YKAT Blog
Isra dan Mikraj: Sebuah Perjalanan Agung, Pengajaran Buat Umat Manusia
Peristiwa Isra dan Mikraj merupakan salah satu mukjizat terbesar yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, selain daripada al-Quran. Ia adalah sebuah perjalanan luar biasa yang berlaku dalam satu malam, di mana Baginda diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian diangkat ke Sidratul Muntaha. Mukjizat ini bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi menjadi sebuah penghiburan jiwa buat Rasulullah SAW selepas melalui saat-saat yang amat sukar, termasuk kehilangan bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta Khadijah RA dalam tahun yang dikenali sebagai 'Am al-Huzn (Tahun Kesedihan). Peristiwa ini bukan sahaja mengangkat darjat Nabi SAW tetapi turut mengandungi pelbagai pengajaran untuk seluruh umat manusia.
Isra dan Mikraj ini merupakan simbol kasih sayang Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Dalam usaha menyampaikan risalah Islam, Baginda menghadapi pelbagai ujian yang tidak terbayangkan seperti dihina, dicaci, dipulau, malah diancam. Namun, Nabi SAW tidak pernah gentar atau berputus asa. Segala keperitan Baginda lalui demi memastikan umatnya menerima mesej kebenaran dari Allah SWT. Ketabahan Baginda ini menjadi teladan agung untuk kita hari ini. Allah SWT yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat, telah memerhatikan segala jerih perih Nabi SAW. Oleh itu, peristiwa Isra dan Mikraj adalah hadiah terindah serta sebuah pengiktirafan dan penghiburan buat baginda.
Pengajaran dari Isra dan Mikraj
1. Keyakinan pada Kebesaran Allah SWT
Perjalanan Nabi SAW dalam satu malam menjadi ujian keimanan buat umat Islam. Ketika itu, ada yang percaya, ada yang ragu-ragu. Abu Bakar as-Siddiq menjadi contoh manusia beriman yang yakin tanpa ragu terhadap kebesaran Allah dan ketika itulah diberi gelaran as-Siddiq (yang membenarkan).
Sebagai umat Islam hari ini, adakah kita benar-benar yakin dengan janji-janji Allah yang termaktub di dalam al-Quran atau lebih percaya kepada kata-kata manusia? Renungkan ...
2. Kepentingan Solat
Salah satu hadiah terbesar dari Isra dan Mikraj adalah perintah solat, satu-satunya ibadah yang disampaikan secara langsung oleh Allah kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan. Solat adalah perhubungan terus antara seorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak boleh ditinggalkan, walaupun dalam keadaan sakit. Bagi orang yang meninggalkan solat, mereka ibarat layang-layang yang terputus talinya – hilang arah dan tidak terhubung dengan Allah SWT. Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa solat adalah "Isra dan Mikraj" harian kita, momen istimewa untuk berhubung dan mendekatkan diri kepada Allah.
Mengambil Hikmah dalam Kehidupan
Peristiwa Isra dan Mikraj juga mengajarkan kita bahawa kebahagiaan sejati tidak terletak pada harta benda atau kedudukan, tetapi pada ketenangan jiwa yang bebas dari rasa takut dan kesedihan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 62:
"Mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta beramal soleh, tiada ketakutan ke atas mereka dan mereka tidak akan bersedih hati."
Kisah seperti Hajar yang bahagia di padang pasir bersama Ismail, atau Ashabul Kahfi yang merasa tenang dalam gua, membuktikan bahawa kebahagiaan tidak bergantung pada keadaan luaran tetapi pada kekuatan iman dan hubungan dengan Allah.
Sebagaimana Allah SWT menghiburkan Rasulullah SAW dengan peristiwa Isra dan Mikraj, semoga kita juga diberikan penghiburan dan kekuatan dalam menghadapi ujian hidup. Jadikanlah solat sebagai tempat kita mencurahkan segala kesedihan, seperti mana Nabi SAW menjadikan solat sebagai penawar hatinya. Jika kita belum merasai manisnya solat, mungkin ini tanda kita belum benar-benar mengorbankan diri untuk agama Allah.
Isra dan Mikraj bukan sekadar peristiwa sejarah tetapi sebuah peringatan agung untuk kita memperkukuh iman, memperbaiki ibadah dan meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Jadikanlah ia sebagai inspirasi untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan mencari ketenangan melalui solat, zikir dan tadabbur al-Quran.
Wallahu a'lam.
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments