Kuantan 2025 - Setiap kali musim hujan tiba, penduduk2 Pantai Timur dah mula nuat persediaan dari segi fizikal dan mental kerana kawsan sini mudah utk naik air. Bagi yang tidak mengalaminya, mungkin sekadar melihat di media sosial. Tetapi bagi yang diuji, banjir bukan sekadar air tapi merangkumi kehilangan, keletihan dan kesabaran yang diuji berkali-kali.

Dalam al-Quran, Allah mengingatkan bahawa setiap ujian yang datang bukan tanpa sebab. Allah berfirman: Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah al-Baqarah: 155)

Banjir mengajar kita tentang rapuhnya rasa aman yang sering kita anggap kekal. Rumah, harta dan keselesaan yang kita bina bertahun-tahun boleh hilang dalam sekelip mata. Dari sini kita belajar, bahawa dunia ini hanyalah pinjaman dan yang kekal hanyalah amal serta pergantungan kita kepada Allah.

Dalam masa yang sama, ada saudara2 kita yang rajin turun membantu, ada yang berkongsi makanan walaupun diri sendiri kekurangan dan ada yang sanggup turun ke lapangan demi meringankan beban orang lain. Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain. (Hadis Riwayat Ahmad)

Mungkin ada yang bertanya, kenapa ujian ini berulang? Di sinilah mari kita cuba ffaham. Banjir bukan sekadar fenomena alam, tetapi peringatan agar kita kembali menilai hubungan dengan Allah, alam dan sesama manusia. Cara kita menjaga alam, cara kita bersyukur dan cara kita peduli terhadap orang lain. Semuanya saling berkait.

Buat yang diuji, ingatlah bahawa Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya. Dan buat yang tidak diuji, inilah masanya untuk tidak berpaling. Kerana banjir di Kuantan bukan hanya cerita tentang air yang naik, tetapi tentang hati yang sepatutnya semakin tunduk dan tangan yang semakin ringan untuk membantu.