Font size: +
2 minutes reading time (476 words)

MENYANTUNI ASNAF DI KAMPUNG SG KARANG DARAT


















Pada 12 Ogos 2023 lalu, team Yayasan Kebajikan At-Tibyan telah turun padang untuk menziarahi, menyantuni dan mengagihkan bantuan makanan kepada asnaf-asnaf di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan. Sesi ziarah ini bertujuan untuk mengemaskini data-data asnaf dan memberikan barangan keperluan dapur selain menjenguk salah seorang asnaf yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini. Mudah-mudahan bantuan yang diberikan tersebut dapat membantu meringankan sedikit beban mereka.

Sepanjang sesi menziarahi asnaf ini, banyak pengajaran yang boleh diambil, ilmu yang boleh dikongsi dan hikmah yang boleh dipelajari.Antara pengajaran yang boleh diambil daripada perkongsian bersama asnaf adalah mengenal erti kesusahan. Dalam menyelami erti kesusahan, barulah seseorang itu dapat mengenal kehidupan. Rasa syukur yang amat mendalam terbit dalam diri apabila mendengar cerita-cerita daripada golongan asnaf di Kampung Sungai Karang Darat, tentang bagaimana mereka hanya dapat menjamah nasi beberapa kali sahaja seminggu, bagaimana seorang anak yatim piatu yang masih menuntut pelajaran di universiti terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan beradiknya yang masih kecil. Segalanya menambah rasa syukur dalam diri, selain semangat yang berkobar-kobar untuk membantu asnaf-asnaf memperbaiki taraf kehidupan mereka.

Kesemua lapan rumah asnaf yang diziarahi terdiri daripada golongan ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya, anak yatim dan fakir miskin. Namun, mereka masih mampu mengukir senyuman apabila ditanyakan soalan, dan masih mampu bercerita dengan tenang. Kesabaran mereka yang tinggi dalam menempuh ujian yang diberikan oleh Allah amatlah bertepatan dengan janji Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 156 hingga 157;


"Dan, berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata; 'Sesungguhnya, kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali, mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah yang mendapat rahmat-Nya dan petunjuk-Nya".


Sifat kebergantungan sepenuhnya terhadap Allah wajib diterapkan dalam diri setiap individu. Sentiasa percaya dengan setiap aturan Allah, kerana di sebalik setiap kesedihan, pastinya akan datang seribu rahmat selepasnya. Allah akan sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar. Sesungguhnya, pasti ada perkara baik yang sudah dirancang oleh Allah, seperti firmannya dalam surah al-Imran ayat 54;


"Dan mereka merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang".


Kelapan-lapan keluarga yang kami ziarahi mempunyai kisah dan cerita yang tersendiri. Diharapkan mereka sentiasa kuat untuk menghadapi ujian yang menimpa dan sentiasa percaya dengan qada' dan qadar oleh Allah SWT. Selain itu, terdapat juga asnaf yang berminat untuk menjadi peserta bagi projek mega terbaru kami, iaitu Umrah Mahabbah Eksklusif yang akan diadakan pada September 2024. Alhamdulillah, kami akan usahakan supaya projek tersebut akan melibatkan golongan yang betul betul layak. InsyaAllah, semoga semua amalan baik kita diterima oleh Allah SWT dan dipermudahkan urusan YKAT untuk sentiasa melakukan kerja-kerja kebajikan. 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Syukur kepada Allah & Qonaah dengan apa yang ada
Memenuhi Jemputan Sebagai Hakim Bagi Program Hari ...
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Friday, 18 October 2024