seruan Ilahi menyebabkan markah mereka hampir sama, hanya berbeza sedikit dari segi tajwid sahaja. Boleh dikatakan bahawa ibu bapa anak-anak ini berhasil membentuk anak-anak yang soleh dan solehah; seperti pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya:

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

(Quran 31:17)

Melalui potongan ayat daripada surah Luqman ini, kita seharusnya sentiasa mendidik anak-anak dengan ajaran agama Islam. Kita mestilah memastikan akademik dan ajaran Islam seimbang, dan tidak hanya fokus dalam bidang akademik sahaja. Hal ini kerana, apabila hanya fokus dengan akademik, maka anak-anak menjadi tidak berminat untuk mengikuti ajaran agama Islam apabila mereka besar kelak. Oleh yang demikian, didiklah anak-anak dengan cara yang betul, kerana mereka lah generasi yang akan memimpin dan menjadi penyambung legasi agama Islam pada masa hadapan. 

Leave Comments