Khutbah Jumaat merupakan satu amalan yang menjadi kewajipan bagi setiap orang lelaki Islam kerana ia merupakan syarat sah Solat Jumaat, maka tanpanya solat tersebut tidak sah. Setiap minggu, khutbah ini akan disampaikan oleh khatib dan ia berperanan untuk memberi peringatan kepada seluruh umat Islam. Namun, sekiranya diteliti, khutbah Jumaat kini sering kali disia-siakan oleh sesetengah pihak sama ada disengajakan mahupun sebaliknya.
Di kebanyakan masjid, kita dapat melihat pelbagai gelagat yang menunjukkan ketidakpedulian jemaah terhadap kandungan yang disampaikan dalam khutbah Jumaat. Ada yang tidur, ada yang bermain telefon, berbual dengan teman di sebelah dan sebagainya. Hal ini kerana mereka hanya menganggap khutbah hanyalah sekadar ucapan yang tidak menjejaskan Solat Jumaat.
Punca kepada masalah ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya adalah berpunca daripada sikap jemaah itu sendiri tang tidak mempersiapkan diri untuk Solat Jumaat dengan niat mendengar peringatan. Mereka ini hadir semata-mata kerana kewajipan tanpa memahami dan menghayati nilai khutbah sebagai nasihat dan bimbingan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Oleh hal demikian, penulis ingin berkongsi beberapa adab yang perlu dijaga dan dipraktikkan ketika Solat Jumaat berlangsung. Pertama, para jemaah mestilah diam dan mendengar khutbah dengan penuh khusyuk. Kedua, fokus pada perkara yang disampaikan oleh khatib. Hal ini kerana khutbah Jumaat merupakan satu sesi yang istimewa di mana ia merupakan peluang kepada umat Islam untuk mendengar peringatan langusng berlandaskan ajaran Islam. Datang awal ke masjid juga merupakan antara adab dan juga sunnah. Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk datang awal, berwudhu dan duduk dengan tenang sambil menunggu khutbah bermula. Adab-adab ini mestilah dijaga agar solat Jumaat yang dilaksanakan diterima dan diberkati oleh Allah SWT. Apabila semua muslim mempraktikkan adab yang baik terutamanya ketika solat jumaat, suasana masjid akan lebih tenang dan khusyuk menjadikan khutbah dan solat lebih bermakna untuk semua yang hadir. Menjaga adab semasa khutbah juga merupakan tanda penghargaan dan kehormatan kepada khatib yang menyampaikan.
Mulai dari saat ini, marilah kita berazam untuk fokus dan lebih menghargai khutbah Jumaat yang disampaikan. Antara perkara yang boleh kita lakukan untuk mengubah sikap yang menjadi habit negatif sesetengah masyarakat agar lebih menghayati khutbah yang disampaikan adalah dengan mempersiapkan diri dengan niat yang betul. Kita niatkan datang ke masjid bukan hanya sekadar memenuhi kewajipan yang Islam tetapkan, tetapi dengan niat untuk mendengar nasihat yang bermanfaat dan jadikannya sebagai sumber motivasi dan panduan dalam kehidupan. Niat yang ikhlas akan membantu kita lebih terbuka untuk menerima sebarang peringatan. Setiap khutbah yang disampaikan adalah peluang untuk bermuhasabah dan menilai amalan kendiri. Kita dapat mengenal pasti kelemahan dan akan berusaha menjadi muslim yang terbaik selari dengan ajaran Islam.
Kesimpulannya, mimbar jumaat ini bukanlah sekadar 'tempat persinggahan' sebelum melaksanakan Solat Jumaat, tetapi ia adalah platform untuk menyampaikan nasihat dan peringatan kepada seluruh umat Islam secara mingguan. Oleh hal demikian, kita sebagai muslim yang sentiasa mendambakan syurga mestilah memanfaatkan peluang ini semaksimum mungkin. Semoga kita semua memperoleh iktibar dari khutbah yang disampaikan. Khutbah ini adalah satu anugerah yang boleh membimbing umat Islam di jalan Allah SWT, jika kita benar-benar mendengar dan menghayatinya dengan hati yang terbuka.
Wallahu a'lam.