By maisarah on Monday, 14 October 2024
Category: Programs

MALAS BERIBADAH: APA PUNCA?

​Terkadang, dalam sibuk menjalani kehidupan seharian, timbul perasaan malas terutamanya untuk melaksanakan ibadah. Walaupun kita tahu yang kita ini diciptakan untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah, namun ia terasa berat sekali untuk dilaksanakan terutamanya ketika kita dibebani dan tertipu dengan urusan duniawi yang tidak pernah habis. Tekanan kerja, tanggungjawab keluarga dan komitmen sosial sering kali menghalang kita daripada memberi tumpuan kepada ibadah. Akibat daripada perkara tersebut, kita kehilangan kemanisan dalam beribadah dan tidak merasai ketenangan yang seharusnya hadir ketika mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Rasa malas ini bukan sahaja mempengaruhi kualiti ibadah, malah, boleh menyebabkan hati semakin jauh daripada-Nya. Lebih membimbangkan lagi, apabila perasaan malas ini dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa kepada pengabaian terhadap ibadah, menyebabkan seseorang lebih terikat dengan urusan duniawi dan melupakan tanggungjawab akhirat. Oleh itu, apabila kita mengesan sesuatu penyakit yang dihadapi dalam diri, kita sewajarnya mencari punca yang menjadi penyebab bagi sesuatu penyakit dan dalam penulisan ini tertumpu kepada "penyakit malas". Mari kita senaraikan antara punca yang menyebabkan kita liat dan malas untuk melaksanakan ibadah.

Antara punca yang pertama adalah kerana diri bergelumang dengan perbuatan dosa dan maksiat. Sufyan ats-Thauri pernah mengatakan "Saya tidak boleh melaksanakan Solat Tahajjud selama 5 bulan kerana saya telah melakukan satu dosa". Ini Sufyan ats-Thauri, seorang tokoh ulama', lalu kita pula bagaimana yang sentiasa melakukan dosa dalam keadaan sengaja mahupun tidak. Seorang muslim yang hidupnya dalam kemaksiatan dan berterusan melakukan dosa kecil menjadi punca kepada perasaan malas dan lesu seterusnya meremehkan ibadah yang sepatutnya menjadi perkara utama yang dilaksanakan sehingga mengundang kemurkaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah asy-Syura, ayat 30:

وَمَآ أَصَـٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٍۢ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُوا۟ عَن كَثِيرٍۢ

Maksudnya: Dan sesungguhnya musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri. Dan sesungguhnya Allah Maha pengampun dan memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa musibah yang berlaku ke atas diri adalah disebabkan oleh perbuatan diri sendiri dan sebab itulah ada mengatakan bahawa musibah merupakan salah satu cara menghapuskan dosa sekiranya seseorang itu menghadapinya dengan berbalik semula kepada Allah SWT. Maka dari itu, hendaklah seorang muslim menjauhi maksiat dan perbuatan yang mengundang kepada dosa kecil yang selalu dianggap remeh kerana dosa-dosa kecil inilah yang akan memusnahkan kita. Hadis Nabi SAW:

إِيَّاكُمْ وَمُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ فَإِنَّمَا مَثَلُ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ كَقَوْمٍ نَزَلُوا فِي بَطْنِ وَادٍ ،

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian tentang dosa-dosa kecil. Sesungguhnya perumpamaan dosa-dosa kecil adalah seperti satu kelompok manusia yang tiba di sebuah lembah.

Selain itu, kehilangan tujuan hidup juga merupakan antara punca timbulnya rasa malas untuk beribadah. Apabila seseorang manusia itu kurang jelas mengenai tujuan hidupnya, maka mereka akan mudah terjebak dalam kehidupan yang penuh dengan keseronokan duniawi dan lupa akan tujuan mereka diciptakan ke dunia ini iaitu tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk beribadah kepada Allah. Firman Allah SWT dalam Surah az-Zariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْنِ

Maksudnya: Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.

Kehidupan yang sibuk menguruskan hal duniawi inimembuatkan seseorang terlalai daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dan mengakibatkan mereka kehilangan semangat untuk beribadah kerana tidak nampak kepentingan atau tujuan melaksanakan ibadah dalam kehidupan. Untuk mengatasi masalah ini, kita mestilah sentiasa memperingatkan diri mengenai tujuan sebenar pengakhiran hidup kita iaitu untuk mencapai cinta dan keredaan Allah SWT dengan beribadah kepada-Nya agar dimasukkan kedalam syurga.

Akhir sekali, punca kepada masalah ini adalah disebabkan pengaruh lingkungan sosial. Lingkungan sosial ini sangatlah memainkan peranan dalam membentuk rasa seronok beribadah. Apabila seseorang muslim itu dikelilingi oleh lingkungan individu yang lalai dalam malas mengerjakan ibadah, maka mereka juga berkemungkinan besar akan terikut sekali dengan mereka dan sebab inilah apabila seseorang itu ingin berubah menjadi seseorang muslim yang lebih baik, dia disarankan untuk berhijrah dan mencari lingkungan baru yang taat akan suruhan Allah SWT, akan tetapi dalam masa yang sama tidak tinggalkan terus lingkungan yang bermasalah itu, tetapi mengajak mereka bersama-sama melaksanakan ibadah. Disini, dapat kita lihat bahawa memilih sahabat yang baik lagi soleh merupakan salah satu cara mengatasi rasa malas untuk beribadah. Oleh itu, kita mestilah pandai memilih lingkungan yang baik agar kita menjadi muslim yang terbaik. Sabda Rasulullah SAW:

"Seseorang itu berada di atas agama temannya, maka hendaklah kalian memperhatikan dengan siapa kalian berteman." (HR. Tirmizi)

Kesimpulannya, perasaan malas untuk beribadah merupakan masalah yang biasa dihadapi oleh setiap individu, akan tetapi janganlah mengambil enteng mengenai perkara yang berkait dengan ibadah, malah mestilah ditangani dengan usaha yang efektif dan keazaman yang teguh. Memahami punca-punca rasa malas ini seperti bergelumang dengan dosa dan maksiat, kurang jelas mengenai tujuan hidup dan pemilihan lingkungan sosial yang kurang baik dapat bantu kita untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini. 

Dengan memperbaharui niat, mengelakkan daripada melakukan perbuatan dosa walaupun dosa kecil, menjelaskan tujuan hidup dan melibatkan diri dalam linkungan yang soleh akan membantu kita untuk mengatasi rasa malas dalam beribadah, malah kita dapat melaksanakannya dengan penuh keikhlasan tanpa merasakannya sebagai bebanan. Sekiranya timbul lagi perasaan malas untuk mengerjakan ibadah dalam diri, kita mestilah menepis perasaan tersebut dan segera beristighfar kepada Allah SWT. Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam kitabnya al-Fawaid ada menyebutkan bahawa "Salah satu kesan dosa ialah seseorang menjadi malas untuk berbuat kebaikan dan merasa jauh daripada Allah." Moga penulisan ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran dan menjawab beberapa persoalan yang sering bermain di minda. Wallahu a'lam. Semoga bermanfaat !

Leave Comments