YKAT Blog
Pelaksanaan Program Muallaf Bonding Day 2024: Mengukuhkan Ikatan Ukhuwah
Kuantan 26 Oktober 2024 - Mahallah Representative Committee (MRC) Mahallah Ummu Kalthum dari IIUM Kuantan telah menganjurkan program yang dinamakan sebagai "Muallaf Bonding Day," di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Masjid Tengku Ampuan Afzan, Yayasan Amal Malaysia dan Yayasan Kebajikan at-Tibyan. Bertemakan "Taqwacore: Glorious Path Towards Jannah," program ini bertujuan memberikan pendidikan sekaligus menyatukan masyarakat muallaf, pelajar IIUM dan NGO dan agensi.
Program Muallaf Bonding Day ini menggariskan beberapa objektif utama dan pada pandangan penulis, objektif-objektif ini telah berjaya dicapai sepanjang pelaksanaan program. Antaranya adalah untuk memahami makna taqwa dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian, dengan memberi penekanan kepada kepentingan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar, tentang cabaran dan kesukaran yang sering dihadapi oleh komuniti muallaf, seperti perbezaan budaya, tekanan sosial, dan kekurangan sokongan moral dalam mempelajari agama Islam. Objektif ini dilengkapi dengan usaha mengukuhkan ukhuwah antara umat Islam, terutamanya antara pelajar-pelajar IIUM, komuniti muallaf, dan agensi serta NGO melalui interaksi dan aktiviti yang melibatkan kerjasama erat, bagi membina ikatan persaudaraan yang lebih mesra dan saling menyokong. Akhir sekali, program ini diadakan untuk meningkatkan lagi pengetahuan Islam dalam kalangan muallaf di sekitar Kuantan dengan pengisian ilmu secara teori dan praktikal penyembelihan halal berlandaskan syariat agar mereka lebih yakin dalam mengamalkan agama Islam sebagai cara hidup.
Program Muallaf Bonding Day ini dipenuhi dengan pengisian menarik yang direka khusus untuk memberikan pengalaman dan ilmu yang bermakna kepada para peserta. Program ini dimulakan dengan sesi taklimat mengenai penyembelihan halal di mana peserta diperkenalkan kepada kaedah penyembelihan yang sah dan selari dengan tuntutan syariat Islam. Sesi ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal tetapi juga membina kesedaran tentang pentingnya menjaga aspek halal dalam pemakanan sebagai simbol ketaatan kepada Allah. Dalam Islam, halal bukan sahaja tentang makanan, tetapi ia juga melambangkan kepatuhan seorang Muslim terhadap hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ma'idah, ayat 3:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ وَٱلْمُنْخَنِقَةُ وَٱلْمَوْقُوذَةُ وَٱلْمُتَرَدِّيَةُ وَٱلنَّطِيحَةُ وَمَآ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)…"
Ayat ini memperingatkan betapa pentingnya memastikan makanan yang kita makan adalah daripada sumber yang halal lagi baik.
Selepas sesi penyembelihan, para peserta memasak bersama-sama menggunakan hasil sembelihan tadi yang bukan sahaja membina kerjasama tetapi juga menjadikan hidangan lebih istimewa. Setelah makanan siap, kesemua peserta dan jemputan duduk untuk makan bersama-sama dalam talam, sebuah tradisi makan yang menggalakkan kebersamaan dan semangat persaudaraan yang menjadikan sesi makan tengah hari pada hari tersebut menjadi lebih menarik dan bermakna. Majlis berakhir dengan penyampaian bantuan kepada semua asnaf yang hadir serta penyampaian penghargaan kepada pihak penganjur. Ustaz Limchengwei selaku Pegawai Dakwah dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut mengambil peluang untuk meluahkan rasa syukur dan gembira dengan kejayaan program semasa slot Majlis Penutup. Majlis Berakhir dengan sesi bergambar bersama semua yang hadir.
Secara keseluruhannya, Program Muallaf Bonding Day 2024 merupakan satu inisiatif yang berjaya memperkukuh ukhuwah serta mendidik komuniti muallaf secara santai. Melalui program ini, nilai-nilai murni Islam disemai dengan penuh hikmah, manakala hubungan erat antara muallaf, pelajar, NGO, dan agensi Islam diperkukuhkan. Diharapkan, usaha sebegini dapat diteruskan dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyokong dan mendampingi saudara baru kita dalam perjalanan mereka mendalami Islam.
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments