YKAT Blog
PROGRAM CUTI SEKOLAH: KEM SOLAT
Kuantan, 22 Disember 2024 - Al-Jaffar Centre dengan kerjasama Yayasan Kebajikan at-Tibyan telah berjaya menganjurkan Kem Solat Al-Jaffar, sebuah program cuti sekolah yang khusus untuk kanak-kanak sekolah rendah berumur 7 hingga 12 tahun. Kem ini telah berlangsung dengan penuh ceria di Surau Al-Jaffar Centre, Anak Air, Kuantan, Pahang, dari jam 9 pagi hingga 2 petang.
Dengan penyertaan seramai 66 peserta, program ini menjadi platform untuk memupuk kecintaan terhadap solat dalam kalangan generasi muda serta mendidik mereka tentang kepentingan solat sebagai asas pembentukan jati diri Muslim yang sejati.
Menghidupkan Solat dalam Jiwa Anak-Anak
Kem ini dirangka untuk memberikan pengisian yang bermakna kepada peserta, termasuk panduan teori dan praktikal wuduk dan solat yang betul dan menyemai kesedaran tentang peranan solat sebagai tiang agama. Aktiviti menarik seperti sesi interaktif, permainan yang mendidik, dan bengkel wuduk telah dijalankan bagi memastikan pembelajaran berlangsung dengan cara yang menyeronokkan.
Penyertaan Melebihi Sasaran, Sambutan Luar Biasa
Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran anak-anak kecil yang bersemangat serta sokongan penuh daripada ibu bapa. Pada awalnya, kem ini hanya dibuka untuk 30 peserta sahaja bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif. Namun, sambutan luar biasa daripada ibu bapa yang ingin anak-anak mereka turut serta dalam program ini telah menyebabkan pihak penganjur membuat keputusan untuk menambah kuota. Akhirnya, jumlah penyertaan mencecah 66 orang.
Langkah Ke Arah Pembentukan Generasi Rabbani
Program seperti ini diharapkan dapat menjadi langkah kecil tetapi signifikan ke arah pembentukan generasi muda yang mencintai agama, berdisiplin, dan bertanggungjawab. Al-Jaffar Centre dan Yayasan Kebajikan at-Tibyan berhasrat untuk menjadikan Kem Solat ini sebagai program tahunan dengan harapan dapat melibatkan lebih ramai peserta di masa akan datang.
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments