YKAT Blog
Nilai sebuah keprihatinan
Menjadi Insan Prihatin: Kisah Asnaf dan Nilai Sebuah Keprihatinan
Zaman kini, sering kali kita alpa dan terlupa untuk mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan. Namun, kisah seorang asnaf baru-baru ini membuka mata dan hati kita semua tentang betapa pentingnya sifat prihatin dan saling membantu dalam masyarakat.
Seorang ayah, yang pendapatannya kurang dari RM600 sebulan, terpaksa bergelut untuk menanggung yuran persekolahan lima orang anaknya. Walaupun rajin bekerja dan tidak pernah meminta-minta, ujian kehidupan menguji kekuatan dan kesabarannya. Yuran RM75 untuk seorang anak di tadika tidak mampu dibayar, apatah lagi jumlah keseluruhan RM380 untuk kelima-lima anaknya.
YKAT pada awalnya merancang untuk meneruskan program 'Back to School' seperti tahun-tahun sebelumnya dengan menyediakan keperluan persekolahan seperti agihan baju sekolah, peralatan menulis, beg dan kasut. Namun, apabila berdepan dengan kes sebegini, kami sedar bahawa keperluan sebenar bukan hanya pada kelengkapan, tetapi juga memastikan anak-anak ini dapat mendaftar dan hadir ke sekolah dengan tenang. Tanpa yuran dibayar, semua kelengkapan menjadi sia-sia.
Alhamdulillah, melalui dana kilat yang berjaya dikumpul, yuran persekolahan anak-anak ini berjaya diselesaikan. Malah, sedikit wang diberikan untuk keperluan harian keluarga tersebut. Betapa besar makna bantuan ini kepada mereka. Hari ini, mereka mampu menarik nafas lega dan kita pula mendapat peringatan bermakna.
Kisah ini mengingatkan kita bahawa setiap rezeki yang kita miliki bukan hanya hak kita sepenuhnya. Seperti firman Allah dalam Surah al-Ma'arij (70:24), dalam harta kita ada hak orang lain. Ketika kita membantu orang lain, kita sebenarnya sedang 'memiliki' sesuatu yang lebih kekal di sisi Allah. Bantuan yang diberi tidak menjadikan kita miskin, malah ia menjadi 'simpanan' di akhirat kelak.
Marilah kita bersama-sama mensyukuri setiap nikmat yang kita miliki. Apa yang mungkin kecil bagi kita, boleh jadi besar bagi orang lain. Jadilah insan yang prihatin dan peka terhadap keperluan mereka di sekeliling kita. Mungkin hari ini kita membantu seorang, tetapi impaknya mampu mengubah kehidupan seluruh keluarga. Ingatlah, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.
Dikesempatan ini, YKAT ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah bersama-sama membantu. Kalian yang memberi, kami yang menyampaikan. Semoga keprihatinan ini terus subur dalam hati kita, membawa lebih banyak ketenangan dan keberkatan dalam hidup. Sesungguhnya, memberi bukan sahaja meringankan beban orang lain, tetapi juga mendekatkan kita kepada rahmat dan kasih sayang Allah.
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments