Membaca Surah Al-Fatihah merupakan rukun solat. Jika ditinggalkan, maka solat tersebut tidak sah. Setiap hari, 17 kali kita ulang bacaan surah ini dalam solat fardu. Bahkan Surah Al-Fatihah juga sering kita baca sebagai pembuka majlis ilmu dan pelbagai program agama.
Tapi, adakah kita betul-betul faham dan menghayati setiap ayat yang kita baca itu?
Rasulullah SAW meriwayatkan dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman:
"Aku membahagikan solat antara Aku dan hamba-Ku kepada dua bahagian, dan bagi hamba-Ku apa yang dipintanya."
Apabila hambaKu membaca:
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ
Allah berfirman:"Hamba-Ku telah memuji-Ku."
Apabila hambaKu membaca:
ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Allah berfirman:"Hamba-Ku telah menyanjung-Ku."
Apabila hambaKu membaca:
مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ
Allah berfirman:"Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku."
Apabila hambaKu membaca:
Allah berfirman:"Ini adalah antara Aku dan hamba-Ku, dan bagi hamba-Ku apa yang dipintanya."
Kemudian apabila hambaKu membaca:
(صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ),(ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ)
Allah berfirman:"Ini adalah untuk hamba-Ku, dan baginya apa yang dipintanya."
(HR Muslim, no. 395)
Kali ini, mari kita sama-sama perhatikan ayat kelima Surah Al-Fatihah. Ayat yang sarat dengan pengajaran yang sangat besar bagi sesiapa yang ingin kembali kepada Allah SWT.
Ayat ini terbahagi kepada dua bahagian utama:
1. إِيَّاكَ نَعۡبُدُ — Hanya kepada-Mu kami menyembah
Bahagian pertama ini merupakan pengakuan setulus hati kita sebagai hamba Allah SWT.
Ramai orang mengaku beriman kepada Allah, tapi tidak hidup sebagai seorang hamba yang sebenar. Mereka tahu hukum-hakam agama,faham perintah Allah dan Rasul-Nya, tetapi masih jadikan hawa nafsu, trend semasa dan pandangan manusia sebagai panduan utama kehidupan.
Kadang-kadang kita terlalu risau dipandang ketinggalan zaman ataupun istilah sekarang "FOMO" (Fear of Missing Out) sehingga terikut trend yang jelas2 bertentangan dengan syariat islam.Akhirnya, kita lebih sibuk mencari keredaan manusia berbanding keredaan Allah.Sedangkan hakikat seorang hamba ialah patuh kepada Allah yang Satu dan segala perintahNya.
Apabila kita benar-benar faham bahawa diri ini hanyalah seorang hamba Allah, kita tidak akan senang terikat dengan segala bentuk pengabdian selain Allah. Kita tidak lagi menjadi hamba kepada pujian manusia, harta, pangkat, populariti atau hawa nafsu.
2. وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ — Dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan
Dalam hidup ini, kita tak akan terlepas daripada meminta sesuatu seperti rezeki, pekerjaan, rumah, makanan dan bermacam lagi .Apatah lagi jika perkara itu berada di luar kemampuan kita. Sebagai contoh,bila kita ada masalah kewangan, kesempitan hidup, penyakit, konflik keluarga, tekanan kerja dan pelbagai ujian yang tidak mampu kita hadap sendirian .Tentulah hanya Allah SWT jua kita minta pertolongan.
Tetapi, kadang-kadang kita ni manusia kebiasaannya akan cari 'seseorang' dulu untuk membantu atau mendengar luahan hati kita. Kita minta tolong kawan, ahli keluarga atau orang yang kita percaya. Semua ini tidak salah kerana Islam menggalakkan umatnya saling membantu.Tapi adakah kita yakin mereka akan sentiasa berada bersama kita dan bantu tiap kali kita ada masalah?
Manusia hanya mampu membantu, tetapi Allah yang menentukan hasilnya.Oleh itu, kita mesti sematkan dalam diri ''sebesar mana pun ujian yang sedang kita hadapi, jangan pernah lupa bahawa Allah adalah tempat pergantungan yang paling utama.''
Mengapa Allah Dahulukan "Kami Menyembah" Sebelum "Kami Memohon Pertolongan"?
Menariknya, Allah mendahulukan ungkapan:
إِيَّاكَ نَعۡبُدُ
sebelum
وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ
Ini memberi isyarat bahawa seorang hamba perlu ''memperbaiki hubungannya dengan Allah terlebih dahulu sebelum meminta pertolongan daripada-Nya.''
Terkadang kita nak doa kita segera termakbul, tetapi pada masa yang sama kita masih lalai dalam hidup, kita masih tinggalkan solat, buat maksiat dan tidak bersungguh-sungguh jaga hubungan dengan Allah.
Hakikatnya, mentaati perintah Allah bukanlah sesuatu yang mudah kan kerana kita sentiasa berperang dengan nafsu dan godaan syaitan. Kita bukan hanya perlukan pertolongan Allah ketika susah, bahkan ketika senang juga. Untuk bangun solat Subuh, nak jaga pandangan, menuntut ilmu dan istiqamah dalam kebaikan juga perlukan bantuan Allah.Kita perlu sentiasa memperbaiki hubungan dengan Allah serta memohon pertolongan-Nya untuk mampu terus istiqamah dalam melakukan ketaatan.
Lepas ini,setiap kali kita baca ayat:
إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ
jangan sekadar baca tetapi hayati dan ingat bahawa kita sedang memperbaharui janji kita sebagai hamba Allah dan mengakui bahawa seluruh kehidupan ini bergantung kepada-Nya.
Kita menyembah Allah kerana Dialah Tuhan kita, dan kita yang sentiasa memerlukan pertolongan-Nya. Sedangkan Allah langsung tidak berhajat kepada kita, kerana tanpa bantuan-Nya, kita hanyalah insan yang lemah.
Kami akhiri satu doa yang diajar Rasulullah SAW semoga Allah SWT membantu kita menjadi hamba yang yang ikhlas dalam beribadah serta sentiasa bergantung harap kepada-Nya dalam setiap urusan kehidupan.
Doa Memohon Bantuan untuk Memperbaiki Ibadah
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَىٰ ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya:
"Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu."
(Hadis Riwayat Abu Daud ,No. 1522)
Comments